Penting ke untuk mengetahui teknik CPR? Berapa lama ia perlu dilakukan semasa cubaan menyelamatkan nyawa mangsa?
Resusitasi kardiopulmonari (CPR) adalah prosedur penyelamat kecemasan yang kebiasaannya dilakukan oleh golongan terlatih apabila degupan jantung seseorang itu terhenti.
Kaedah ini boleh menyelamatkan nyawa berikutan ia boleh mengekalkan aliran darah semasa jantung berhenti berdegup sebelum golongan profesional tiba memberikan rawatan yang sepatutnya.
Peluang untuk pesakit dengan degupan jantung terhenti untuk hidup boleh meningkat 2 hingga 3 kali ganda sekiranya CPR dilakukan secara serta-merta.
Walau bagaimanapun, bukan dalam semua situasi kaedah ini wajar diteruskan.
Sebagai manusia, kita perlu memahami batas kemampuan kita untuk menyelamatkan nyawa dan berhenti.
Namun, apakah tanda yang menunjukkan anda perlu berhenti melakukan CPR? Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Habit Sihat, sila dapatkannya di sini.
Beza teknik CPR golongan terlatih dan mereka yang tidak terlatih
Bukan semua individu mempunyai intensif untuk mempelajari kaedah CPR yang betul bagi tujuan menyelamatkan nyawa.
Kadangkala, mereka yang tidak terlatih berada pada keadaan di mana mereka tidak mempunyai pilihan untuk melakukan CPR.
Secara umumnya terdapat dua teknik CPR:
- Bagi golongan profesional dan mereka yang terlatih, protokol standard adalah untuk menekan tulang dada dan memberikan pernafasan mulut ke mulut pada nisbah 30:2. Jika mangsa adalah orang dewasa, kaedah yang digunakan adalah CPR pada kadar 100 hingga 120 seminit dengan kedalaman tekanan sekurang-kurangnya 5 cm.
- Bagi masyarakat awam yang tidak terlatih pula, jika anda menemui seseorang yang pengsan dan mereka tidak mempunyai degupan jantung, teknik CPR adalah untuk menekan tulang dada secara berterusan sehinggalah golongan profesional tiba ke tempat kejadian. Pernafasan mulut ke mulut tidak perlu dibuat.
Bagi kedua-dua kaedah tersebut, CPR yang berkualiti tinggi mempunyai ciri-ciri yang hampir sama:
- Tiada gangguan di antara tekanan dada semasa CPR (tidak terhenti).
- Menekan pada kedalaman dan kadar kelajuan yang mencukupi.
- Elakkan daripada bersandar atau menjadikan mangsa sebagai sokongan semasa melakukan kompresi.
- Pastikan kedudukan tangan berada pada lokasi yang betul.
- Elakkan daripada memberikan pernafasan secara berlebihan.
Baca juga:
Bila saya perlu berhenti melakukan teknik CPR?
Jika dilihat pada konteks penyelamat, CPR merupakan satu kaedah menyelamat yang perlu dilakukan serta-merta.
Ia tidak memerlukan arahan daripada golongan profesional seperti doktor.
Malah, kebanyakan amalan perubatan yang wujud di negara maju seperti Amerika Syarikat memerlukan arahan doktor hanya jika CPR tidak perlu dilakukan.
Keadaan ini menunjukkan betapa pentingnya prosedur ini dalam menyelamatkan nyawa.
Pun begitu, terdapat 3 situasi di mana anda perlu menghentikan CPR:
- Apabila doktor atau mereka yang mempunyai pengetahuan dalam perubatan kecemasan (paramedik dan sebagainya) mengarahkan anda untuk berhenti.
- Apabila anda berasa letih dan tidak meneruskan lagi tetapi tiada pengganti di sekeliling.
- Apabila pesakit menjerit ketika anda sedang menekan dada mereka. Dengan erti kata lain, mereka semakin pulih.
Ketika ada golongan profesional, ikut arahan diberikan untuk teknik CPR
Perkara pertama yang perlu anda lakukan sebelum melakukan CPR adalah menghubungi talian kecemasan.
Jika anda berseorangan, hubungi 999 terlebih dahulu sebelum memulakan CPR.
Kalau ada orang awam yang lain, mulakan CPR dan minta bantuan orang lain untuk menghubungi ambulans.
Apabila doktor atau pekerja profesional yang lain sudah tiba, jangan berhenti secara serta-merta.
Teruskan menekan seperti biasa bagi membolehkan mereka membuat persiapan, memasang peralatan dan sebagainya.
Jika mereka sudah bersedia, mereka akan menyuruh anda untuk menghentikan CPR dan salah seorang daripada pekerja tersebut akan mengambil alih peranan anda.
Dilema ketika tiada bantuan profesional (tidak dapat dihubungi dan sebagainya)
Bayangkan jika anda berada di kawasan terpencil. Tiada orang lalu lalang, tiada talian telefon dan anda terjumpa dengan seseorang yang terhenti jantungnya.
Reaksi pertama sudah tentu adalah untuk mula melakukan CPR namun setelah sejam dua anda menekan dadanya, mangsa masih tidak sedar.
Anda tidak boleh menghubungi sesiapa dan tiada siapa yang melalui jalan tersebut.
Otot anda mula terasa kejang dan badan anda lemah longlai setelah beberapa jam menekan dada mangsa tanpa rehat.
Apa yang perlu anda lakukan?
Dalam situasi tersebut, hanya anda sahaja yang boleh menentukan apa tindakan yang perlu dibuat.
Kita boleh berharap mangsa akan sedar dalam beberapa tekanan lagi, namun dalam keadaan tersebut kita juga disarankan untuk berfikiran realistik.
Mungkin sukar untuk anda berhenti melakukan CPR dalam situasi tersebut, namun jika keadaan tidak mengizinkan, sememangnya langkah terbaik adalah untuk berhenti dan mencari alternatif lain.
Konklusi
Teknik CPR sememangnya kaedah penyelamat yang perlu dipelajari oleh setiap individu meskipun hanya cara asas (kaedah tekanan dada).
Anda perlu tahu bila hendak mula melakukan CPR dan bila waktu yang sesuai untuk berhenti melakukan CPR.
Dalam sesetengah situasi, terutamanya jika anda berada di kawasan terpencil dan badan sudahpun letih menekan dada mangsa berjam-jam, anda mungkin akan mengalami dilema sama ada hendak berhenti atau meneruskan CPR.
Keputusan berada di tangan anda dan tindakan selanjutnya bergantung kepada keadaan persekitaran di mana mangsa berada.
[embed-health-tool-bmi]