Mereka memerlukan pemantauan secara berkala dan kerap bagi memastikan keadaan mereka sentiasa terkawal.
Dalam kesibukan menguruskan tugasan lain, doktor oncall, dibantu dengan staf kesihatan lain yang turut bekerja di luar waktu pejabat akan menguruskan pesakit berkenaan.
Bergantung kepada jumlah kakitangan, setiap hospital mempunyai protokol berbeza bagi mereka yang oncall.
Mereka perlu melakukan rondaan wad dan jika hospital tersebut tidaklah sebesar mana, doktor tersebut perlu menjaga pesakit di keseluruhan hospital.
Keadaan ini sudah tentunya memberikan tekanan kepada mereka terutamanya jika terdapat kes kecemasan yang berlaku pada malam tersebut.
Ada elaun atau bayaran ke untuk doktor yang bertugas di luar waktu pejabat?

Berbeza dengan hospital swasta yang mungkin ‘gah’ dari segi pembayaran elaun doktor, mereka yang bekerja di hospital kerajaan hanya menerima bayaran yang sedikit.
Secara amnya, bagi mereka yang oncall pada hari Isnin hingga Jumaat, purata bayaran hanyalah pada sekitar RM13.30 per jam.
Manakala untuk cuti awam, Sabtu dan Ahad pula, purata bayaran elaun doktor oncall adalah pada sekitar RM9.20 per jam.
Jumlah ini boleh dikatakan terlalu sedikit jika dibandingkan dengan beban kerja yang terpaksa dipikul oleh para doktor.
Apa yang lebih teruk lagi, pada masa kini, doktor tidak mempunyai jaminan untuk mendapat lantikan tetap.
Ini bermakna, status mereka akan kekal kontrak sehingga terdapat kekosongan untuk jawatan tetap (perlu bersaing) atau mereka akan ditamatkan kontrak.
Status doktor kontrak ini juga bermakna mereka kehilangan banyak manfaat sebagai penjawat awam.
Boleh bayangkan tak?
Anda bekerja di hospital awam, berkhidmat di bawah kerajaan dan diberikan kadar elaun doktor yang rendah jika dibandingkan dengan beban kerja.
Namun, anda tidak layak untuk menuntut sebarang keistimewaan yang ada pada mereka yang bekerja di sektor kerajaan.
Selain itu, isu kontrak ini juga bakal menyukarkan doktor muda untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor pakar.
Dengan beban kerja yang bertimbun, perlu bekerja dan oncall melebihi 24 jam, tiada keistimewaan sebagai penjawat awam dan tiada masa hadapan yang cerah.
Persoalannya, bagaimanakah seseorang doktor itu hendak berasa terpanggil untuk terus kekal dalam bidangnya dengan masa hadapan yang kabur dan kelam?
Konklusi
Kerja oncall bukannya mudah terutamanya apabila ia melibatkan nyawa pesakit lain.
Pemantauan secara berkala terhadap pesakit oleh doktor boleh menentukan kadar kelangsungan hidup mereka dan keupayaan untuk sembuh daripada penyakit.
Mereka terus bekerja walaupun dibayar dengan nilai yang tidak seberapa.
Maka jika anda bertemu dengan doktor yang sedang menjalankan tugas oncall, ucapkanlah terima kasih dan cuba fahami akan kesibukan yang mereka lalui jika mereka lambat hadir memberikan rawatan kepada anda.