Gemar Melakukan Scrub Muka Dan Badan? Jangan Berlebihan Atau Ini Akibatnya…

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 02/07/2020 . 6 minit bacaan
Share now

Pernahkah anda melakukan rawatan scrub muka dan scrub badan? Apakah manfaat scrub? Adakah sekadar untuk rawatan kecantikan semata-mata?

Melakukan Scrub

Setiap hari, kulit kita akan bekerja keras untuk melindungi badan daripada pelbagai bahan asing yang berisiko untuk masuk ke dalam badan melalui kulit. Kulit secara asasnya akan bertindak sebagai ‘penapis’ yang akan menghalang sebarang benda dan bahan asing daripada memasuki liang pori pada kulit. Jadi apakah yang akan berlaku kepada bahan asing yang terperangkap pada ‘penapis’ kulit itu? 

Kebiasaannya, segala bahan asing atau lebih mudah ditafsirkan sebagai kekotoran akan berakhir pada permukaan kulit. Jadi untuk menjaga kulit dan tahap kesihatannya, proses scrubbing, atau pengelupasan (exfoliate) adalah perlu untuk dilakukan secara rutin, tidak kira sama ada scrub muka atau badan. 

Rawatan Kecantikan

Kulit sama ada kulit muka atau badan adalah merupakan lapisan pelindung bahagian luar yang utama. Semakin kerap anda berada di luar, ia akan mengakibatkan sebarang kekotoran, bahan asing yang dibawa oleh udara akan melekat pada kulit.

Sinaran UV juga berisiko untuk menyebabkan kulit anda rosak dan menjadikannya tampak kusam, kering, bersisik dan tidak berseri.

Selain berpunca daripada faktor persekitaran, kotoran pada kulit juga boleh wujud disebabkan sel kulit mati. Ini kerana, secara normalnya, kulit akan menghasilkan sel kulit baru setiap kitaran 30 hari atau lebih.

Dalam proses ini, sel kulit lama akan mengelupas dan digantikan dengan sel kulit baru. Tetapi, tanpa kita sedari, adakalanya sel kulit mati ini tidak mengelupas atau tersingkir secara menyeluruh pada kulit dan berkumpul pada permukaan kulit.

Kesannya ia akan menjadi kotoran yang terlekat pada kulit untuk tempoh waktu yang agak lama. Jadi salah satu cara untuk menyingkirkan sel kulit mati dengan kotoran dan bahan asing ini adalah dengan melakukan proses pengelupasan.

Ia merupakan satu proses yang membantu menghilangkan sel-sel kulit mati dengan bahan seperti scrub. Melakukan pengelupasan dengan scrub dapat membantu menghilangkan kotoran dan sel kulit mati sehingga dapat menjadikan kulit lebih berseri dan sihat. Ia boleh dianggap sebagai 1 proses rawatan kecantikan.

Bahkan, proses pengelupasan, jika dilakukan dengan betul dan tepat, dapat membersihkan kulit anda sehingga ke liang pori. 

Manfaat Scrub Muka dan Badan

rawatan kecantikan

Secara umumnya, seorang individu dewasa akan menyingkirkan 50,000 sel kulit mati setiap minit sebagai sebahagian proses penghasilan semula sel kulit baru (cell regeneration process).

Namun, tanpa anda sedari, sel kulit mati ini selalunya akan menyumbat liang pori yang akhirnya akan menyebabkan masalah kulit seperti cela dan jerawat. 

Proses rawatan scrub muka mahupun badan ini, dapat membantu kulit untuk menyingkirkan sel kulit mati dari luar dan sekali gus memastikan kotoran lain yang cenderung tersumbat pada liang pori juga akan turut disingkirkan. Sebagai rawatan kecantikan, scrub akan menjadikan kulit untuk kelihatan lebih berseri dan sihat. 

Selain berperanan untuk menjadi kulit lebih sihat,scrub muka dan badan juga berperanan untuk mencegah dan melawan penuaan. Seiring dengan pertambahan usia, proses penjagaan semula sel tisu baru pastinya akan menjadi semakin perlahan dan akibatnya kulit akan menjadi kusam.

Proses scrubbing yang menggunakan kaedah menggosok dan urutan ini dipercayai dapat merangsang aliran darah serta dapat mempercepatkan proses penjanaan sel baru. 

Jadi, jika anda inginkan kulit yang tetap kelihatan berseri, bercahaya dan sihat, serta memerlukan rawatan kecantikan, amatlah disarankan untuk melakukan rawatan scrub muka dan badan secara rutin.

Berapa Kerap Perlu Lakukan Scrub Muka?

Kebiasaannya, rawatan scrub muka digalakkan untuk dilakukan setiap dua kali seminggu. Namun terdapat beberapa faktor yang boleh menentukan berapa kerap untuk anda melakukan rawatan scrub muka. Antara faktor-faktornya adalah seperti:

Scrubbing merupakan proses urutan dan gerakan sederhana yang membantu anda membuang sel-sel kulit mati daripada wajah. Anda boleh melakukan scrub dengan bahan yang ada di dalam rumah anda, yang mempunyai tekstur butiran sehalus pasir.

Proses ini dapat menyingkirkan sel-sel kulit mati dan kusam daripada muka dan proses penghasilan sel kulit baru yang lebih sihat dapat berlaku.

Berapa Kerap Perlu Lakukan Scrub Badan?

Berbanding dengan kulit muka, ketahanan kulit badan adalah lebih tinggi dan kuat. Ini bermakna anda boleh melakukan rawatan scrub dengan lebih kerap di seluruh badan anda.

Anda digalakkan untuk melakukan proses scrubbing pada badan anda sekurang-kurangnya 2 hingga 3 kali dalam tempoh seminggu. Tetapi sama seperti kulit muka, jika kulit badan anda agak sensitif, anda dicadangkan untuk tidak melakukan rawatan scrub terlalu kerap.

Anda tidak perlu menggosok badan sehingga terlalu kuat hanya untuk memastikan sel kulit mati anda disingkirkan dari badan. Sebaiknya, lakukan dengan lembut tetapi dapat memberikan hasil yang bersih secara menyeluruh. 

Menggosok scrub terlalu kuat boleh menyebabkan anda secara tidak sengaja turut menyingkirkan sel kulit yang masih sihat dan berkemungkinan akan merosakkan keadaan kulit anda.

Jika kulit anda berubah menjadi kemerahan atau anda berasa pedih setelah melakukan proses scrubbing, ia adalah petanda bahawa anda menggosok terlalu kuat dan anda perlu untuk mengurangkannya. 

Scrub Muka Berlebihan Boleh Rosakkan Kulit?

Menggunakan scrub merupakan rutin penjagaan dan rawatan kecantikan muka yang berkesan untuk memastikan liang pori bersih daripada sel-sel kulit mati dan membantu sel sihat pada kulit anda.

Bergantung kepada jenis kulit, anda mungkin boleh menggunakan scrub muka setiap selang sehari atau hanya sekali seminggu.

Pun begitu, penggunaan scrub muka berlebihan boleh menyebabkan micro tear kepada kulit anda dan mendedahkannya kepada pencemaran persekitaran dan radiasi berbahaya daripada matahari.

Tanpa mengira berapa kerap anda menggunakan scrub muka, terdapat tanda-tanda penggunaan scrub muka berlebihan yang perlu anda ketahui.

1. Kemerahan dan kerengsaan

Scrub Muka dan Badan Kepentingan Keduanya - kemerahan

Kulit muka anda mungkin sedikit merah sejurus selepas penggunaan scrub muka, tetapi jika wajah anda kekal merah berjam-jam bahkan sehingga keesokan harinya, ini mungkin bermakna anda perlu mengurangkan kekerapan penggunaan.

Jika kulit anda berasa gatal-gatal atau anda mengalami sensasi terbakar apabila menggunakan pengelupas kimia, ini menandakan bahawa lapisan penghadang kulit anda telah rosak disebabkan pengelupasan. 

Jika anda berasa sensasi kesemutan atau terbakar dengan produk penjagaan kulit yang lain, anda juga patut mengurangkan pengelupasan. Berasa sedikit pedih dengan asid adalah normal, tetapi jika anda berasa sakit, kurangkan penggunaan pengelupas.

2. Kulit kian kering dan mengelupas

Dengan jenis kulit kering, kombinasi dan kulit biasa, terlebih pengelupasan boleh menyebabkan kulit anda semakin kering dan bahkan mula mengelupas. Sekiranya anda mendapati bahawa anda mengalami tompok kering, sering menggunakan lebih banyak pelembap, atau mula mengalami kulit mengelupas di mana-mana bahagian muka anda, ini bererti anda perlu berehat daripada menggunakan produk pengelupasan. Dan, jangan sesekali menggunakan scrub untuk menyingkirkan kulit mengelupas kerana anda akan memburukkan keadaan.

3. Peningkatan pengeluaran minyak

Bagi kulit berminyak dan kombinasi serta sesetengah kulit normal, perkara yang sebaliknya boleh berlaku. Kulit anda mungkin menghasilkan lebih banyak minyak daripada biasa.

Ini adalah kerana pengelupasan boleh mengeringkan dan melemahkan kulit anda, dan dengan itu kulit anda cuba mengimbanginya dengan menghasilkan minyak berlebihan untuk melindungi dan menghidratkannya semula.

4. Jerawat

Percaya atau tidak, terlebih pengelupasan sebenarnya merupakan antara sebab utama berlaku jerawat, atau mengapa jerawat sukar hilang.

Walaupun pengelupasan secara sederhana adalah cara yang baik untuk mencegah jerawat melalui penyingkiran kotoran daripada liang roma, tetapi pengelupasan juga berlebihan boleh melemahkan lapisan penghadang kulit sehingga tidak lagi dapat melindunginya daripada bakteria dan jangkitan.

5. Kulit berkilat

Anda mungkin menganggap kulit berkilat sebagai tanda positif selepas pengelupasan. Sebaliknya, kulit yang kelihatan sihat berseri dan terhidrat tidak sama dengan kulit berkilat. Kulit berkilat selepas pengelupasan boleh bererti bahawa kulit anda dilucutkan tekstur semula jadinya.

Tekstur kulit yang anjal dan kelihatan berseri sepatutnya hasil daripada penggunaan pelembap, produk penjagaan kulit dan bukannya kesan pengelupasan.

Sekiranya anda mula mendapati tanda-tanda tersebut, hentikan pengelupasan selama seminggu atau lebih untuk membiarkan kulit anda sembuh dan kekerapan penggunaan setelah kulit anda sembuh.

Anda juga boleh menggunakan produk yang memberikan kelembapan kulit atau produk yang membantu menguatkan lapisan penghadang kulit. Selain itu, jangan lupa menggunakan penghadang matahari untuk mengelakkan radiasi berbahaya.

Scrub Muka dan Badan Kepentingan Keduanya - scrub kopi

Bolehkah Scrub Muka ketika Berjerawat?

Penggunaan pencuci muka yang mengandungi scrub adalah bertujuan untuk membantu proses penyingkiran sel kulit mati, minyak, dan kekotoran yang menyumbat liang pori di permukaan kulit.

Sel kulit mati, minyak dan kotoran yang secara berlebihan adalah punca yang menyebabkan jerawat. Maka cara ini dipercayai dapat membantu mencegah jerawat daripada muncul. 

Tetapi selalunya, penggunaan sabun pencuci muka yang mengandungi scrub secara kerap atau melakukan proses rawatan pengelupasan cenderung menjadikan keadaan kulit muka yang sudah berjerawat akan lebih teruk dan kronik.

Akhirnya, semakin anda menggosok kulit muka anda dengan kuat, semakin kulit anda akan mengalami kerengsaan dan kemerahan.  

Kaedah terbaik scrub muka berjerawat

Mencuci muka dengan scrub untuk muka berjerawat adalah tidak digalakkan. Namun, ia tidak bermakna anda tidak boleh melakukan proses pengelupasan pada ketika muka anda mempunyai jerawat.

Anda boleh memilih produk pembersih muka atau pengelupasan yang tidak mengandungi tekstur berbiji, sebaliknya pilih yang mengandungi asid salisilik. 

Bahan asid salisilik, BHA, dalam produk penjagaan kulit berperanan untuk mengeluarkan sel-sel kulit mati semasa melawan jerawat. Ia berbentuk seperti serbuk kristal yang larut dalam minyak.

Bahan ini boleh diserap ke dalam kulit dengan baik sehingga ia menembusi liang pori. Oleh sebab ini, asid salisilik amat disyorkan sebagai rawatan kulit kepada kulit berjerawat atau berminyak. 

Tetapi, penggunaan produk penjagaan kulit yang mengandungi BHA menjadikan kulit anda amat sensitif kepada sinaran UV. Oleh itu, pastikan anda menggunakan pelindungi matahari sekiranya anda menggunakan produk BHA. Elakkan penggunaan produk asid salisilik bersama retinol yang boleh membuatkan kulit anda menjadi sangat kering dan mudah mengalami kerengsaan. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Artikel lain untuk anda

skrub muka

Setiap Hari Tonyoh Muka Dengan Skrub, Tahu Tak Ia Sebenarnya Boleh Merosakkan Kulit?

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Helma Hassan
Diterbitkan pada 27/09/2018 . 2 minit bacaan