backup og meta

Nak Cantik Sampai Tak Ambil Tahu Kesan Pada Wajah, Ini Bahaya Jika Pakai Kosmetik Ada Merkuri!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 21/09/2021

    Nak Cantik Sampai Tak Ambil Tahu Kesan Pada Wajah, Ini Bahaya Jika Pakai Kosmetik Ada Merkuri!

    Sebagai pembeli, apakah kriteria utama anda ketika memilih produk kosmetik? Harga, keberkesanan atau jenama produk kecantikan tersebut?

    Ada pengguna yang pentingkan jenama dan sanggup berbelanja lebih kerana menurut mereka produk yang mahal itu lebih berkesan.

    Ada juga pengguna yang tidak kisah dengan harga ataupun jenama. Mereka puas hati hanya dengan memakai produk yang dibeli dari farmasi berdekatan. Cukuplah hanya cuci muka dan pakai pelembap sahaja.

    Tetapi, ada dalam kalangan kita yang beli barang kerana ingin mengikut trend semasa. Jika produk X sedang popular dan tular di media sosial, pasti mereka akan dapatkannya segera!

    Hati-hati ketika membeli produk kosmetik

    Penulis pasti ramai pembaca yang faham akan pengaruh media sosial. Kadang-kadang, kita akan dihidangkan dengan pelbagai jenis iklan produk kecantikan daripada dalam dan luar negara.

    Iklan-iklan ini pula datang dalam bentuk testimoni seperti wajah pelanggan sebelum dan selepas menggunakan produk tersebut.

    Tidak kurang juga, ada penjual yang memaparkan mesej whatsapp dengan pelanggan yang beriya mengaku produk tersebut berjaya membuatkan kulit wajahnya putih atau kurang jerawat dalam masa yang singkat!

    Tapi, adakah semua ini benar-benar bukti keberkesanan sesuatu produk?

    Petua membeli produk kecantikan

    produk kecantikan

    Jadilah pengguna yang bijak dan jangan mudah tertipu dengan iklan yang berbentuk testimoni pelanggan, lebih-lebih lagi daripada influencer berbayar.

    Banyak keburukan jika anda tersalah beli produk kecantikan palsu ataupun tidak berkualiti.

    Lainlah jika anda tersalah beli beg Gucci palsu. Barang begini tidak akan sebabkan kulit anda rosak dan mungkin berparut selamanya!

    Sebagai panduan, pastikan anda:

    1. Beli produk daripada kedai ataupun individu yang bertauliah sahaja.
    2. Jangan tertipu dengan produk yang terlalu murah.
    3. Pastikan label tulen, tidak ada kesalahan ejaan.
    4. Jangan percaya jika produk dipasarkan berdasarkan review pengguna di Instagram ataupun Facebook.

    Produk kosmetik yang dikesan mempunyai racun berjadual

    Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerap mengeluarkan kenyataan akhbar untuk melaporkan produk kecantikan yang dikesan mengandungi racun berjadual.

    Produk kosmetik ini mungkin mengandungi tretinoin, hydroquinone ataupun merkuri yang tidak boleh digunakan ke atas kulit sewenang-wenangnya.

    3 bahan ini merupakan antara yang popular digunakan di dalam formulasi produk kecantikan palsu.

    Walaupun ia mungkin berkesan kepada orang lain, tidak bermakna ia akan berkesan kepada anda! Oleh itu, hati-hatilah jika anda terjumpa produk yang mengandungi 3 bahan berikut:

    1. Tretinoin

    Tretinoin merupakan sejenis vitamin A sintetik yang digunakan untuk merawat kulit yang berjerawat, kedutan dan juga hiperpigmentasi.

    Penggunaan tretinoin adalah dilarang sama sekali tanpa preskripsi doktor. Tretinoin merupakan sebuah produk farmaseutikal yang hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

    Produk kecantikan yang dicampur dengan tretinoin selalunya mendakwa boleh menyembuhkan jerawat dalam masa yang singkat.

    Walau bagaimanapun, tretinoin mempunyai beberapa kesan sampingan seperti kulit akan jadi kering, gatal dan merah-merah.

    Tambahan lagi, bahan ini boleh buatkan individu yang berjerawat jadi makin teruk pada awal penggunaannya.

    Tretinoin berfungsi dengan cara mempercepatkan pertukaran sel kulit. Oleh itu, normal bagi pengguna tretinoin mengalami iritasi.

    Selain itu, pengguna tretinoin juga perlu rajin mengaplikasi pelindung matahari pada muka kerana kulit akan jadi lebih sensitif terhadap matahari selepas penggunaan bahan ini.

    2. Hydroquinone

    produk kecantikan

    Hydroquinone popular dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai bahan dalam produk kosmetik yang boleh memutihkan kulit. Sama seperti tretinoin, hydroquinone perlu dipakai di bawah pengawasan pakar.

    Kulit manusia selalunya dapat bertoleransi dengan hydroquinone. Sebab itulah, ramai pemakai hydroquinone rasa selesa dan selamat ketika memakai produk skin-bleaching ini.

    Hydroquinone jarang menunjukkan apa-apa kesan sampingan jika dipakai dalam kepekatan yang rendah.

    Walau bagaimanapun, produk kecantikan palsu yang mengandungi hydroquinone selalunya mempunyai formulasi kepekatan yang lebih tinggi daripada biasa.

    Ia boleh akibatkan pemakainya mengalami kulit kering, gatal, pruritus, erythema dan dermatitis sentuh.

    Jika anda mendapat preskripsi produk yang mempunyai hydroquinone, jangan guna terlalu kerap pada muka. Ikut arahan yang diberikan oleh doktor dan elakkan guna sekitar kawasan mata dan mulut.

    3. Merkuri

    Jangan beli produk kosmetik yang mengandungi merkuri! Lebih-lebih lagi produk yang mendakwa boleh bantu rawat penuaan dan memutihkan kulit.

    Baca senarai bahan kandungan di belakang produk tersebut terlebih dahulu.

    Jika ada perkataan ‘mercurous dioxide’, ‘calomel’, ‘mercuric’, ‘mercurio’ atau ‘mercury’, jangan beli atau pakai produk tersebut kerana ia mengandungi merkuri.

    Pendedahan kepada merkuri boleh membuatkan kesihatan anda terjejas. Malah, produk yang mengandungi merkuri bukan sahaja bahaya kepada pemakai, tetapi juga kepada ahli keluarga.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 21/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan