Risiko Pengambilan Ketum Kepada Kesihatan Anda

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 01/07/2020 . 6 minit bacaan
Share now

Mengenali pohon ketum

Pohon ketum atau dalam bahasa Inggerisnya, ‘kratom’ adalah sejenis tumbuhan daripada keluarga Rubiaceae. Nama saintifik untuk spesies pohon ini adalah Mitragyna speciosa dan tumbuhan ini merupakan tumbuhan yang asli kepada hanya beberapa kawasan sahaja di dunia seperti di Afrika, di utara dan tengah Semenanjung Malaysia serta di bahagian selatan negara Thailand. Khusus untuk negara Thailand, pohon unik ini turut disebut dengan beberapa nama lain seperti Kakuam, Ithang atau Thom. Pokok-pokok Mitragyna speciosa lazimnya tumbuh sehingga mencapai ketinggian di antara 12-30 kaki (3,7-9,1 m) dan berupaya untuk mencapai lebar 15 kaki (4.6 m). Daun pohon ketum ini mempunyai warna hijau gelap dan berupaya untuk berkembang sehingga mencapai ukuran melebihi 7 inci (180 mm) panjang dan 4 inci (100 mm) lebar.

Di kawasan asli tumbuhan ini, ia digunakan secara tradisional untuk tujuan rawatan dan juga kesegaran badan. Kegunaannya untuk tujuan perubatan dan kesegaran badan ini dikatakan telah bermula sejak daripada abad ke-19. Antara dakwaan manfaat kesihatan daripada pengambilan ketum dari lensa perubatan tradisional ini adalah ia dapat melegakan rasa sakit pada bahagian badan, menambah tenaga dan kekuatan fizikal, mempunyai sifat penenang dan antikeresahan, dan juga mampu untuk menguatkan tenaga batin dan prestasi seks. Ia juga telah digunakan turun-temurun sebagai minuman pemulih tenaga bagi wanita yang baru lepas bersalin dan juga sebagai rawatan tradisional untuk cirit-birit. 

Dalam rawatan tradisional, terdapat beberapa cara untuk menyediakan ketum sebelum ia diambil. Kaedah pengambilan yang popular dan kerap diamalkan di Malaysia adalah dengan merebus daun pohon ini untuk beberapa ketika sebelum air rebusannya diminum. Di Thailand pula, daun pohon ini akan dikunyah secara mentah. Untuk mereka yang berkerja dalam bidang yang dikategorikan sebagai kerja berat atau kerja yang membabitkan rutin berulang yang berpanjangan, mereka mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk mengamalkan pengunyahan daun ketum bagi tujuan pembekalan tenaga tambahan dan juga untuk menghilangkan rasa bosan dan mengantuk. 

Sebahagian daripada kegunaan tradisional ini masih diapplikasikan oleh pengguna masa kini khususnya untuk kawalan sakit kronik. Potensi kegunaan moden untuk tumbuhan ini adalah untuk mengurangkan dan juga mengawal simptom gian atau simptom putus ubat dalam kalangan mereka yang pernah mengambil ubat-ubatan atau dalam penyalahgunaan dadah yang berasaskan opium. Namun yang demikian, kegunaan moden tumbuhan ini yang mungkin paling sinonim dengannya adalah untuk tujuan rekreasi. Malahan, kegunaan rekreasi ini telahpun menjadi satu trend dan juga alternatif di beberapa negara barat. Melalui atas talian, ia turut diniagakan sebagai alternatif semula jadi dalam mengawal rasa sakit, menggantikan ubat berasaskan opioid. Bagi tujuan rekreasi, ia dikatakan mampu untuk menghasilkan kesan dalam tempoh 5 hingga 10 minit setelah diambil dan kesannya dikatakan mampu untuk bertahan sekitar 2 hingga 5 jam.

Kesan terhadap kesihatan dan fungsi tubuh

Terdapat lebih 40 kompaun kimia yang telah dikenal pasti terkandung di dalam daun pohon ini termasuklah sekitar 25 kompaun alkaloid seperti  rhynchophylline dan ajmalicine. Namun yang demikian, bahan psikoaktif utama yang terdapat dalam daun M. speciosa adalah mitragynine dan juga 7-hydroxymitragynine (7-HMG). Kompaun mitragynine mewakili sekitar 60% daripada keseluruhan ekstrak alkaloid tumbuhan ini manakala 7-HMG membentuk sekitar 2% sahaja daripada jumlah alkaloid keseluruhan.

Kesan sampingan dan kesan buruk 

Pada dos yang relatifnya rendah (sekitar 1 hingga 5 gram daun mentah), kesan utamanya bersifat perangsang (stimulant). Kesan sampingan yang boleh berlaku termasuklah pupil mata mengecut dan muka menjadi merah (akibat peningkatan aliran darah). Kesan advers yang berkaitan dengan sifat perangsang pula adalah keresahan, mudah terganggu, gatal-gatal, loya dan muntah, hilang selera makan dan juga kerap membuang air kecil. 

Pada dos yang sederhana, dalam lingkungan 5 hingga 15 gram daun yang mentah, kesan opioidnya mula dizahirkan. Kesan advers tambahan adalah jantung berdegup dengan lebih kencang (tachycardia) akibat daripada kesan perangsang yang lebih kuat dan juga kesan sampingan akibat opioid seperti sembelit, pening kepala, tekanan darah rendah, mulut menjadi kering dan juga berpeluh. 

Pengambilan dalam dos yang tinggi dan juga kerap berupaya untuk menghasilkan simptom seperti tangan terketar-ketar, anoreksia, susut berat badan, serangan sawan dan juga psikosis. Apa yang lebih membahayakan adalah untuk mereka yang kerap mengambil daun tumbuhan ini, khususnya dalam kandungan yang tinggi, akan mengalami gejala putus ubat atau gian selepas mereka berhenti pengambilan secara tiba-tiba. Antara gejala gian yang berupaya untuk berlaku adalah mudah disinggung, rasa tidak tenang, mual, tekanan darah tinggi, sukar untuk tidur (insomnia), hidung berair, sakit otot dan sakit sendi, dan juga cirit-birit. 

Keracunan hati (Liver toxicity)

Kesan keracunan daripada pengambilan tumbuhan ini adalah sesuatu yang secara relatifnya, jarang berlaku. Namun yang demikian, campuran dengan bahan-bahan lain dan/ atau pengambilan yang kerap dan dalam jumlah yang banyak, mendedahkan seseorang itu kepada risiko keracunan hati. Berdasarkan kajian terhadap tikus makmal, pemberian ekstrak metanol M. speciosa didapati berupaya untuk menghasilkan kecederaan hati, berdasarkan peningkatan dalam jumlah enzim penanda hati dan juga penanda hati yang lain. Pemberian ekstrak tersebut pada dos 100, 500 dan juga 1000mg/kg menyaksikan peningkatan enzim ALT, AST, albumin, trigliserida dan juga paras kolesterol. Berdasarkan dapat histopatologi, organ hati tikus-tikus tersebut menunjukkan kerosakan lobul poligon yang sederhana, pendarahan dalam sel-sel hati (hepatocyte) dan juga perkembangan struktur sinusoid. Kerosakan hati ini pula akan menyebabkan berlaku kesesakan aliran cecair hempedu, membawa kepada terjadinya keadaan yang disebut sebagai ‘intra-hepatic cholestasis’. Mereka yang mengalami keadaan ini akan mula perasan air kencing mereka berubah menjadi warna perang gelap (persis warna air teh o’) dan juga kulit mereka berubah warna kepada, menjadi semakin kuning. Kecederaan hati dikaitkan juga dengan kecederaan buah pinggang yang akut. 

Berupaya untuk menghasilkan kecederaan neurologi

Terdapat beberapa kes gangguan neurologi yang telah dikenal pasti berkaitan dengan kegunaan ketum. Namun yang demikian, sukar untuk ditentukan jika tumbuhan itu sendiri yang mengakibatkan serangan sawan atau ia berpunca daripada interaksi antara bahan aktif tumbuhan tersebut dengan bahan-bahan lain yang telah diambil oleh pengguna seperti nikotin dalam tembakau dan minuman beralkohol. Ini kerana gangguan sawan yang telah dicatat lazimnya melibatkan mereka yang mempunyai beberapa masalah ketagihan lain, mereka yang membuat tambahan bahan lain kepada ketum atau mereka yang sedang cuba untuk berhenti daripada masalah ketagihan dadah. Kajian dalam binatang pada tahun 2016 juga tidak berjaya untuk mengesan sebarang aktiviti yang persis sawan setelah diberikan ekstrak tumbuhan ini.

Keupayaan untuk menyebabkan kecederaan otot jantung 

Pada tahun 2014, satu kajian telah dijalankan bagi melihat untuk mengenal pasti kadar ketum dan analognya yang diperlukan untuk menghasilkan sebarang kesan kecederaan terhadap sel-sel otot jantung (cardiomyocyte) yang diperoleh daripada sel stem pluripoten. Kajian tersebut mendapati bahawa kandungan bahan aktif mitragynine pada dos 10 mM berupaya untuk menghasilkan pelengahan keupayaan tindakan (prolonged action potential) yang signifikan dan akhirnya mengakibatkan gangguan ritma jantung (arrhythmia). Bahan aktif mitragynine juga dikatakan dapat mendorong kepada terjadinya gangguan ritma elektrik jantung ‘Torsade de Pointes’.

Kemungkinan berupaya untuk menyebabkan kecederaan atau gangguan tiroid

Keupayaan ini dicadangkan berdasarkan laporan kes pesakit yang didiagnos dengan keadaan hipotiroid yang teruk. Selepas siasatan dan sejarah pesakit diambil, pesakit mengaku telah mengambil ketum dalam jangka masa yang lama untuk tahan sakit. Selepas 4 bulan menggunakannya, pesakit tersebut mencatatkan peningkatan berat badan sebanyak 27.2 kg (60 lbs), kerap merasa letih dan lesu yang melampau dan juga mempunyai ciri-ciri muka myxedematous. Walaupun tiada kajian terperinci yang telah dijalankan untuk mengaitkan penggunaan tumbuhan tersebut dengan gangguan tiroid secara tepat, penulis laporan tersebut mencadangkan terdapat kemungkinan bahan aktif mitragynine yang terdapat dalam tumbuhan tersebut berupaya untuk menghasilkan kesan penghalang terhadap kelenjar tiroid, khususnya setelah pemberhentian pengambilan bahan tersebut dan rawatan susulan didapati berkesan untuk menambah baik keadaan pesakit.

Kes kematian dan juga sudut perundangan berkaitan ketum

Kematian telahpun dicatatkan daripada penggunaan tumbuhan ini sama ada secara sendiri atau dengan campuran bahan-bahan lain. Dalam tempoh melebihi 18 bulan daripada tahun 2016 sehingga tahun 2017, 152 kematian akibat pengambilan berlebihan (overdose) melibatkan ketum telah dicatatkan di negara Amerika Syarikat sahaja. Di negara Sweden, 9 kematian telah dicatatkan dari tahun 2011 sehingga tahun 2012, di mana kesemuanya membabitkan pencampurannya dengan bahan opioid yang lain. 

Setakat tahun 2014, Persatuan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat telah melarang sebarang import atau penghasilan makanan tambahan berteraskan ketum. Menjelang tahun 2018, terdapat peningkatan kerisauan dalam kalangan warga antarabangsa berkaitan risiko kesihatan awam yang mungkin berlaku akibat daripada penggunaan tumbuhan ini. Dalam sesetengah perundangan negara, penjualan dan perdagangannya adalah sesuatu yang dilarang. Pohon ini dan juga bahagian atau terbitannya dianggap sebagai terkawal di lebih 16 buah negara.

Di peringkat ASEAN, setakat tahun 2013, ketum telah disenaraikan sebagai bahan tambahan produk yang tidak boleh dimasukkan dalam ubat-ubatan tradisional atau makanan tambahan kesihatan yang didagangkan merentas negara-negara ASEAN. Di Malaysia, ia diharamkan di bawah syeksyen 30 (3) Akta Racun 1952, yang membenarkan mereka yang disabitkan kesalahan untuk didenda maksimum penjara sehingga 4 tahun atau RM 10,000. Walau bagaimanapun, penguatkuasaan undang-undang ini dilihat tidak tegas dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman atau orang kampung lazimnya dibenarkan untuk terus mengambilnya. 

Sebagai konklusi, tumbuhan ini merupakan hasil bumi yang mempunyai pelbagai bahan aktif yang berpotensi untuk digunakan oleh perubatan moden. Untuk tujuan itu, lebih banyak kajian-kajian klinikal yang diperlukan untuk menyiasat kebolehan bahan aktifnya. Dengan kajian yang lebih terperinci dan meluas, ekstrak tumbuhan ini berpotensi untuk dijadikan rawatan terbaru dan lebih selamat untuk kesakitan kronik dan juga untuk melawan simptom putus ubat (gian) opioid. Dalam masa yang sama, peringatan dan amaran yang tegas perlu disampaikan dengan meluas terhadap bahaya yang mungkin berlaku berkaitan penggunaan ketum. Berdasarkan kajian terkini, terdapat beberapa kesan buruk terhadap kesihatan dan juga kematian yang boleh berlaku jika ia digunakan secara berlebihan atau dicampur dengan bahan lain. 

Pendidikan dan kesedaran berkaitan cara selamat untuk menggunakannya adalah perlu bagi membendung golongan belia daripada mencuba untuk mencampurkan ketum dengan bahan kimia yang lain. Selain itu, pendidikan dan kesedaran juga dapat membolehkan mereka yang mengambil tumbuhan ini untuk lebih cakna terhadap tanda-tanda atau simptom-simtpom keracunan. Ini membolehkan mereka untuk mendapatkan rawatan dengan cepat dan mengurangkan kecederaan yang sedang berlaku ke atas organ dalaman mereka. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan atau keraguan tentang pengambilan tumbuhan ini, pastikan anda mendapatkan nasihat yang tepat daripada doktor anda. Ini penting khususnya jika anda mempunyai masalah kesihatan lain atau masalah ketagihan

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Baca juga:

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Nasi Lemak: Makanan Tradisional Yang Sihat

    Nasi lemak sebenarnya adalah makanan tradisional yang sihat. Ingin tahu mengenai hidangan ini dengan lebih lanjut? Sila ikuti artikel ini.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Gaya Hidup Sihat, Pemakanan 15/07/2019 . 8 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    tradisi melayu

    Makan Guna Tangan Baik Untuk Kesihatan? Ada Lagi 4 Tradisi Melayu Bagus Diamalkan

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Wazir Aiman
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 05/05/2020 . 3 minit bacaan
    daun ketum

    Daun Ketum Boleh Rawat Kencing Manis & Darah Tinggi? JANGAN Biasakan Diri Percaya Bulat-Bulat!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 17/02/2020 . 4 minit bacaan
    demam campak

    Ditarik Semula Status ‘Measles-free’: Empat Negara Eropah Dilanda Semula Demam Campak

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab
    Diterbitkan pada 30/08/2019 . 2 minit bacaan
    Ditaja oleh
    pegaga

    Ulam Pegaga Memiliki Sifat Melindungi Sistem Saraf & Pencegahan Penyakit Strok

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab
    Diterbitkan pada 23/08/2019 . 8 minit bacaan