backup og meta

Tidur Tak Pakai 'Bra' Selesa, Tapi Betul Ke Tabiat Ini Elak Dapat Barah Payudara?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/11/2022

    Tidur Tak Pakai 'Bra' Selesa, Tapi Betul Ke Tabiat Ini Elak Dapat Barah Payudara?

    Eiii…tak naklah tidur pakai bra sebab orang kata nanti boleh dapat kanser payudara. Tetapi betul ke coli penyumbang kepada masalah kanser itu atau sekadar mitos?

    Tidur pakai bra tiada masalah

    Pastinya ramai pernah mendengar mengenai kononnya tidur pakai bra boleh menyebabkan berlakunya kanser payudara, bukan?

    Namun yang menjadi persoalan kini adakah ia benar atau sekadar rekaan semata-mata?

    Dalam perkongsian di laman Twitter Dr Amalina, Pakar Pelatih Bedah di Bahagian Surgikal dan Trauma di Imperial College Healthcare NHS Trust di bawah seliaan The Royal College of Surgeons of England, beliau menyangkal semua dakwaan itu.

    Menurut beliau, pemakaian coli sewaktu tidur mahupun memakai bra yang berdawai tidak akan menyumbang kepada masalah kanser payudara seperti yang dipercayai kebanyakan individu.

    “Sesetengah individu mungkin perlu tidur pakai bra pada waktu malam untuk sokongan atau kerana nasihat doktor. Jika anda perlu memakainya, pastikan bra yang dipakai adalah saiz yang betul dan tidak terlalu ketat,” ujar Dr Amalina.

    tidur pakai bra

    Dalam perkongsian tersebut, Dr Amalina turut menyatakan tidak menjadi kesalahan untuk tidur pakai bra seandainya ia mendatangkan keselesaan kepada individu dan tidak menyebabkan sebarang kemudaratan.

    Tidur pakai bra atau tidak?

    Jadi mana yang elok, pakai bra ataupun tidak? Ada juga yang mengatakan memakai coli semasa tidur boleh mengelakkan payudara daripada menjadi kendur, betul ke?

    Bagi Profesor Bersekutu Pembedahan dan Pengarah Breast Cancer Surgery Multidisciplinary Fellowship di NYU Langone Medical Center, Dr Amber Guth, tiada sebarang bukti kukuh yang boleh mengaitkan pemakaian coli dengan sebarang manfaat atau risiko bahaya kepada kesihatan payudara.

    Beliau turut menjelaskan, payudara seseorang wanita itu boleh mengendur disebabkan beberapa faktor seperti kehamilan dan penyusuan bayi.

    Faktor seperti peningkatan usia dan graviti juga boleh menyebabkan payudara menjadi kendur.

    Manfaat tidur tanpa bra

    Jika pakai bra dianggap membantu mengekalkan bentuk payudara, apa pula manfaat jika anda memilih untuk tidak memakainya? 

    Seperti yang dikatakan, mungkin tidak terdapat sebarang manfaat yang dapat dibuktikan secara saintifik. Namun terdapat beberapa kebaikan yang boleh diperolehi apabila anda tidak memakai bra ketika tidur.

    tidur pakai bra

    1. Mengurangkan peluh

    Pemakaian coli ketika tidur, khususnya apabila suhu bilik meningkat pada waktu malam boleh menyebabkan bahagian payudara anda berpeluh.

    Malahan terdapat sesetengah jenis bra yang diperbuat daripada bahan sintetik dan boleh menyebabkan bahagian sekitar payudara mengalami peluh yang berlebihan.

    Apabila anda mengalami peluh secara berlebihan, ia boleh menyebabkan tidur anda terganggu dan anda akan kerap terjaga pada waktu malam.

    Menurut Penulis buku Sleep Smarter, Shawn Stevenson, tidur tanpa memakai pakaian boleh membantu menurunkan suhu badan.

    Secara asasnya, suhu badan anda akan berkurangan atau seimbang sekiranya anda tidur dengan membuka baju atau tidur tanpa memakai coli.

    Jadi mungkin anda boleh mempertimbangkan untuk tidak memakainya ketika waktu tidur malam nanti.

  • Meningkatkan kualiti tidur

  • Kebanyakan reka bentuk bra, sama ada berdawai atau tidak, dicipta untuk memenuhi keperluan aktiviti harian yang aktif. Namun tidak pada waktu berehat atau tidur.

    Malahan ada coli yang ketat sehingga membuatkan anda berasa sesak nafas dan menjadi tidak selesa sewaktu tidur. Ketidakselesaan itu boleh mengakibatkan anda mengalami masalah tidur atau gangguan berkaitan tidur yang lain.

    Kesannya?

    Anda tidak akan mendapat masa tidur yang berkualiti dan badan anda tidak akan dapat berehat dengan sebaiknya.

    Maka tidur tanpa memakai coli pastinya jalan penyelesaian terbaik bagi memberikan keselesaan ketika tidur.

    1. Mengurangkan risiko jangkitan kulit

    Seharian memakai coli akan mengganggu peredaran udara pada liang kulit yang dilindungi. Apabila anda sentiasa memakai bra, kulit akan mengalami kesukaran untuk menyerap udara.

    Keadaan ini sekali gus akan mewujudkan persekitaran lembap yang kondusif sehingga menyebabkan risiko untuk berlakunya pembiakan bakteria yang berbahaya.

    Sudah tentu kewujudan bakteria boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit sehingga menimbulkan kegatalan. 

    tidur pakai bra

    1. Mengurangkan risiko penyumbatan limfa

    Bentuk coli yang terlalu ketat boleh menyebabkan tekanan yang berlebihan pada payudara anda. Sekiranya anda memakai bra seperti ini ketika tidur, anda cenderung menyebabkan penyumbatan limfatik.

    Penyumbatan ini berlaku disebabkan oleh pembentukan cecair dalam nodus limfa axillary yang terletak pada bahagian ketiak.

    Kelenjar-kelenjar ini berfungsi untuk melawan jangkitan badan, kemasukan bahan-bahan asing yang berbahaya dan sel-sel kanser.

    Malahan dikatakan tidur tanpa coli akan dapat mengelakkan gangguan pada fungsi-fungsi organ badan penting berkaitan kelenjar limfa seperti hati.

    Mengikut keselesaan

    Apa yang boleh disimpulkan, tidur pakai bra tidak akan menyebabkan sebarang risiko kanser payudara. Ia hanyalah sekadar mitos yang menjadi kepercayaan semata-mata.

    Sama ada anda ingin memakai coli ketika tidur atau tidak, ia adalah bergantung kepada keselesaan anda. Cuma elakkan daripada memilih coli yang terlalu ketat, okay?

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan