backup og meta

Anak Basuh Tangan Lama, Petanda Awal OCD, Mak Ayah Jangan Biar Si Kecil Alami Masalah Mental Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 05/10/2022

    Anak Basuh Tangan Lama, Petanda Awal OCD, Mak Ayah Jangan Biar Si Kecil Alami Masalah Mental Ini

    Kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) sering disalahertikan dengan perfectionist (mereka yang mementingkan kesempurnaan). Ini turut berlaku pada kanak kanak.

    Walaupun kedua-duanya kelihatan hampir sama, OCD ialah masalah kesihatan mental yang boleh mempengaruhi kualiti hidup individu.

    OCD adalah tingkah laku yang lebih ekstrem daripada mereka yang mementingkan kesempurnaan.

    Apabila berbicara mengenai OCD, ia terbahagi kepada 2 elemen utama.

    Elemen obsesif dalam penghidap OCD

    Ia merupakan satu bentuk impuls, gerak hati atau dorongan yang bermain berulang kali di fikiran penghidap OCD. 

    Mereka yang mempunyai corak pemikiran sedemikian kebiasaannya cuba untuk tidak mengendahkannya.

    Namun begitu, tingkah laku tersebut seringkali gagal memandangkan mereka takut apa yang bermain di fikiran mereka benar atau boleh berlaku.

    Masalah ini boleh menyebabkan penghidap OCD mengalami keresahan dan kemurungan sekiranya mereka tidak buat apa-apa.

    Elemen kompulsif dalam penghidap OCD

    Kompulsif adalah satu bentuk tindakan berulang-ulang  yang dilakukan oleh penghidap OCD kesan daripada elemen obsesif yang dialami.

    Sebagai contoh, jika penghidap khuatir tangan mereka dipenuhi bakteria (elemen obsesif), tindakan yang akan diambil adalah dengan membasuh tangan berkali-kali (elemen kompulsif).

    Penghidap OCD percaya bahawa tindakan kompulsif boleh menghindarkan sesuatu yang buruk daripada berlaku.

    Ia juga dapat mengawal rasa resah gelisah serta menghindarkan mereka daripada stres berkaitan dengan faktor obsesif mereka.

    Adakah kecelaruan obsesif kompulsif boleh dialami oleh kanak-kanak?

    ocd

    Sudah tentunya setiap ibu bapa risau akan perkembangan kesihatan mental anak yang sedang membesar.

    Sekiranya anak mempunyai masalah OCD, ia boleh mempengaruhi kualiti hidup mereka dari pelbagai aspek.

    Sebagai contoh, penghidap OCD yang takut akan bakteria dan perlu membersihkan diri berkali-kali boleh lewat untuk hadir ke kelas.

    Proses pembelajaran mereka turut terganggu sekiranya perlu melakukan ritual rutin bagi mengawal tahap obsesi mereka terhadap bakteria.

    Malahan, masalah ini tidak eksklusif kepada orang dewasa sahaja.

    Kanak-kanak dan remaja turut berisiko didiagnosis dengan masalah OCD dan mengalami tahap kualiti hidup yang rendah.

    Apa yang lebih parah adalah sukar untuk kita buat penilaian objektif jika kanak-kanak tersebut terlalu muda untuk mengenal faktor obsesi mereka.

    Keadaan ini boleh menyebabkan wujudnya salah faham di antara ibu bapa dan anak yang bergelut untuk tidak terpengaruh dan keadaan kesihatan mental yang mereka hadapi.

    Rutin, ritual dan perbuatan berulang kali yang dilakukan oleh anak

    kanak kanak

    Ibu bapa lebih arif berkaitan dengan perubahan yang berlaku pada anak mereka sendiri.

    Salah satu daripada gejala lazim bagi kanak-kanak yang menghidap OCD adalah perbuatan berulang kali yang menjadi rutin bagi mereka.

    Mereka seringkali berasa tertekan sekiranya rutin tersebut tidak dibuat pada satu masa.

    Sebagai contoh, ada kanak-kanak yang suka untuk memeriksa setiap barangan elektrik di dalam rumah sebelum mereka tidur.

    Mereka perlu memastikan setiap daripadanya sudah ditutup. Apa jadi sekiranya mereka terlepas 1 atau 2 barangan elektrik?

    Mereka akan mengulang semula rutin tersebut sebelum tidur.

    Ada juga anak yang mungkin tidak suka menyentuh benda kotor. 

    Ia boleh disifatkan sebagai anak yang tidak mahu mengikat kasut sendiri, tidak suka menyentuh bahagian badan yang dianggap kotor seperti kemaluan walaupun ketika mandi dan sebagainya.

    Mereka akan membasuh tangan berulang kali sekiranya perkara tersebut berlaku.

    Marah sekiranya rutin mereka terganggu

    Memang normal bagi kanak-kanak yang menyentuh benda kotor untuk membasuh tangan mereka selepas itu.

    Namun, jika perkara tersebut berlaku berulang kali dan mereka membasuh tangan lebih lama daripada yang biasa, ia boleh menjadi petanda awal OCD.

    Lagi petanda OCD ialah mereka akan rasa marah, sedih dan tertekan jika rutin yang selalu dibuat tidak terlaksana.

    Ini bukan satu petanda tingkah laku normal.

    Elemen obsesif yang tidak terkawal menyebabkan masalah tingkah laku

    ocd

    Sukar untuk kita ketahui apakah elemen obsesif yang bermain di fikiran anak-anak.

    Oleh sebab itulah komunikasi di antara ibu bapa dan anak penting bagi membantu mereka mengenal pasti faktor obsesi yang dialami.

    Kanak-kanak yang menghidap OCD kebiasaannya malu dengan tindak kompulsif mereka sendiri.

    Ibu bapa perlu tahu bagaimana cara untuk mendorong si anak meluahkan isi hati mereka sendiri.

    Jika ia tidak diuruskan dengan baik, perkara ini boleh menyebabkan berlakunya masalah tingkah laku.

    Mereka mudah mengamuk dan lebih suka mengasingkan diri memandangkan tiada siapa yang faham masalah mereka.

    Mak ayah, ambil perhatian

    Kunci kepada diagnosis dan rawatan oleh doktor bergantung kepada ibu bapa.

    Anda perlu ambil tahu setiap perkara yang berlaku dalam hidup anak anda.

    Sekiranya mereka mempunyai satu bentuk obsesi atau ketakutan, anda perlu tahu cara untuk menggalakkan komunikasi dengan anak.

    OCD bukanlah satu masalah kesihatan yang boleh diambil mudah memandangkan tanpa rawatan, ia boleh menyebabkan komplikasi mental yang lebih serius.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 05/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan