backup og meta

Ketahui, Makan Sihat Bukan Hanya Untuk Badan, Tetapi Juga Untuk Mental Anda!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 16/06/2020

    Ketahui, Makan Sihat Bukan Hanya Untuk Badan, Tetapi Juga Untuk Mental Anda!

    Kita biasa mendengar, jika ingin kurus atau menjaga bentuk tubuh badan yang menarik, amalan diet tertentu adalah jawapannya. Ya, diet atau penjagaan makanan sememangnya sinonim dengan budaya atau keinginan untuk memiliki tubuh yang cantik. Ia tidak dapat dipisahkan sama sekali. Bagaimana jika ada yang mengatakan, mereka memilih diet tertentu untuk menjaga kesihatan mental pula? Pernahkah anda mendengar mengenai hal ini? Jika belum, kajian terbaharu ini pasti menarik minat anda. Jom baca apa yang kami sediakan di bawah ini.

    Makan sihat untuk mental yang sihat

    Sekumpulan saintis telah mengesahkan, makan secara sihat sangat baik bukan sahaja baik untuk tubuh badan, malah untuk otak dan kesihatan mental. Kajian yang dijalankan terhadap beberapa jenis diet telah menemui, terdapat ‘hubungan langsung’ antara makan secara sihat dengan kesihatan mental, stres dan fungsi otak. Kumpulan saintis daripada seluruh Eropah dan diketuai oleh Univesity of Gothenburg, Sweden ini menyatakan, hubungan ini wujud secara kukuh dalam sesetengah perkara tetapi tidak begitu jelas bagi sesetengah perkara yang lain. 

    Sebagai contoh, diet keto atau diet ketogenik boleh membantu kanak-kanak yang mempunyai epilepsi atau sawan, tetapi kekurangan vitamin B12 boleh menyebabkan memori yang lemah serta keletihan. Diet Mediterranean yang mengurangkan pengambilan gula, daging merah dan lemak tepu pula boleh melindungi seseorang individu daripada keresahan dan kemurungan. Para penyelidik turut menyatakan, tidak terdapat bukti yang mencukupi bagi menerangkan mengapa makanan mempunyai kesan tertentu dan ia perlu diterokai dan dikaji dengan segera.

    Untuk pengetahuan anda, kajian ini telah dijalankan oleh kumpulan saintis dari beberapa universiti berbeza iaitu University Medical Centre Gronigen, Jerman, Radboud University dan University College Cork di Ireland selain University of Birmingham, England. Review yang telah dijalankan adalah berdasarkan puluhan kajian yang telah dijalankan sebelum ini.

    Makan secara tidak sihat boleh mempengaruhi mood

    Menurut salah seorang penyelidik kajian tersebut iaitu Profesor Suzanne Dickson, mereka mendapati terdapatnya petambahan bukti bagi hubungan antara diet yang tidak sihat dengan keadaan keresahan dan kemurungan yang semakin teruk. Walau bagaimanapun, banyak kepercayaan berkenaan kesan kesihatan oleh sesetengah makanan tidak disokong dengan bukti yang kukuh. Ini termasuklah dakwaan peningkatan pengambilan gula boleh memburukkan keadaan ADHD yang sebenarnya tidak disokong dengan kajian jangka panjang. Selain itu, terdapat juga kepelbagaian hasil kajian berkenaan kesan suplemen vitamin D terhadap autisme atau kuasa memori.

    Hasil kajian review ini

    Selain daripada hasil review mengenai diet keto dan diet Mediterranean ini, kajian juga mendapati bahawa suplemen nutrien yang diperoleh daripada diet yang berasaskan minyak zaitun tidak mengurangkan simptom-simptom dalam kajian lain. Walaupun terdapat perkara yang berbeza dalam kajian yang berlainan seperti ini, para penyelidik menyatakan ia jelas bahawa apa yang dimakan oleh kita mampu memberi kesan terhadap kesihatan mental kita. Kajian tersebut menyatakan, perkara yang berkaitan dengan nutrisi seperti malnutrisi dan obesiti adalah saling berkaitan dengan regulasi mood dan sensitiviti stres manusia, lalu mencadangkan bahawa terdapatnya hubungan yang kuat antara diet, metabolisme dan juga kesejahteraan mental.

    Bagaimana makanan mempengaruhi kesihatan mental anda?

    Kumpulan penyelidik ini menyatakan, jika anda tidak mendapatkan nutrien yang sepatutnya daripada sumber pemakanan, ia bermakna sesetengah kimia tertentu tidak tersedia untuk otak anda berkembang dengan sihat. Selain itu, pengambilan sumber makanan yang tidak sihat juga boleh melepaskan hormon tertentu yang menyebabkan mood seseorang individu itu berubah.

    Menurut Profesor Dickson, kesan pemakanan individu dewasa yang sihat keatas kesihatan mental adalah agak kecil, dan menjadikan pengesanan kesan ini sedikit sukar. Menurut Profesor Dickson lagi, mungkin juga suplemen makanan ini berfungsi sekiranya terdapat sebarang kekurangan yang disebabkan oleh diet yang tidak sihat. Selain itu, kumpulan penyelidik juga perlu mempertimbangkan faktor genetik, iaitu satu perbezaan yang amat kecil dalam metabolisme individu. Ia mungkin bermaksud bahawa sesetengah individu memberikan respon yang lebih baik terhadap sebarang perubahan diet berbanding individu lain disebabkan oleh faktor genetik ini. 

    Kumpulan penyelidik masih memerlukan banyak kajian lain berkenaan kesan jangka panjang bagi pemakanan harian sebelum mereka boleh membuat satu kesimpulan berdasarkan bukti-bukti yang mencukupi.

    Cadangan pemakanan seimbang yang boleh diikuti untuk menggalakkan kesejahteraan mental

    Berikut merupakan antara jenis makanan atau panduan pemakanan yang boleh diikuti yang bukan sahaja memberi manfaat kepada tubuh secara fizikal, malah untuk kesihatan mental anda.

    • Makan sekurang-kurangnya 5 bahagian buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari. Ini termasuklah jenis buah-buahan atau sayur-sayuran segar, kering dan juga yang ditinkan
    • Makan makanan berasaskan nasi, roti, kentang, pasta atau sumber karbohidrat berkanji yang lain. Jenis yang terbaik adalah jenis bijirin penuh
    • Pastikan anda mengambil 30 gram sumber serat setiap hari. Ianya sama dengan jumlah makanan seperti berikut: 5 bahagian buah-buahan dan sayur-sayuran, 2 biskut bijirin penuh, 2 potong roti bijirin penuh dan sebiji kentang bakar yang bersaiz besar
    • Tidak dilupakan, sumber tenusu. Anda juga perlu mengambil sumber tenusu atau produk alternatif bagi tenusu seperti air kacang soya. Pilih jenis rendah lemak dan juga rendah gula
    • Makanlah kekacang, ikan, telur, daging dan juga sumber protein yang lain. Ini termasuklah dua bahagian ikan setiap minggu yang mana salah satunya mestilah jenis ikan berminyak seperti ikan salmon, kod, atau tenggiri. 
    • Pilih minyak dan sapuan yang tidak tepu, dan ambilnya dengan jumlah yang sedikit sahaja
    • Minum antara 6 hingga 8 gelas air sehari
    • Individu dewasa perlu mengurangkan pengambilan garam iaitu kurang daripada 6 gram garam
    • Wanita hanya perlu mengambil sekitar 20 gram atau kurang lemak tepu atau 30 gram bagi lelaki

    Kesimpulan

    Sekarang anda telah maklum, bahawa diet yang sihat bukan sahaja mempengaruhi fizikal tubuh badan yang boleh dilihat, malah ia juga memberi kesan besar terhadap kesihatan dan kesejahteraan mental anda. Jika anda merupakan salah seorang individu yang sedang bergelut dengan mood yang mungkin ada turun naiknya dengan kerap, perhatikanlah apa yang anda makan setiap hari. Mungkin pemakanan itulah yang menyebabkan anda seringkali mengalami stres di tempat kerja selain faktor-faktor lain yang lebih jelas.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 16/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan