Sejak pandemik COVID-19 melanda dunia sekitar dua tahun yang lalu, amalan sanitasi kediaman sudah menjadi sebahagian daripada rutin kita. Namun, kita tidak semestinya hanya melakukan sanitasi atau disinfeksi kediaman disebabkan virus COVID-19. Jadi, bila perlu sanitasi rumah lagi selain kerana COVID-19?
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Penyakit Berjangkit, anda boleh klik di sini.
Tujuan sanitasi rumah
Sebelum pandemik COVID-19 muncul, amalan sanitasi kediaman ini tidak begitu diambil berat oleh kita semua.
Namun kini, ia telah menjadi sebahagian daripada rutin kita untuk tujuan menghentikan penyebaran virus COVID-19.
Anda perlu mengetahui bahawa proses sanitasi ini sebenarnya lebih daripada sekadar membunuh virus COVID-19.
Pembersihan dan sanitasi kediaman bertujuan untuk membersihkan kawasan rumah anda daripada penyebaran kuman berbahaya lain yang boleh menyebabkan anda sakit.
Selain itu, pembersihan dan disinfeksi rumah juga boleh membantu menyingkirkan segala kotoran dan habuk agar ahli keluarga anda sentiasa kekal sihat.
Bila perlu sanitasi rumah?
Bila perlu sanitasi rumah? Disinfeksi rumah boleh dilakukan secara berkala, iaitu setiap minggu atau mungkin juga setiap hari.
Namun, jika salah seorang ahli keluarga anda jatuh sakit, atau berisiko tinggi untuk mendapat penyakit disebabkan sistem imun yang lemah, anda perlu lebih kerap membuat sanitasi di kediaman anda.
Antara contoh mereka yang mempunyai sistem imun lemah ialah seperti warga emas, pesakit kanser, mereka yang terlibat dengan pemindahan organ, pesakit HIV atau sebarang penyakit genetik yang memberi kesan terhadap sistem imun mereka.
Selain itu, anda perlu melakukan sanitasi rumah bagi membunuh sebarang kuman dan bakteria yang menjadi punca penyebaran penyakit seperti norovirus, Shigella dan Giardia.
Penyingkiran kuman-kuman dan bakteria berbahaya boleh melindungi seluruh keluarga anda daripada jangkitan penyakit seperti jangkitan kulat, kutu badan, cirit-birit, ruam, kecacingan, kudis buta dan lain-lain lagi.
Kini anda boleh lihat kepentingan membuat sanitasi kediaman secara berkala.
Apakah beza antara membersihkan rumah dan sanitasi rumah?
Kedua-dua kaedah ini mungkin kelihatan sama, namun ia sebenarnya agak berbeza.
Membersihkan bermaksud mengemas atau mencuci permukaan objek dan kediaman daripada sebarang kotoran, habuk dan juga kuman.
Anda biasanya akan menggunakan sabun pencuci dan juga air untuk membersihkan segala permukaan dalam kediaman anda.
Namun kaedah ini tidak boleh membunuh kuman secara keseluruhan.
Anda mungkin telah membunuh sebahagian kuman, namun sebahagian lagi ada yang masih hidup dan berpotensi untuk menjangkiti anda.
Berbeza pula dengan kaedah sanitasi kediaman, anda menggunakan bahan kimia tertentu seperti cecair peluntur, cecair pencuci atau cecair sanitasi khas bagi membunuh kuman dan bakteria berbahaya dalam kediaman anda.
Kaedah ini lebih baik kerana ia boleh membunuh lebih daripada 90% kuman pada permukaan objek yang telah disanitasi.
Ini cara sanitasi kediaman yang boleh anda amalkan
Terdapat beberapa langkah atau tip untuk anda melakukan sanitasi di kediaman anda mengikut jenis objek atau permukaan.
Sila lihat tip di bawah ini:
#1. Untuk permukaan atau objek yang keras
Bagi permukaan yang keras seperti lantai, meja makan, suis lampu dan perabot, anda boleh mencucinya dengan menggunakan produk cucian khas yang banyak dijual di pasaran.
Produk pencuci seperti ini juga boleh digunakan untuk membersihkan objek keras yang lain seperti kerusi, kipas dan alat permainan kanak-kanak.
#2. Untuk objek yang lembut
Bagi permukaan atau objek yang lembut seperti karpet, permaidani dan juga langsir, anda boleh menggunakan produk pencuci pakaian dan juga air untuk membersihkannya.
Anda boleh menggunakan air suam atau air dengan suhu yang tinggi untuk mencuci objek seperti ini. Kemudian, keringkan dengan baik sebelum menggunakannya kembali.
Anda juga boleh memvakum karpet terlebih dahulu sebelum mencuci dengan air.
#3. Untuk pakaian
Untuk tujuan sanitasi pakaian, anda boleh menggunakan sabun pencuci pakaian bersama-sama dengan air bersuhu suam atau sedikit panas bagi membunuh kuman.
Jika anda mencuci pakaian individu yang sedang sakit, pakai sarung tangan getah atau plastik dan juga topeng muka sebelum mengendalikan pakaian mereka untuk dicuci.
Selain itu, cuci bersih juga bakul pakaian yang telah digunakan. Cuci tangan anda setelah semua pengendalian pakaian untuk cucian selesai.
#4. Untuk barang elektronik
Sebelum anda membersihkan permukaan barangan elektronik, pastikan anda meletakkan penutup khas alat tersebut bagi mengelakkan kerosakan yang berpunca daripada penggunaan cecair.
Ikuti arahan pencucian seperti yang tertera pada manual yang disediakan oleh pengilang. Anda juga boleh menggunakan cecair pencucian barangan elektronik khas untuk tujuan sanitasi.
Anda tidak perlu bimbang kerana cecair untuk barangan elektronik mempunyai kandungan alkohol. Ia akan mengering dengan pantas selepas dilap pada barangan anda.
Kesimpulan
Anda boleh melakukan proses sanitasi rumah ini sekurang-kurangnya seminggu sekali pada waktu hujung minggu.
Ia bukan sahaja boleh membantu mengekalkan kebersihan rumah pada tahap yang optimum, tetapi juga boleh mengeratkan hubungan antara ahli keluarga. Selamat mencuba!