backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Berjuang Harungi Barah, Ini Rahsia Diet Yang Diamalkan Survivor Kanser Nasofarinks!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 03/01/2023

    Berjuang Harungi Barah, Ini Rahsia Diet Yang Diamalkan Survivor Kanser Nasofarinks!

    Ramai yang anggap kanser merupakan satu ‘hukuman mati’. Namun, berbeza pula dengan pengalaman pesakit kanser hidung, Muharam Parlie. Permata yang lahir pada tanggal 1 Muharram ini merupakan bekas penghidap kanser nasofarinks. 

    Kini, pada usia 69 tahun, dia masih aktif berkebun, boleh memandu kereta serta dapat menembak seperti biasa.

    Kanser merupakan satu penyakit yang menjadi igauan ramai. Penyakit yang menjadi punca kematian ke-4 di Malaysia ini telah meragut ribuan nyawa setiap tahun, dengan 12.6% daripadanya dicatatkan di hospital kerajaan manakala 26.7% lagi di hospital swasta.

    Mari ikuti temu bual kami bersama Muharam tentang perjalanannya menentang kanser nasofarinks.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.

    Pengalaman pesakit kanser hidung, batuk berdarah antara simptom awal 

    pengalaman pesakit kanser hidung

    Pada hujung tahun 2012, Muharam telah mengalami simptom batuk berdarah dan tersedak, sebelum keluarnya satu ketulan sebesar biji saga. Ketika itu, dia baru sahaja pulang dari Batam, Indonesia atas urusan kerja. 

    Risau dengan apa yang berlaku, dia bertindak berjumpa doktor pada keesokan hari.

    Pada awalnya, dia telah melakukan imbasan X-ray. Tetapi, kanser tersebut tidak dapat dikesan. Kemudiannya, kesnya telah dirujuk kepada pakar ENT untuk pemeriksaan lanjut.

    “Doktor telah mengambil darah serta menggunakan sejenis skop yang mempunyai kamera untuk mengesan kanser,” jelas Muharam. Pada waktu itulah, dia disahkan menghidap kanser oleh doktor.

    Melalui 6 kali rawatan kemoterapi, 30 kali radioterapi

    Beberapa hari sebelum Krismas tahun 2012, Muharam telah bertemu empat mata bersama doktor pakar.

    Doktor telah menunjukkan beberapa keping gambar mengenai kanser yang dialaminya. Pada masa yang sama, doktor juga memberikan penerangan lanjut mengenai kanser tersebut.

    Dalam perbincangan bersama doktor, Muharam bertanyakan mengenai opsyen yang dia ada.

    Alangkah terkejutnya apabila doktor memberitahu dia terpaksa melakukan 6 kali rawatan kemoterapi dan 30 kali radioterapi untuk merawat kanser tersebut.

    “Pada waktu itu, senarai janji temu terlalu panjang di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru. Jadi, untuk elak terlewat menerima rawatan, saya terpaksa melakukan radioterapi di hospital swasta.

    “Doktor juga telah memberikan masa 2 minggu untuk berfikir. Namun, saya sudah nekad untuk meneruskan rawatan secepat mungkin,” katanya.

    Pada 25 Disember 2012, dia telah mengumpulkan semua ahli keluarga untuk berbincang mengenai penyakitnya itu. Dia mengakui, semangatnya perlu kuat demi isteri dan anak-anak. 

    “Sudah tentulah, anak-anak dan isteri saya sedih dan terkejut. Apa yang saya mampu adalah untuk teruskan ikhtiar dan berdoa untuk keputusan yang terbaik dengan menjalani kemoterapi.”

    Pada 2 minggu pertama kemoterapi, dia tidak mengalami kesan sampingan yang serius. Namun, setelah menerima rawatan radioterapi, berat badannya mula turun dengan mendadak.

    “Tekak juga tak boleh terima apa-apa makanan. Rasa macam telan kaca. Masa itu saya cuma makan yogurt sahaja secawan sehari,” ujarnya mengenai pengalaman pesakit kanser hidung nasofarinks.

    Isteri, anak-anak kekuatan utama

    pengalaman pesakit kanser hidung
    Encik Muharam bersama isteri tercinta, Daliah binti Abd Sukor.

    Ketika menjalani rawatan, isteri dan anak-anaklah yang menjadi kekuatan utamanya. 

    Malah, anak lelaki tunggalnya sanggup berkorban dan berhenti belajar di sebuah universiti di Mesir semata-mata untuk menjaganya di rumah.

    Menyentuh tentang pengalaman pesakit kanser hidung nasofarinks dari segi kesihatan mental, dia tidak nafikan mentalnya sangat terganggu ketika menjalani rawatan.

    Berat badan Muharam juga menyusut daripada 66 kilogram ke 44 kilogram dalam masa yang sangat singkat.

    Dengan suara yang sebak, dia menyatakan sangat terhutang budi terutamanya dengan isteri yang setia melayan semua kerenahnya semasa sakit.

    Isterinya, Dalilah Abd Sukor, kekal di sisi Muharam ketika dia dilanda emosi, tidak boleh makan serta kurang selera makan.

    Namun, kekuatan untuk melawan kanser ini datang daripada sokongan isteri yang tidak berbelah bagi. Dalam masa yang sama, dia juga banyak bertawakkal dan memanjatkan doa kepada Tuhan.

    “Apabila diuji, kita akan menjadi lebih rapat dengan Tuhan. Semasa menjalani rawatan kanser, saya berserah dan redha dengan ketentuan-Nya. Namun, jika ditakdirkan saya sembuh, maka sembuhkanlah saya. Itulah doa saya setiap hari.” – Muharam Parlie.

    Makanan sunnah rahsia Muharam melawan kanser

    pengalaman pesakit kanser hidung

    Selepas 3 tahun sembuh daripada kanser nasofarinks, hampir setiap hari Muharam makan makanan yang dikisar. Namun, perlahan-lahan dia cuba beralih kepada pengambilan makanan sunnah. 

    Muharam mengamalkan pengambilan oat sebanyak 3 sudu yang dicampurkan dengan kurma 3 biji dan anggur 3 biji. Kadangkala, dia akan menambah buah-buahan lain ke dalam diet harian.

    Pada masa yang sama, dia turut mengambil susu kambing segar setiap hari.

    Tambahnya lagi, susu kambing ini bukanlah susu kambing biasa, tetapi ia dibeli daripada penternak tempatan.

    Dia juga suka makan telur ayam kampung yang masih lagi menjadi kegemarannya sehingga hari ini.

    “Selepas 5 hingga 6 tahun baru saya boleh makan makanan yang keras. Makanan pertama yang saya cuba ialah briyani kambing,” ujarnya sambil ketawa.

    Berkongsi pengalaman pesakit kanser hidung nasofarinks, Muharam turut gembira apabila melihat sekarang berat badannya sudah naik ke 54 kilogram.

    Dia masih lagi sihat dan bertenaga selepas menjalani rawatan kanser, malahan tidak mempunyai sebarang masalah ketika mengambil vaksin COVID-19.

    Kongsi pengalaman pesakit kanser hidung, ini pesanan Muharam

    “Jangan sesekali cakap diri kita sakit!”

    Ini merupakan pesan utama Muharam sebagai pejuang kanser nasofarinks kepada orang lain yang sedang berhadapan dengan penyakit yang sama.

    Menurutnya, kata-kata inilah yang dipegang untuk menguatkan mental ketika menjalani rawatan.

    Selain itu, dia juga sempat berpesan supaya jangan terlalu mudah berputus asa. Teruskan ikhtiar bersama doktor. Pada masa yang sama, dekatkan diri dengan Tuhan dan jangan terlalu terikat dengan perkataan ‘sakit’.

    “Jalanilah kehidupan dengan gembira. Kalau kita gembira, semua masalah boleh diatasi,” pesannya lagi kepada penulis melalui panggilan telefon.

    Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda atau simptom yang dinyatakan atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila hubungi doktor onkologi anda.

    Tubuh badan setiap manusia bertindak balas berbeza-beza. Seeloknya adalah berbincang dengan doktor onkologi untuk membuat keputusan yang terbaik.

    Hello Doktor ingin mengucapkan terima kasih kepada Muharam Parlie atas kesudiannya berkongsi pengalaman pesakit kanser hidung nasofarinks. Semoga isi temu bual kali ini dapat dijadikan ibrah oleh pejuang kanser yang lain.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 03/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan