Komuniti merupakan platform selamat untuk anda berhubung dengan ahli lain, meinggalkan komen megenai topik yang anda pilih dan mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar kesihatan kami.
Penyakit Cacar Monyet Kembali! Kenal Pasti Awal Simptomnya Sebelum Terlambat!
Cacar monyet atau monkeypox (Mpox) merupakan satu penyakit yang jarang berlaku. Ia boleh menyebabkan ruam yang berbentuk bulat. Simptom monkeypox juga seakan-akan demam. Sama seperti cacar, punca monkeypox adalah daripada sejenis virus yang tergolong dalam keluarga orthopoxvirus.
Walaupun monkeypox sudah menggegar dunia pada tahun 2022, namun ia sebenarnya telah dikesan sejak 1958 lagi.
Kini, penyakit ini kembali diperkatakan apabila terbaharu (setakat 19 Ogos 2024), sebanyak 88 kes Mpox dilaporkan di Indonesia, sementara 1 kes Mpox dikesan di Filipina, menurut Bernama.
Setakat 16 Ogos 2024, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan tiada sebarang kes baharu Mpox dilaporkan di Malaysia.
Walau bagaimanapun, KKM akan meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa sebagai langkah awal bagi membendung cacar monyet daripada merebak di negara ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Penyakit Berjangkit di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
Walaupun simptom monkeypox akan berkurangan dalam masa sebulan, namun 1 daripada 10 kes boleh menyebabkan kematian. Kanak-kanak merupakan golongan yang paling berisiko.
Ada dua jenis virus cacar monyet – sama ada ia berasal dari Afrika Tengah atau Afrika Barat. Namun, virus cacar monyet yang sedang menjadi wabak ketika ini berasal dari Afrika Barat.
Mengapakah penyakit ini dipanggil cacar monyet? Untuk pengetahuan anda, virus ini pertama kali dijumpai dalam kalangan monyet. Walau bagaimanapun, pembawa utama virus ini adalah roden atau tikus dan bukannya monyet!
Disebabkan salah faham yang berlaku, WHO sendiri mungkin akan menamakan semula penyakit ini pada masa hadapan.
Individu yang dijangkiti monkeypox akan tumbuh cacar atau lepuhan yang berbentuk bulat pada kawasan intim (zakar, testis, labia atau vagina). Cacar ini juga boleh tumbuh pada kawasan lain seperti di sekitar tangan, kaki, dada, muka atau mulut.
Ruam ini juga kadangkala nampak seperti jerawat atau lepuh dan mungkin akan menyebabkan kegatalan dan kesakitan. Malah, ruam ini juga akan melalui beberapa tahap dan kemudian berkuping sebelum sembuh sepenuhnya.
Antara simptom lain monkeypox ialah:
Demam
Menggigil
Nodus limfa membengkak
Rasa penat yang amat sangat
Sakit otot
Pening kepala
Masalah pernafasan (sakit tekak, hidung tersumbat atau batuk-batuk)
Penghidap cacar monyet mungkin mengalami beberapa atau semua simptom sekali gus.
Simptom monkeypox selalunya muncul 3 minggu selepas pendedahan terhadap virus. Jika pesakit mula mengalami simptom seakan-akan demam, ruam ini akan mula tumbuh dalam masa 1-4 hari.
Cacar monyet boleh menjangkiti orang lain bermula dari hari pertama simptom sehinggalah semua ruam telah sembuh dan kulit baharu tumbuh. Penyakit ini selalunya berlangsung selama 2 hingga 4 minggu.
Buat masa ini, belum ada penawar lagi untuk penyakit cacar monyet. Malah, rawatan yang spesifik juga masih belum wujud. Namun, ada beberapa antivirus yang boleh digunakan untuk melawan jangkitan orthopoxviruses.
Walau bagaimanapun, vaksin ini sudah tidak wujud untuk kegunaan awam. Di Amerika Syarikat, program vaksinasi cacar telah pun berakhir pada tahun 1972.
Namun, buat masa ini, ada vaksin baharu yang dalam pembangunan. Tetapi, vaksin ini juga masih belum diluluskan.
Dalam kalangan manusia, monkeypox disebarkan melalui sentuhan pada ruam atau cecair badan, termasuklah cairan respiratori (bersin, batuk dan sebagainya).
Buat masa ini, masih tiada lagi individu yang meninggal dunia disebabkan cacar monyet. Walau bagaimanapun, penyakit ini boleh menyebabkan pelbagai komplikasi seperti pneumonia dan jangkitan pada kawasan otak atau mata yang boleh membawa maut.
Cacar monyet di Malaysia
Elak penyebaran virus cacar monyet dengan ikuti langkah ini.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), risiko untuk mendapat jangkitan monkeypox di Malaysia adalah rendah.
Cara yang terbaik untuk mengelakkan jangkitan atau bahan-bahan yang boleh menjadi punca monkeypox ialah:
Elakkan berjumpa individu yang dijangkiti. Jangan sentuh barang peribadi mereka seperti alas tilam, selimut dan sebagainya
Basuh tangan dengan kerap
Pakai pelitup muka untuk melindungi diri anda
Elakkan melakukan hubungan seks tanpa perlindungan
Jika anda mempunyai simptom monkeypox seperti ruam yang seakan-akan jerawat, lepuh, demam atau menggigil, dapatkan rawatan secepat mungkin.
Maklumkan kepada petugas kesihatan jika anda mempunyai kontak rapat dengan individu yang pernah menghidap cacar monyet atau baru lepas balik dari kawasan yang mengalami wabak ini.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Five things you need to know about monkeypox. https://www.gavi.org/vaccineswork/five-things-you-need-know-about-monkeypox?gclid=Cj0KCQjw3eeXBhD7ARIsAHjssr-lto-5Buwaf0ZgiwPGkxu2UrORxVcWMhUMEHv0Ewt-4NHdbhVPu3saAuLlEALw_wcB. Accessed on August 16, 2022.
Monkeypox – Signs and Symptoms. https://www.cdc.gov/poxvirus/monkeypox/symptoms.html. Accessed on August 16, 2022.
Monkeypox Virus Infection in Humans across 16 Countries — April–June 2022. https://www.nejm.org/doi/full/10.1056/NEJMoa2207323. Accessed on August 16, 2022.
Monkeypox. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/22371-monkeypox. Accessed on August 16, 2022.
Monkeypox. https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/monkeypox. Accessed on August 16, 2022.
Monkeypox. https://www.infosihat.gov.my/penerbitan-multimedia/garis-panduan/tag/MonkeyPox.html. Accessed on August 16, 2022.
Versi Terbaru
20/08/2024
Ditulis oleh Fatin Zahra
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor