home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Mengapa Kes Denggi Tinggi di Malaysia?

Mengapa Kes Denggi Tinggi di Malaysia?

Setiap tahun, kempen demam denggi terus dijalankan. Setiap tahun juga, ada sahaja ahli keluarga atau kenalan yang terkena demam denggi. Persoalannya, mengapa kes demam denggi tinggi di Malaysia?

Untuk menjawab persoalan itu, terdapat 3 faktor utama yang perlu diberikan perhatian: entemologi, meteorologi, epidemiologi.

1. Entemologi

Entemologi adalah cabang ilmu daripada bidang zoologi, yang membincangkan tentang serangga. Dalam kes denggi, nyamuk aedes serta kitaran hidupnya.

Ini adalah faktor yang sangat penting kerana tanpa nyamuk, virus denggi tidak akan tersebar dan menjangkiti manusia. Oleh itu, kawalan terhadap nyamuk menjadi faktor yang mendesak dalam menguruskan kes demam denggi. Semakin tinggi kepadatan nyamuk di satu kawasan, semakin banyak kes yang dilaporkan.

Malah, pengawalan faktor entemologi ini merupakan langkah utama yang sedang dijalankan di Malaysia dalam menurunkan bilangan jangkitan. Bermula daripada rumah anda sendiri, tindakan harus diambil dengan memastikan tempat-tempat pembiakan nyamuk dihapuskan.

Dalam masa yang sama, pihak berkuasa berperanan melakukan fogging serta menguatkuasakan undang-undang berkaitan.

2. Meteorologi

Metereologi adalah cabang ilmu yang mengkaji tentang cuaca dan iklim di sesuatu tempat. Ia juga merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kes denggi yang tinggi di Malaysia.

Malaysia adalah sebuah negara tropikal, iaitu terletak di atas garisan khatulistiwa. Cuaca di Malaysia adalah panas, lembap dan hujan sepanjang tahun. Faktor seperti angin monsun juga mempengaruhi kekerapan hujan di kawasan tertentu. Contohnya, kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia mengalami hujan lebih lebat antara pertengahan Oktober dan Januari disebabkan angin monsun timur laut.

Cuaca sebegini adalah sangat kondusif dalam menggalakkan pembiakan nyamuk aedes. Oleh sebab itu, negara-negara tropikal yang lain seperti Indonesia, Brazil dan Mexico juga mencatatkan bilangan kes yang tinggi.

3. Epidemiologi

Epidemiologi pula adalah bidang perubatan yang berkaitan tentang bilangan dan kelaziman kes serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil.

Dalam isu demam denggi, faktor penting dari sudut epidemiologi adalah pemakluman kes baru kepada Pejabat Kesihatan Daerah serta langkah-langkah pencegahan segera di kawasan terbabit, di samping pengumpulan data kes sepanjang tahun di seluruh kawasan.

Pemakluman kes baru dengan pantas membolehkan intervensi atau langkah pencegahan di kawasan terbabit diambil segera, seterusnya mengurangkan peningkatkan bilangan kes di kawasan yang sama. Selain itu, data-data yang ada membolehkan usaha berfokus dijalankan di kawasan yang mencatatkan kes tinggi. Hal ini adalah lebih efektif dan menjimatkan kos serta membantu mencari punca bilangan kes yang tinggi di kawasan tertentu.

Lebih banyak kajian harus dijalankan dalam melihat pola kes demam denggi di Malaysia. Langkah-langkah pendidikan, pencegahan, pengawalan serta rawatan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan

Factors determining dengue outbreak in Malaysia – http://journals.plos.org/plosone/article?id=10.1371/journal.pone.0193326

Temperature, rainfall, prevailing weather condition, when to go, what to pack – https://www.climatestotravel.com/climate/malaysia

Current perspective on dengue episode in Malaysia – https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S1995764516300049

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim Disemak pada 15/11/2019
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor