Gigitan kutu rambut adalah salah satu cara bagaimana penyakit kutu boleh dijangkiti daripada haiwan ke manusia atau manusia ke manusia. Kutu termasuk kumpulan vektor yang menyebarkan penyakit berjangkit zoonoses.
Kutu adalah haiwan kecil penghisap darah yang boleh mengandungi virus atau bakteria dalam sistem badannya.
Ia boleh menyebarkan penyakit melalui kitaran hidupnya yang berpindah dari satu hos atau perumah ke hos yang lain. Perumah termasuk manusia dan haiwan, sama ada yang liar atau peliharaan.
Kutu boleh dijumpai di timbunan daun, pokok, rumput dan lalang. Selalunya individu yang masuk ke dalam hutan atau tinggal berhampiran kawasan hutan lebih terdedah dengan penyakit akibat gigitan kutu rambut.
Bagaimana Anda Boleh Mendapat Jangkitan Melalui Gigitan Kutu Rambut?
Kutu hidup di kawasan luar rumah. Ia juga boleh melekat pada haiwan peliharaan seperti kucing, hamster, anjing dan arnab.
Kutu boleh berpindah ke kulit anda melalui sentuhan atau ada juga yang berterbangan dalam jarak yang dekat. Ini boleh berlaku ketika anda mengusap atau bermain-main dengan haiwan peliharaan anda.
Sebaliknya, ia juga boleh berpindah semula ke haiwan lain dan meneruskan kitaran hidupnya.
Pada manusia, kutu sukakan kawasan yang lembap dan sedikit panas seperti di ketiak, rambut dan celah kelangkang.
Apabila sesuai persekitarannya, kutu akan mula menghisap darah dan meninggalkan kesan pada kulit.
Tanda-tanda local akibat gigitan kutu rambut
- Sakit atau bengkak di kawasan gigitan
- Ruam merah di sekitar gigitan kutu rambut
- Rasa bahang atau panas di sekitar gigitan
- Lepuh
Terdapat juga reaksi alahan disebabkan oleh gigitan kutu rambut termasuk ruam, gatal, hidung berair atau jika teruk boleh menyebabkan sesak nafas dan sukar menelan.
Rawatan Untuk Penyakit Kutu
Pertama sekali, apabila anda menjumpai kutu pada badan atau rambut anda, hendaklah cepat-cepat mengeluarkannya daripada kulit dan membuangnya.
Ia boleh dilakukan dengan cara berikut:
- Gunakan alat untuk mengepit kutu atau tweezer.
- Kepit kutu dengan alat itu sehampir mungkin dengan kulit.
- Tarik secara perlahan ke atas, pastikan keseluruhan kutu itu keluar dan tiada tertinggal apa-apa bahagian di bawah kulit.
- Basuh kesan gigitan dengan air bersih dan sabun.
- Kutu yang dikeluarkan pastikan dulu dibunuh dalam larutan alkohol sebelum dibuang.
Cara Untuk Mencegah Gigitan Kutu Rambut
- Pakai baju berlengan panjang dan seluar panjang apabila melakukan aktiviti di hutan atau tempat yang banyak tumbuh-tumbuhan.
- Seboleh mungkin guna trail atau trek yang disediakan apabila di taman atau hutan.
- Gunakan tick repellent yang boleh didapati di farmasi.
- Kerap mandi dan bersabun selepas melakukan aktiviti luar rumah.
- Gunakan sarung tangan apabila bermain dengan binatang peliharaan dan basuh tangan dengan kerap.
- Selalu periksa bahagian badan yang berkemungkinan dihinggapi kutu.
Untuk pengetahuan, masalah penyakit yang disebabkan oleh vektor kutu ini bukan hanya di Malaysia, tetapi juga melibatkan kesihatan awam global.
Beberapa pakar sains dan perubatan berpendapat, kes-kes jangkitan akibat gigitan ini tidak dilaporkan secara konsisten menyebabkan insiden penyakit ini tidak kerap.
Kita juga jarang mendengar nama dan mengenai penyakit-penyakit ini.
Mungkin kes jarang berlaku di Malaysia atau tidak dikongsi dalam berita atau media yang menyebabkan anda tidak tahu tentang penyakit bawaan kutu atau dikenali sebagai tick-borne diseases.
Penyakit Bawaan Kutu (Tick-borne diseases)
Di seluruh dunia, terdapat beberapa kes dilaporkan sebelum ini yang melibatkan patogen yang dibawa oleh kutu seperti Anaplasma, Ehrlichia, Babesia dan penyakit rickettsia.
Semua ini berkait dengan penyakit zoonoses di antara manusia dan haiwan.
Antara jangkitan bakteria yang disebabkan oleh gigitan kutu rambut ialah:
- Kumpulan penyakit Rickettsia
- Relapsing fever
- Penyakit Lyme
Kumpulan penyakit Rickettsia
Jarang kita dengar perihal penyakit rickettsia ini. Kumpulan penyakit ini termasuk:
- Spotted fever: Bagi mereka yang suka travel, berhati-hati dengan Rickettsia jenis ini. Banyak kes dilaporkan oleh para pelancong di seluruh dunia. Ada beberapa nama lain bagi spotted fever bergantung pada kawasan di mana pesakit itu pergi melancong. Contohnya, Mediteranean spotted fever, Africa spotted fever, Rocky Mountain spotted fever
- Thyphus dan scrub thyphus: Lebih sering didengari di negara jiran seperti Indonesia, India, Sri Lanka. Vektor terlibat adalah hama dan lalat
Penyakit Lyme
Penyakit Lyme adalah disebabkan oleh Borrelia burgdorferi, yang dibawa oleh kutu pada rusa. Kutu itu perlu melekat di kulit anda lebih 36 hingga 48 jam untuk berjaya menjangkitkan bakteria penyakit Lyme ini.
Gejala awalnya ialah selesema dan mungkin ruam badan. Jika tidak dirawat, komplikasi yang berlaku adalah seperti jantung berdebar, arthritis, kebas kaki dan tangan serta menyebabkan keradangan saraf tunjang dan otak.
Rawatan bagi penyakit Lyme memerlukan antibiotik.
Jika anda ada sejarah melancong ke luar negara, pastikan anda kongsi maklumat ini dengan doktor anda sekiranya mempunyai simptom seperti di atas.
Ini akan membantu doktor untuk melihat semua sudut kebarangkalian penyakit yang anda hidapi.