backup og meta

Penyakit Bawaan Vektor (Serangga) Menjangkiti Manusia! Kenali Zoonoses

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nur Es Naini · Disemak pada 13/08/2021

    Penyakit Bawaan Vektor (Serangga) Menjangkiti Manusia! Kenali Zoonoses

    Penyakit Zoonoses bawaan serangga adalah penyakit yang menjangkiti manusia melalui kitaran yang melibatkan haiwan terutamanya serangga penyebab penyakit atau dikenali sebagai vektor penyakit.

    Ia juga dikenali sebagai penyakit bawaan vektor (Vector-borne Diseases). Vektor adalah merujuk kepada serangga.

    Beberapa jenis vektor yang kita biasa dengar adalah nyamuk, lalat, kutu, hama, dan pepijat.

    Serangga ini akan membawa, menyebar atau memindahkan virus yang lebih dikenali sebagai patogen dalam bahasa perubatan, dari satu hos atau perumah kepada yang lain.

    Hos atau perumah ini termasuk manusia dan haiwan.

    Contoh penyakit bawaan vektor yang biasa kita dengar di Malaysia adalah demam denggi, taun, demam chikugunya, demam kuning dan malaria.

    Tahun 2006, kajian statistik menunjukkan demam denggi mengungguli senarai penyakit berjangkit yang mengakibatkan kematian di Malaysia sebanyak 64.3%.

    Kitaran vektor penyakit

    Secara amnya, terdapat 2 zoonoses bawaan serangga menjangkiti manusia.

    #1 Vektor mekanikal

    • Serangga jenis ini membawa patogen di permukaan struktur badannya dan menyebarkan jangkitan melalui sentuhan, ataupun tiupan angin

    #2 Vektor biologikal

    • Agen jenis ini menjangkiti pesakit melalui gigitan
    • Patogen boleh bertambah bilangan, mengubah struktur dalaman atau membesar di dalam serangga tersebut sebelum menjangkiti manusia

    Faktor yang mempengaruhi penyebaran wabak vektor

    • Cuaca- Variasi musim seperti Malaysia yang mempunyai iklim lembap, hujan dan panas mempengaruhi kitaran hidup serangga dan hos
    • Reservoir- Terdapat juga haiwan atau manusia yang menyimpan kuman pathogen dalam badan tetapi tiada gejala penyakit dan tanpa disedari telah menjangkiti orang lain
    • Tingkah laku manusia- Pencemaran, kesedaran awam, kebersihan diri dan kawasan persekitaran adalah faktor penting dalam mengawal penyebaran penyakit zoonoses bawaan serangga ini
    • Persekitaran dan geografi- Sesetengah negara didapati lebih banyak kes dikesan bagi suatu penyakit mungkin kerana agen itu lebih sesuai dengan keadaan muka bumi kawasan itu seperti hutan hujan atau bandar yang berpopulasi tinggi

    Berikut adalah contoh zoonoses bawaan serangga:

    • Aedes Aegypti: Agen (Arbovirus, Flavivirus) – menyebabkan penyakit demam kuning dan demam denggi
    • Anopheles sp.: Agen (Plasmodium sp.) – menyebabkan penyakit malaria
    • Culex sp.: Agen (Wuchereria bancrofti) – menyebabkan penyakit Filariasis
    • Lalat: Agen (Vibrio cholera) – menyebabkan penyakit kolera/ taun

    Antara yang biasa kita dengar ialah:

    Demam denggi

    Kematian akibat denggi menjadi kerisauan apabila trend jangkitan mendadak saban tahun.

    Terkini, statistik Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM) menunjukkan 48,584 kes dilaporkan dengan 84 kematian akibat komplikasi denggi bermula Januari 2020 hingga Jun 2020.

    Ini hanya dalam masa setengah tahun!

    Denggi adalah virus yang menyebabkan demam denggi melalui gigitan nyamuk. Terdapat 2 jenis nyamuk yang biasa dijumpai di Malaysia iaitu Aedes Aegypti dan Aedes Albopictus.

    Nyamuk mengigit hos yang telah dijangkiti, virus tersebut mendiami nyamuk dan tersebar apabila individu sihat digigit oleh nyamuk yang sama.

    Malaria

    Kes-kes malaria lebih biasa didengari pesakit dari kawasan pedalaman atau berhutan. Walaupun penyakit ini sudah jarang kita dengari, namun pemantauan kes sentiasa dijalankan bagi mengelak wabak berlaku.

    Nyamuk anaphoeles betina yang mengandungi virus Plasmodium sp akan menjangkiti manusia melalui gigitan. Seterusnya virus itu akan berada dalam salur darah dan menyerang hati perumah.

    Kolera atau taun

    Kita lebih sinonim menggunakan istilah keracunan makanan bagi kes kolera.

    Gejalanya hampir sama iaitu cirit birit yang teruk bersama muntah. Ia disebabkan oleh Vibrio Cholera yang disebarkan oleh lalat hinggap di najis yang mengandungi bakteria dan kemudian pada makanan.

    best-ways-overcome-diarrhea-home

    Bagaimana kita mengawal vektor penyakit ini?

    Akhir sekali, kita bincangkan teknik yang disarankan oleh kerajaan untuk mengawal transmisi penyakit dan penyebarannya.

    Cara ini sedang diguna pakai secara intensif sebagai usaha badan-badan berkuasa untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan insiden kes penyakit bawaan serangga ini.

    1. Persekitaran

    Musnahkan tempat vektor membiak.

    Ini boleh dilakukan dengan mengeringkan kolam tidak berguna, menebus guna kawasan paya terbiar, dan memastikan pengaliran air yang baik di saluran air dan longkang-longkang.

    Pastikan sistem pengolahan najis dilakukan secara betul dan tiada tempat takungan yang tidak dibersihkan secara berkala.

    2. Penggunaan pestisid

    Berlainan jenis pestisid digunakan untuk membunuh serangga di pelbagai peringkat perkembangan.

    zoonoses bawaan serangga

    Dalam penyakit denggi dan malaria contohnya, insektisid seperti racun abate dan racun malathion digunakan. Satu untuk membunuh larva dan yang kemudian membunuh nyamuk dewasa.

    3. Kaedah biologi

    Cara ini menggunakan organisma sedia ada di persekitaran dalam mengawal pembiakan dan penyebaran vektor. Sebagai contoh, penggunaan ikan untuk memakan larva atau sinaran radiasi untuk memandulkan serangga.

    4. Pendidikan kesihatan

    Meningkatkan kesedaran awam merupakan langkah paling penting dalam menghapuskan penyakit berjangkit zoonoses ini.

    Pendidikan tentang kepentingan persekitaran yang tidak kotor, menggunakan insect repellent, penyediaan makanan yang bersih dan pemakaian baju bertutup adalah antara yang disarankan kerajaan bagi melindungi diri daripada jangkitan.

    5. Penguatkuasaan undang-undang

    Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit dan Akta Kerajaan Tempatan Seksyen 82 membolehkan tuan tanah atau penghuni premis dikenakan denda jika didapati kawasannya menjadi tempat pembiakan dan perlindungan vektor.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nur Es Naini · Disemak pada 13/08/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan