Sudah masuk tahun ke-4 penyakit COVID-19 melanda dunia! Tapi jangan lupa, COVID-19 masih lagi wujud dan tetap mengancam kesihatan kita. Sebab itulah, kita perlu cakna akan tanda covid dan cara mencegah penyakit berjangkit terutamanya ketika dalam musim perayaan.
April 2023, kita digemparkan dengan kemunculan varian baharu Arcturus atau XBB.1.16. Varian ini telah menyebabkan peningkatan kes COVID-19 di 22 buah negara di seluruh dunia, termasuklah di negara jiran kita, Singapura.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), varian ini merupakan salah satu daripada 600 subvarian Omicron. Ia juga mudah berjangkit dan lebih berbahaya terhadap kanak-kanak berbanding orang dewasa.
Raya, raya juga! Tetapi, jangan lupa – COVID-19 boleh mendatangkan bahaya berpanjangan terhadap diri anda dan juga keluarga. Ramai yang tidak tahu akan risiko long COVID terutamanya dalam jangka masa panjang.
Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan lebih lanjut mengenai varian baharu ini dan cara mencegah penyakit berjangkit ketika bersama-sama meraikan perayaan kaum masing-masing. Jom baca!
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Penyakit Berjangkit, anda boleh klik di sini.
Apa itu varian baharu, Arcturus XBB.1.16?
- Arcturus atau XBB.1.16 merupakan varian Omicron baharu yang sedang dipantau oleh WHO
- Varian ini menyebabkan peningkatan kes baharu di India dan Amerika Syarikat
- Menunjukkan simptom unik terhadap kanak-kanak
Menurut WHO, strain ini pertama kali dikesan pada akhir bulan Januari lalu. Kajian makmal juga menunjukkan gejala Arcturus lebih kurang sama dengan varian-varian sebelum ini.
Walau bagaimanapun, tahap kebolehjangkitannya adalah lebih tinggi, 1.2 kali ganda lebih mudah menular berbanding XBB.1.5 atau Kraken yang pernah mencetuskan kebimbangan awam suatu ketika dahulu.
Antara simptom dan tanda covid varian Arcturus ialah demam, batuk dan sakit mata (konjunktivitis). Simptom ini berbeza dengan simptom yang ditunjukkan oleh varian COVID-19 dahulu.
Selain itu, jangkitan varian ini juga lebih lazim dalam kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa.
Menurut pakar, tidak mustahil varian ini bakal merebak di negara kita secara semula jadi atau dari luar negara. Oleh sebab itu, rakyat Malaysia digesa supaya lebih berhati-hati ketika musim perayaan kali ini.
Ada banyak langkah yang boleh anda lakukan untuk elakkan tanda COVID-19. Langkah yang paling berkesan adalah dengan mendapatkan suntikan vaksin seperti yang dijadualkan.
Antara simptom COVID-19 yang perlu anda perhatikan:
- Demam.
- Batuk.
- Sukar bernafas.
- Keletihan.
- Sakit otot.
- Hilang deria rasa.
- Sakit tekak.
- Hidung tersumbat.
- Loya dan muntah-muntah.
- Cirit-birit.
Tanda covid Arcturus dan 5 cara mencegahnya pada musim perayaan
Hari perayaan disambut dengan sangat meriah saban tahun. Pada waktu inilah, kita akan menghabiskan masa dengan ahli keluarga dan insan yang tersayang.
Walau bagaimanapun, perayaan besar-besaran merupakan salah satu punca kes COVID-19 melonjak. Sebab itulah, kerajaan menyeru agar kita tetap berhati-hati walaupun dalam kemeriahan Aidilfitri.
Sebenarnya, ada banyak cara untuk kita kekal selamat ketika beraya. Antaranya:
1. Sedar akan tanda covid dan risikonya
Walaupun sudah 3 tahun berlalu, masih ada risiko untuk anda atau ahli keluarga dijangkiti COVID-19.
Ketika beraya, pastikan anda sentiasa berjaga-jaga dengan risiko COVID-19.
Elakkan beraya terlalu lama di satu-satu rumah. Sekiranya ada terlalu ramai orang, cepat-cepatlah pulang, terutamanya jika kawasan tersebut dipenuhi kanak-kanak dan juga warga emas.
Jangan sesekali mengunjungi rumah orang yang sakit. Kalau boleh, telefon dahulu sebelum berkunjung. Di samping itu, elakkan juga berjumpa orang ramai sekiranya anda sendiri ada tanda covid seperti tidak sihat.
Jika anda mempunyai simptom seperti demam, batuk dan sakit tekak, asingkan diri daripada orang lain dan lakukan ujian COVID-19. Dapatkan rehat yang mencukupi.
Baca juga:
- Varian Baru COVID Telah Dikesan di Malaysia, Segera Dapatkan Vaksin Booster Anda Sekarang!
- Bukan Hanya Kerana COVID-19, Tapi Ini Sebab Lain Anda MESTI Sanitasi Rumah Setiap Minggu!
Cara mencegah penyakit berjangkit 2: Pakai mask dengan betul
Kalau boleh, pakai pelitup muka sepanjang masa. Jangan lupa, pastikan ia menutup hidung.
Pemakaian mask yang betul sangat efektif untuk mencegah penularan COVID-19. Jadi, pastikan pelitup muka yang dibeli tidak longgar dan boleh memberikan perlindungan yang sewajarnya.
3. Berkumpul di kawasan luar rumah
Apa kata, pada musim perayaan kali ini, kita ajak semua orang berkumpul di luar rumah?
Untuk pengetahuan anda, penyebaran COVID-19 dapat dikurangkan dengan signifikan sekiranya berada di kawasan yang mempunyai peredaran udara yang baik.
4: Elak alami tanda covid, jadi berayalah dengan sederhana
Tidak semestinya anda perlu menyambut musim perayaan dengan gah setiap tahun.
Lagipun, tidak salah jika anda rancang sambutan kecil-kecilan yang lebih intim untuk ahli keluarga sahaja.
Dengan cara ini, sambutan dapat dilakukan secara bersederhana. Risiko penyakit berjangkit juga dapat dikurangkan.
5. Jangan lupa basuh tangan
Pastikan anda sentiasa membasuh tangan. Kalau boleh, elakkan bersalam-salaman dengan orang lain.
Jangan lupa. Kebersihan diri merupakan kunci utama untuk melawan penyebaran COVID-19.