Walaupun kes jangkitan COVID-19 sudah semakin terkawal di seluruh dunia dengan kadar kematian yang rendah, namun masih terdapat beberapa kebimbangan berkenaan subvarian Omicron yang baharu. Apakah simptom Omicron yang terkini? Adakah simptom COVID Omicron yang terbaharu ini lebih teruk?
Jawapannya ada dalam artikel ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Penyakit Berjangkit, anda boleh klik di sini.
Jangkitan subvarian baharu di Malaysia
Pada awal Jun 2022, Malaysia telah melaporkan dua kes jangkitan yang melibatkan subvarian baharu Omicron iaitu subvarian BA.5 dan juga BA.2.12.2.
Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, kedua-dua kes ini merupakan kes subvarian Omicron yang pertama kali dikesan di negara ini.
Khairy Jamaluddin berkata, kedua-dua subvarian ini dikategorikan sebagai VOC-LUM (jenis varian di bawah pemerhatian) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Berbanding virus asal COVID-19, kedua-dua varian ini dilaporkan lebih mudah untuk berjangkit.
Namun, faktor risiko bagi subvarian ini masih kekal sama.
Simptom Omicron yang perlu diketahui
Buat masa ini, subvarian BA.5 merupakan antara subvarian COVID-19 yang paling dominan di seluruh dunia.
Ia menjadi antara subvarian yang paling mudah untuk berjangkit.
Sepertimana varian-varian COVID-19 yang lain, simptom bagi jangkitan subvarian BA.5 boleh berlaku dalam pelbagai bentuk.
Ia bergantung kepada umur dan faktor kesihatan individu yang dijangkiti.
Namun, secara umumnya, simptom COVID Omicron ini lebih kurang sama sahaja dengan jangkitan oleh subvarian lain.
Berikut merupakan antara simptom Omicron yang boleh berlaku disebabkan jangkitan subvarian BA.5:
#1. Hidung berhingus
Anda mungkin akan mengalami keadaan selesema atau hidung berhingus apabila dijangkiti oleh subvarian ini. Simptom ini lebih kurang sama dengan simptom dijangkiti virus flu.
#2. Sakit tekak
Anda juga mungkin akan mengalami sakit tekak yang menyebabkan rasa perit yang berpanjangan. Ini juga merupakan antara simptom COVID Omicron yang biasa berlaku.
#3. Batuk
Jika anda mengalami batuk yang berpanjangan, sila buat ujian COVID-19 segera. Batuk juga merupakan antara simptom subvarian Omicron yang paling kerap berlaku.
#4. Demam
Demam biasa berlaku apabila seseorang itu dijangkiti subvarian BA.5 ini.
Oleh itu, apabila anda mengalami demam disertai dengan simptom-simptom lain seperti di atas, berkemungkinan besar anda telah dijangkiti dengan subvarian BA.5.
#5. Keletihan
Apabila dijangkiti COVID-19, tubuh badan mudah untuk menjadi lesu atau tidak bermaya. Keletihan yang dialami ini juga merupakan antara tanda utama anda telah dijangkiti subvarian BA.5.
#6. Sakit kepala
Anda juga mungkin akan mengalami simptom Omicron seperti sakit kepala. Sakit kepala yang dialami boleh jadi seperti pening kepala atau serangan migrain.
#7. Sakit otot
Ramai individu yang dijangkiti virus COVID-19 melaporkan bahawa antara simptom utama yang sering dialami ialah sakit-sakit badan atau otot.
#8. Hilang deria rasa
Walaupun simptom kehilangan deria rasa ini agak jarang berlaku, namun ia juga boleh menjadi antara tanda jangkitan COVID-19.
Masih boleh dijangkiti walaupun telah divaksin
Mereka yang telah divaksin atau pernah dijangkiti COVID-19 sebelum ini mempunyai pertahanan diri atau imuniti yang lebih baik daripada mereka yang tidak divaksin atau tidak pernah dijangkiti.
Namun, golongan ini juga masih berisiko untuk dijangkiti sekali lagi terutamanya dengan subvarian BA.5.
Walau bagaimanapun, kebanyakan jangkitan yang berlaku tidak menyebabkan komplikasi atau sakit yang teruk, berbanding sewaktu permulaan pandemik berlaku di mana tiada seorang pun yang mempunyai imuniti untuk menangkis jangkitan COVID-19.
Jangkitan berulang tingkatkan risiko komplikasi
Ada kajian terbaharu mendapati, bagi setiap kali jangkitan berulang berlaku walaupun jangkitan yang tidak menunjukkan simptom Omicron, ia akan meningkatkan risiko anda untuk mendapat beberapa komplikasi.
Ini termasuklah komplikasi untuk mendapat strok, serangan jantung, kencing manis, penyakit buah pinggang, gangguan penghadaman dan juga gangguan kognitif jangka panjang.
Selain itu, jangkitan berulang juga boleh menyebabkan risiko long COVID berlaku sehingga berminggu-minggu atau berbulan-bulan lamanya.
Simptom Omicron hampir sama dengan simptom subvarian lain
Buat masa ini, tiada sebarang simptom khusus yang boleh membezakan sama ada anda dijangkiti subvarian BA.5 atau varian-varian yang lain.
Subvarian BA.5 juga akan menyebabkan simptom jangkitan yang lebih kurang sama dengan jangkitan varian-varian sebelum ini.
Walau bagaimanapun, subvarian BA.5 ini ternyata lebih mudah berjangkit berbanding varian-varian COVID-19 sebelum ini.