backup og meta

Tangguh Umrah Angkara Omicron? Ini Sebab Utama Kerajaan Sekat Perjalanan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/03/2022

    Tangguh Umrah Angkara Omicron? Ini Sebab Utama Kerajaan Sekat Perjalanan!

    Bagi mereka yang telah merancang untuk mengerjakan umrah dalam masa terdekat, anda perlu membatalkan niat anda buat masa sekarang. Ini kerana, Kerajaan Malaysia telah menggantung kebenaran bagi perjalanan ke Arab Saudi terhadap semua jemaah umrah.

    Apakah justifikasi di sebalik tindakan kerajaan ini?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.

    Gantung perjalanan mengerjakan umrah ke Arab Saudi

    Kerajaan Malaysia telah menggantung sementara kebenaran perjalanan jemaah umrah ke Arab Saudi, bermula 8 Januari 2022 susulan penularan wabak COVID-19 disebabkan varian Omicron.

    Tindakan ini adalah berdasarkan data yang menunjukkan bahawa, hampir 78% daripada anggaran kes jangkitan baharu varian Omicron berasal daripada jemaah yang pulang selepas mengerjakan umrah.

    Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berdasarkan kajian oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), anggaran kes baharu Omicron ini disahkan 100% melalui jujukan genom penuh.

    Beliau turut menyatakan bahawa kadar jangkitan yang berpunca daripada varian Omicron adalah lebih tinggi berbanding varian Delta.

    Ini boleh mengakibatkan lebih ramai golongan berisiko dimasukkan ke hospital atau Unit Rawatan Rapi (ICU).

    Oleh sebab itu, strategi sekatan perjalanan ini diaktifkan bagi mengekang penularan varian ini, seterusnya menyelamatkan sistem kesihatan Malaysia daripada tenat atau runtuh disebabkan varian baharu.

    Selain itu, sekatan ini juga disebabkan kebimbangan terhadap jemaah umrah yang baru pulang tidak mematuhi arahan kuarantin di rumah, sekali gus menyebabkan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga yang lain. 

    50% kes positif COVID-19 daripada jemaah umrah

    mengerjakan umrah

    Sejak 30 Disember 2021 sehingga 1 Januari 2022, sebanyak 2,763 kes positif COVID-19 telah dikesan daripada para pengembara yang tiba di pintu masuk antarabangsa.

    Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,446 kes adalah daripada mereka yang tiba dari Arab Saudi, manakala kes-kes lain dikesan daripada mereka yang tiba dari lain-lain negara seperti Indonesia, Singapura dan United Kingdom.

    Ini menunjukkan sebanyak 50% kes positif berasal daripada pengembara-pengembara yang tiba dari Arab Saudi sahaja.

    Selain itu, berdasarkan data sehingga 30 Disember 2021, seramai 1,306 kes positif telah dikesan daripada 11,208 jemaah umrah yang telah tiba di Malaysia selepas mengerjakan umrah.

    Jumlah ini mewakili sebanyak 11.76% daripada keseluruhan jemaah umrah tersebut.

    Tambahan pula, lima daripada sembilan kluster yang melibatkan jemaah umrah pula telah disahkan berasal daripada varian Omicron. 

    Angkara Omicron, Arab Saudi ketatkan semula SOP

    Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi telah melonggarkan beberapa SOP bagi mereka yang hadir ke Tanah Suci.

    Namun, disebabkan kemunculan Omicron yang semakin membimbangkan, mereka kembali menguatkuasakan SOP sebelum ini sejurus berlakunya peningkatan kes positif COVID-19.

    Sebelum ini pada bulan Oktober 2021, Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka bukanlah menjadi perkara yang wajib bagi mereka yang telah lengkap divaksin.

    Namun kini, mereka telah mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di semua kawasan selain menjaga jarak fizikal setiap masa.

    Di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, pelekat jarak fizikal telah ditampal semula di lantai masjid agar semua jemaah menjaga jarak mereka ketika sedang bersolat.

    Jemaah umrah telah dipastikan agar sentiasa patuh dengan penguatkuasaan ini dengan cara sentiasa memakai pelitup muka dan melakukan ibadah mengikut waktu yang telah dibenarkan kepada mereka. 

    Hendak mengerjakan umrah? Ini yang perlu anda buat sebelum, semasa dan selepas umrah

    mengerjakan umrah

    Sekiranya sekatan sementara ke Arab Saudi kelak telah ditarik balik, pastikan anda ikut segala peraturan dan SOP yang telah dikuatkuasakan di Malaysia dan juga Arab Saudi.

    Sebelum mengerjakan umrah

    Buat masa ini, jemaah yang tiba di Arab Saudi dengan menggunakan visa umrah mestilah mendapatkan vaksin lengkap dengan vaksin yang telah diluluskan oleh Arab Saudi.

    Jemaah umrah boleh terus mengerjakan ibadah umrah setibanya di Arab Saudi tanpa perlu menjalani proses kuarantin.

    Semasa mengerjakan ibadah umrah

    Pastikan anda sentiasa mematuhi segala prosedur dan peraturan semasa yang telah dikuatkuasakan oleh Kerajaan Arab Saudi.

    Pakai pelitup muka sepanjang masa, sentiasa menjaga jarak fizikal dengan individu lain dan lakukan umrah mengikut waktu yang telah ditetapkan sahaja.

    Selepas mengerjakan umrah

    Memandangkan Arab Saudi dikategorikan sebagai negara berisiko tinggi, maka terdapat beberapa peraturan yang perlu diikuti setibanya anda di tanah air:

    • Melakukan ujian RT-PCR setelah tiba di lapangan terbang
    • Memakai penjejak digital pada pergelangan tangan
    • Menjalani kuarantin wajib selama 7 hari di lokasi yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia
    • Menjalani ujian RT-PCR kali kedua pada hari kelima kuarantin
    • Melakukan ujian penilaian risiko pada hari terakhir kuarantin. Kuarantin akan diteruskan sekiranya anda menunjukkan simptom COVID-19
    • Tamat kurantin pada hari kelapan sekiranya ujian RT-PCR kedua menunjukkan hasil negatif

    Larangan perjalanan untuk kebaikan semua pihak

    Mungkin ada yang tidak berpuas hati dengan larangan ini, lebih-lebih lagi bagi mereka yang telah lama merancang untuk mengerjakan ibadah umrah.

    Namun kita mesti memahami bahawa larangan ini adalah untuk kebaikan semua pihak.

    Ia bukan sahaja untuk melindungi bakal jemaah itu sendiri, tetapi juga melindungi rakyat Malaysia yang lain terutamanya golongan berisiko.

    Selain itu, ia bertujuan untuk mengurangkan beban yang telah lama ditanggung oleh petugas kesihatan dalam memerangi jangkitan COVID-19 sejak dua tahun yang lalu. 

    #HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronaVirus

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/03/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan