Penghidap G6PD selalunya terdiri daripada kaum lelaki. Walau bagaimanapun, wanita juga boleh mengalami G6PD, namun kebarangkaliannya jauh lebih rendah.
Penyakit G6PD merupakan penyakit keturunan yang mempengaruhi kromosom X. Walaupun wanita mempunyai padanan kromosom XX, wanita selalunya akan menjadi pembawa.
Walaupun penyakit ini kedengaran serius, namun kebanyakannya tidak menyebabkan masalah yang besar asalkan pesakit menjauhkan diri daripada ubat-ubatan atau makanan yang boleh menyebabkan anemia hemolitik.
Selalunya, masalah kekurangan enzim G6PD tidak dapat dikenal pasti hinggalah individu tersebut mengalami simptom.
Jika anda mempunyai penyakit ini, doktor akan melakukan beberapa jenis ujian terlebih dahulu untuk menentukan punca sebenar anemia yang anda alami.
Makanan yang perlu pesakit G6PD elakkan
G6PD bukanlah sejenis alahan walaupun mempunyai persamaan dengan penyakit tersebut. Individu yang menghidap alahan dan G6PD kedua-duanya perlu pantang makanan tertentu.
Jika tersalah makan, pesakit alahan akan alami tindak balas alergi seperti gatal-gatal, mata berair, hidung tersumbat dan sebagainya.
Namun, berbeza pula dengan pesakit G6PD. Mereka akan alami simptom anemia seperti pening kepala dan rasa letih disebabkan darah merah yang pecah.
Kedua-dua penyakit ini boleh membawa maut bergantung kepada keseriusan alahan atau G6PD yang pesakit alami.
Sebenarnya, ada banyak makanan yang perlu pesakit G6PD elakkan. Sebagai contoh:
1. Antibiotik

Selalunya, pesakit yang mempunyai G6PD boleh mengambil antibiotik, namun ada beberapa jenis yang boleh menyebabkan anemia.
Sebagai contoh, pesakit haruslah mengelakkan pengambilan antibiotik daripada kumpulan sulfa dan juga quinolone.
2. Ubat malaria
Ubat primaquine yang digunakan untuk merawat malaria didapati boleh menyebabkan anemia dalam kalangan mereka yang mengalami masalah kekurangan enzim G6PD.
3. Aspirin
Kadangkala, mereka yang mengalami penyakit G6PD juga tidak boleh mengambil aspirin atau ubat tahan sakit. Namun, perkara ini mungkin berbeza mengikut individu.
Oleh sebab itu, jika anda menghidap G6PD dan ingin mengambil aspirin untuk merawat sakit atau inflamasi, pastikan anda mendapatkan persetujuan daripada doktor anda terlebih dahulu.
4. Ubat gegat
Ubat gegat merupakan musuh dalam selimut bagi penghidap G6PD. Ia mengandungi naftalena, satu lagi bahan kimia yang boleh menyebabkan hemolisis dalam kalangan pesakit G6PD.
Disebabkan ubat gegat melalui proses sublimasi, wap yang keluar amat berbahaya jika dihidu oleh penghidap G6PD.
Malah, baju serta bahan-bahan yang berdekatan dengan kawasan ubat gegat tersebut juga akan mencetuskan anemia.
5. Inai
Ada kes yang melaporkan penggunaan inai boleh menyebabkan anemia dalam kalangan pesakit G6PD.
Malah, kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke bawah didapati lebih terdedah kepada tindak balas ini.
6. Kacang parang

Penyakit G6PD yang paling teruk turut dikenali dengan nama ‘favism’ yang berasal daripada nama kacang fava atau kacang parang.
Pesakit G6PD perlu elakkan makan kacang parang kerana ia boleh menyebabkan anemia hemolitik.
Kadangkala, mereka yang menghidap G6PD ini juga tidak boleh mengambil kekacang seperti kacang pis atau kacang tanah.
Kesimpulan
Jika anda menghidap penyakit kekurangan enzim G6PD, itu bukanlah bermaksud anda tidak boleh mengambil sebarang ubat-ubatan. Walau bagaimanapun, anda perlulah tahu ubat yang mana perlu dielakkan.
Senarai di atas bukanlah satu senarai lengkap mengenai makanan yang perlu dielakkan oleh pesakit G6PD. Sebenarnya, setiap individu mungkin mengalami reaksi yang berlainan terhadap makanan yang berbeza.
Oleh sebab itu, pastikan anda sentiasa berhubung dengan doktor anda.
Penghidap G6PD juga boleh hidup aman dan bahagia sama seperti orang lain dengan cara berpantang dan terus peka terhadap bahan-bahan di sekitarnya.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen