backup og meta

COVID-19: Kedai Gunting Rambut Boleh Kawal Darah Tinggi? Relevankah Dengan Situasi Di Malaysia?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 20/04/2020

    COVID-19: Kedai Gunting Rambut Boleh Kawal Darah Tinggi? Relevankah Dengan Situasi Di Malaysia?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.

    Susulan pengumuman kerajaan tempoh hari untuk membenarkan perkhidmatan gunting rambut dibuka sepanjang tempoh lanjutan perintah kawalan pergerakan, ramai netizen yang melenting.

    Kemarahan mereka mempunyai asas daripada sudut pencegahan wabak virus korona baharu (COVID-19).

    Mana tidaknya, dalam banyak-banyak perkhidmatan kritikal dan separa kritikal, servis gunting rambut yang dipilih.

    Hasrat kerajaan untuk membenarkan sektor terpilih beroperasi dilihat sebagai satu langkah yang baik bagi memulihkan ekonomi.

    Namun, pemilihan sektor tersebut perlu diteliti dan ditimbang tara akan risikonya kepada populasi umum.

    [covid_19]

    Perkhidmatan gunting rambut tidak dilihat sebagai satu servis kritikal atau separa kritikal pada situasi wabak. 

    Apa yang lebih teruk lagi, mereka memetik kajian saintifik yang jelas menunjukkan situasi berbeza untuk menyokong keputusan mereka.

    Baca artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Perkhidmatan gunting rambut boleh kawal darah tinggi, relevankah dengan situasi di Malaysia?

    gunting rambut

    Kajian yang dipetik untuk menjustifikasikan tindakan membenarkan perkhidmatan gunting rambut telah diterbitkan dalam satu laman jurnal terkemuka The New England Journal of Medicine (NEJM).

    Dengar sahaja nama laman jurnal tersebut, sudah tentunya anda berasa yakin dengan kesahihan maklumat yang disampaikan.

    Namun, walaupun data dan kesimpulan kajian tersebut merupakan fakta, ia digunakan pada konteks yang salah.

    Kajian tersebut melibatkan populasi lelaki Amerika Afrika yang menghadiri program kawalan tekanan darah khas di kedai gunting rambut.

    Terdapat dua kumpulan yang dikaji, satu melibatkan bantuan dari ahli farmasi terlatih manakala satu kumpulan lagi hanya mempunyai tukang gunting rambut.

    Kejayaan menurunkan tekanan darah hanya dapat dilihat pada kumpulan yang mempunyai ahli farmasi.

    Jelas sekali melalui program tersebut, bantuan ahli farmasi penting bagi memperkukuhkan aspek perubatan komuniti.

    Jadi, persoalannya di sini, apa kaitan kajian tersebut dengan pembukaan kedai gunting rambut dalam situasi wabak untuk kawal darah tinggi?

    Kedai gunting mana yang mempunyai kolaborasi dengan ahli farmasi untuk bantu pesakit turunkan tekanan darah?

    Apa yang boleh dibuat oleh pekerja gunting rambut hanyalah memberikan nasihat berkaitan dengan gaya hidup sihat.

    Kluster gunting rambut, risiko kontak rapat dengan pelanggan atau pekerja yang positif COVID-19

    covid

    Amalan jarak sosial telah terbukti berkesan untuk mengelakkan berlakunya penularan dalam kalangan individu di seluruh dunia.

    Oleh sebab itulah kebanyakan individu, terutamanya tukang gunting rambut sendiri yang membantah keputusan untuk membenarkan perkhidmatan gunting rambut beroperasi.

    Jarak di antara pelanggan dan tukang gunting rambut sudah tentunya kurang daripada 1 meter.

    Itu sudah bercanggah dengan konsep jarak sosial yang diajukan oleh badan kesihatan global untuk mencegah penularan COVID-19.

    Jika pemeriksaan suhu badan dibuat sebelum pelanggan boleh masuk ke dalam kedai sekalipun, ia tidak bermakna anda selamat daripada mendapat jangkitan virus korona baharu.

    Virus tersebut mempunyai tempoh pengeraman yang agak panjang iaitu di antara 2 hingga 14 hari.

    Ini bermakna individu yang dijangkiti tidak menunjukkan simptom namun berupaya untuk menyebarkan virus tersebut.

    Baca juga:

    Situasi sebeginilah yang menyebabkan angka kes positif dunia hampir mencecah 2 juta.

    Kita tidak tahu sekiranya individu lain betul-betul sihat atau berada pada fasa awal jangkitan.

    Jika berlakunya jangkitan baharu ketika sedang gunting rambut, ia boleh menyebabkan wujudnya kluster baharu.

    Perkara ini akan merumitkan keadaan kerana pengesanan kontak perlu dilakukan dengan teliti.

    Bukan sahaja pelanggan malah keluarga pelanggan turut berisiko mendapat jangkitan COVID-19.

    Keputusan yang dibuat untuk membenarkan perkhidmatan gunting rambut ini dilihat sebagai satu tindakan yang boleh merosakkan corak pemulihan kes positif di Malaysia.

    Wajarkah kedai gunting rambut beroperasi semasa tempoh lanjutan PKP?

    gunting rambut

    Jika ditanya pada penulis, tidak perlu untuk kedai gunting rambut beroperasi sepanjang tempoh lanjutan berlaku.

    Bukan hendak menafikan sumber rezeki bagi tukang gunting rambut tetapi untuk melindungi hak dan kebajikan awam daripada mendapat jangkitan virus korona baharu.

    Jika anda ingin memetik negara Jepun yang turut menyenaraikan perkhidmatan gunting rambut sebagai keperluan asas manusia, rakyat mereka juga menentang keputusan itu.

    Baru-baru ini terdapat kes kluster yang berpunca dari kedai salon rambut yang terletak di kota Buzen. 

    5 kes positif COVID-19 telah disahkan dan ini termasuklah seorang bayi dan ibunya yang merupakan pelanggan di kedai tersebut.

    Baca juga:

    Perkara ini dilihat sebagai satu tindakan yang tidak rasional. 

    Bagaimana perkhidmatan gunting rambut boleh dilihat sebagai satu perkhidmatan kritikal?

    Di Amerika Syarikat, seorang tukang gunting rambut di Mississippi telah mati pada 11 April yang lalu berjangkit daripada salah seorang pelanggannya.

    Melihat kepada keadaan ini, kerajaan perlu mempertimbangkan keputusan untuk membenarkan kedai salon dan gunting rambut beroperasi demi kesejahteraan rakyat.

    Jika sesuatu servis itu tidak berkait dengan keperluan asas, adalah lebih elok jika kita menangguhkan operasi mereka. 

    Perkara ini terutamanya jika perkhidmatan mereka melibatkan kontak rapat dalam satu jangka masa yang panjang.

    Konklusi

    covid

    Perkhidmatan gunting rambut tidak sepatutnya diberikan kebenaran untuk beroperasi. 

    Kerajaan perlu menyemak semula relevan dan risiko penularan jangkitan yang bakal berlaku sekiranya perkara tersebut tidak diambil serius.

    Kajian yang dipetik berkenaan dengan penurunan darah tinggi di kedai gunting rambut itu tidak relevan dengan situasi di Malaysia.

    Ia memerlukan penglibatan ahli farmasi terlatih. 

    Tukang gunting rambut juga perlu melalui sesi latihan bagi memastikan mereka menyampaikan maklumat yang betul berkaitan dengan gaya hidup sihat.

    Marilah bersama-sama kita patuhi perintah kawalan pergerakan dan berharap kes COVID-19 akan beransur turun.

    [mc4wp_form id=’115319″]

    #HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronaVirus

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 20/04/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan