backup og meta

Masalah Pundi Kencing

Masalah Pundi Kencing

Semua individu akan mengosongkan pundi kencing berkali-kali setiap hari. Proses yang sama berulang tanpa henti walaupun ketika anda tidur. Meskipun ia nampak mudah, namun ramai yang masih tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk menjaga kesihatan pundi kencing mereka. Kenali sakit pundi kencing secara menyeluruh dalam artikel ini.

Selepas baca, jangan lupa kongsikan dengan yang lain ya!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Masalah Pundi Kencing, sila dapatkannya di sini.

Kenali pundi kencing

Terletak rapi di bahagian bawah perut, pundi kencing adalah salah satu organ berongga seperti belon dalam tubuh kita. Fungsi utamanya adalah untuk menyimpan air kencing.

Apabila anda semakin tua, struktur dan fungsi pundi kencing akan berubah. Salah satu perubahan yang paling ketara ialah tisu elastik pundi kencing menjadi kurang tegang dan mengeras.

Pundi kencing yang hilang ketegangan tidak akan dapat menahan isipadu air kencing seperti sebelumnya. Oleh itu, anda akan kerap ke tandas untuk membuang air kecil.

Selain itu, otot dinding pundi kencing dan lantai pinggul atau pelvis akan menjadi lemah setara dengan proses penuaan, menjadikannya lebih sukar untuk mengosongkan pundi kencing sepenuhnya.

Tanda

Apakah gejala sakit pundi kencing?

pundi kencing

Setiap individu mempunyai keupayaan pundi kencing yang berbeza. Akan tetapi, terdapat beberapa simptom tertentu yang menunjukkan sakit pundi kencing.

Sekiranya anda mempunyai tanda dan gejala masalah pundi kencing seperti berikut, berbincanglah dengan doktor anda.

Salah satu simptom yang sering dikaitkan dengan sakit pundi kencing ialah kurang keupayaan untuk mengawal kencing, juga dikenali sebagai inkontinen urin.

Inkontinen urin ialah masalah utama dalam kalangan warga tua, dan boleh menjadi lebih teruk dengan peningkatan usia. Jika melihat dari sudut jantina pula, wanita lebih berisiko untuk mengalami keadaan ini berbanding lelaki.

Ini tanda masalah inkontinen urin:

  • Air kencing mudah meleleh ketika batuk, bersin atau ketawa. Keadaan ini dipanggil stres inkontinen dan berlaku kerana kelemahan otot pundi kencing
  • Lebih kerap membuang air kecil daripada normal tetapi dalam kuantiti yang sedikit
  • Tidak sempat ke tandas untuk membuang air kecil dan terkencing dalam seluar
  • Tidak mampu mengawal pembuangan air kecil

Selain itu, tanda dan gejala sakit pundi kencing yang lain boleh merangkumi:

  • Bangun berkali-kali pada waktu malam untuk membuang air kecil
  • Keperluan mendadak dan terdesak untuk membuang air kecil
  • Sakit atau rasa terbakar sebelum, semasa atau selepas membuang air kecil
  • Air kencing lebih keruh atau berdarah
  • Mempunyai masalah untuk memulakan atau mengalami aliran lemah semasa kencing
  • Sukar untuk mengosongkan pundi kencing sepenuhnya

Bilakah perlu jumpa doktor?

Jika anda mempunyai simptom sakit pundi kencing, seperti masalah membuang air kecil, hilang kawalan pundi kencing, sering bangun tidur untuk kencing dan sakit di bahagian pelvis, berjumpalah dengan doktor segera.

Sakit pundi kencing boleh mempengaruhi kualiti hidup anda dan menyebabkan masalah kesihatan yang lain. 

Doktor akan mengesyorkan rawatan yang sesuai atau perubahan gaya hidup yang diperlukan mengikut keadaan anda.

Berundinglah dengan doktor jikalau anda:

Simptom tersebut boleh menjadi tanda amaran masalah kesihatan yang lebih serius, termasuklah keradangan bahkan kanser pundi kencing.

Punca bagi wanita

Punca masalah pundi kencing untuk wanita

sakit pundi kencing

Sesetengah peristiwa hidup dan masalah kesihatan tertentu boleh melemahkan otot lantai pelvis wanita. Keadaan ini boleh menjurus kepada stres inkontinen.

Beberapa punca biasa yang dikenal pasti ialah:

  • Kehamilan dan kelahiran anak
  • Trauma atau kecederaan seperti serangan seksual
  • Menopaus
  • Organ peranakan jatuh, selalunya dalam kes prolaps organ pelvis

Otot lantai pinggul yang lemah boleh menyukarkan pundi kencing anda untuk menahan air kencing semasa mengalami tekanan. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan kesukaran menahan tinja atau masalah kawalan usus.

Stres inkontinen berlaku apabila beberapa pergerakan anda seperti batuk, bersin atau ketawa memberi tekanan kepada pundi kencing dan menyebabkan ia ‘bocor’.

Punca bagi lelaki

Punca sakit pundi kencing untuk lelaki

Bagi kaum lelaki pula, inkontinen urin sering berlaku sekiranya terdapat masalah prostat. Lelaki mempunyai kelenjar prostat yang mengelilingi pembukaan pundi kencing.

Seiring dengan proses penuaan, saiz prostat juga akan bertambah besar. Apabila prostat menjadi terlalu besar, ia merupakan suatu masalah kesihatan iaitu penyakit prostat bengkak (benign prostate hyperplasia).

Lelaki yang mempunyai prostat besar mungkin mengalami masalah seperti berikut:

  • kesukaran untuk membuang air kecil
  • aliran air kencing yang lemah
  • kesukaran untuk mengosongkan pundi kencing sepenuhnya

Di samping itu, lelaki yang mempunyai sejarah kanser prostat akan mengalami inkontinen urin dalam jangka masa pendek atau panjang. Kanser tersebut boleh menyekat atau merosakkan saluran kencing.

Selain daripada sel kanser, pembedahan, perubatan radiasi atau rawatan kanser prostat lain boleh mengakibatkan kerosakan saraf, kekejangan pundi kencing atau stres inkontinen.

Walaupun begitu, masalah kawalan pundi kencing selepas kanser prostat selalunya bertambah baik dari semasa ke semasa.

Punca lain

Masalah kesihatan lain, terutama sekali berkaitan dengan sistem saraf anda dan faktor gaya hidup boleh menyumbang kepada peningkatan masalah pundi kencing dalam kalangan masyarakat kita.

Masalah kesihatan

Masalah kesihatan atau perubahan tertentu boleh menjurus kepada masalah pundi kencing, termasuklah:

  • Penuaan
  • Jangkitan pundi kencing
  • Sembelit yang kerap dan berpanjangan
  • Kecacatan semasa kelahiran
  • Saluran kencing tersumbat, sama ada disebabkan oleh tumor atau batu karang
  • Batuk kronik yang berpanjangan
  • Diabetes
  • Berat badan berlebihan atau obesiti

Sesetengah masalah kesihatan hanya berlaku untuk jangka pendek, seperti batuk atau sembelit. Ia boleh menyebabkan kurang keupayaan untuk mengawal air kencing sementara sahaja.

Selain itu, masalah sistem saraf adalah penyebab umum untuk inkontinen urin. Ia berlaku apabila otak anda tidak menyampaikan isyarat yang betul pada sistem urinari, biasanya pundi kencing, otot sphinkter atau kedua-duanya untuk menjalankan tugasnya.

Saraf dan otot pundi kencing boleh terjejas dan rosak disebabkan oleh:

  • Penyakit Alzheimer
  • Strok
  • Penyakit Parkinson
  • Diabetes
  • Kecederaan saraf tunjang
  • Kegelisahan
  • Penyakit sklerosis berbilang (multiple sclerosis)

Faktor gaya hidup

Terdapat beberapa faktor gaya hidup yang boleh mempengaruhi kesihatan pundi kencing anda, termasuklah:

  • Tabiat makan yang menyebabkan sembelit seperti kurang mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan
  • Gemar minum minuman beralkohol, berkafein tinggi atau berkarbonat
  • Ubat-ubatan tertentu
  • Tidak gemar melakukan aktiviti fizikal atau bersenam
  • Merokok

Penyakit pundi kencing lazim di Malaysia

1. Pundi kencing terlebih aktif (OAB)

Pundi kencing terlebih aktif adalah nama yang diberikan kepada sekumpulan gejala pundi kencing. Ingat ya, ia bukannya sejenis penyakit!

Gejala yang paling biasa adalah hilang kawalan atau tinggi keinginan untuk membuang air kecil. Sesetengah individu akan terkencing ketika merasa keinginan tersebut.

Simptom lain adalah keperluan kencing berkali-kali sama ada siang atau malam.

OAB pada dasarnya ialah desakan perasaan bahawa anda ‘mesti’ kerap pergi ke tandas dengan segera.

2. Keradangan pundi kencing

Keradangan pundi kencing atau interstitial cystitis ialah salah satu masalah pundi kencing kronik. Ia berkait dengan perasaan sakit dan tekanan di kawasan pundi kencing.

Bersama-sama dengan rasa sakit tersebut, gejala salur kencing bahagian bawah juga akan muncul yang telah berlangsung lebih dari enam minggu tanpa mengalami jangkitan atau sebab-sebab lain yang jelas.

3. Retensi urin

Retensi urin ialah satu keadaan di mana pundi kencing anda tidak dapat dikosongkan sepenuhnya walaupun penuh dan anda mempunyai rasa yang kuat untuk kencing.

Ia boleh berlaku untuk jangka masa pendek atau panjang, iaitu akut atau kronik. Walaupun retensi urin boleh mempengaruhi sesiapa sahaja, namun ia berlaku lebih kerap dalam kalangan lelaki berusia.

Langkah mengatasi

Selain menerima rawatan daripada doktor anda, masalah pundi kencing juga boleh diatasi dengan perubahan gaya hidup, senaman yang sesuai dan sebagainya.

1. Perubahan gaya hidup

Masalah pundi kencing senang untuk diatasi dengan beberapa perubahan kehidupan harian anda. Antaranya termasuklah:

  • Minum jumlah air yang betul pada waktu yang tepat
  • Menjadi lebih aktif dari segi fizikal
  • Jaga berat badan ideal mengikut indeks jisim badan (BMI)
  • Elakkan sembelit daripada berlaku
  • Terapkan inisiatif untuk berhenti merokok

2. Latihan pundi kencing

Latihan pundi kencing adalah ketika anda membuang air kecil mengikut jadual untuk membantu mengurangkan kebocoran.

Berdasarkan diari harian yang dibekalkan, doktor akan mencadangkan anda untuk membuang air kecil mengikut jadual yang ditetapkan.

3. Senaman otot lantai pinggul (pelvis)

sakit pundi kencing

Otot lantai pelvis yang kuat boleh menahan air kencing lebih baik berbanding dengan otot yang lemah.

Anda boleh menguatkan otot tersebut dengan melakukan latihan Kegel. Latihan ini melibatkan proses mengetat dan mengendurkan otot yang mengawal aliran air kencing.

Kajian mendedahkan wanita yang kerap mengamalkan Kegel lebih baik dalam mengawal air kencing berbanding wanita yang tidak amalkan latihan tersebut.

Lelaki juga boleh mendapat manfaat daripada latihan Kegel. Proses menguatkan otot-otot ini boleh membantu mengurangkan lelehan selepas membuang air kecil.

4. Kawal keinginan untuk membuang air kecil

Dalam sesetengah kes, anda boleh mengawal atau menahan keinginan yang kuat untuk membuang air kecil. Dengan latihan pundi kencing seperti itu, anda tidak perlu tergesa-gesa untuk mencari tandas.

Sebilangan individu cuba untuk melakukan aktiviti yang digemari untuk mengalihkan perhatian mereka daripada kerap membuang air kecil.

Kesimpulan

Masalah pundi kencing adalah suatu perkara yang biasa. Namun, masih ramai individu yang berasa malu untuk berbicara mengenainya.

Sekurang-kurangnya, berbincanglah dengan doktor jika anda mengalami apa-apa tanda dan gejala seperti yang disenaraikan dalam artikel ini. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://www.urologyhealth.org/urologic-conditions/urinary-incontinence
  2. https://www.urologyhealth.org/urologic-conditions/interstitial-cystitis
  3. https://www.urologyhealth.org/urologic-conditions/overactive-bladder-(oab)
  4. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/15427-urinary-retention
  5. http://www.myhealth.gov.my/pundi-kencing/
  6. https://www.niddk.nih.gov/health-information/urologic-diseases/bladder-control-problems/definition-facts
  7. https://www.nia.nih.gov/health/bladder-health-older-adults#:~:text=Signs%20of%20a%20bladder%20problem%20can%20include%3A,times%20at%20night%20to%20urinate
  8. https://www.mstrust.org.uk/a-z/bladder-problems

Versi Terbaru

29/08/2022

Ditulis oleh Nana Muhammad

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Sukar Membuang Air Kecil? Ini Tanda, Rawatan & Langkah Pencegahan Yang Boleh Dilakukan

Perlu Ke Tandas 40 Kali Sehari? Inilah Dugaan Yang Perlu Ditempuhi Pesakit Sistitis Interstitial


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 29/08/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan