Somnambulisme atau lebih dikenali sebagai fenomena tidur berjalan merupakan penyakit yang lazim dialami oleh kanak-kanak. Kebiasaannya, masalah ini akan hilang dengan sendirinya apabila usia kanak-kanak tersebut meningkat.
Walaupun nama somnambulisme itu membawa maksud tidur berjalan, mereka yang mengalaminya tidak semestinya akan bangun dan berjalan. Jika anda ingin tahu dengan lebih lanjut berkaitan dengan fenomena ini, teruskan membaca artikel ini.
Perihal somnabulisme
Somnambulisme merupakan penyakit yang melibatkan tingkah laku yang kompleks semasa tidur menyebabkan berlakunya pergerakan yang tidak normal bagi individu yang tidur termasuklah berjalan. Insiden yang berlaku adalah antara 2 hingga 14 peratus dan pada kebanyakan kes, ia tidak berbahaya.
Walaupun kebanyakan kanak-kanak yang menghidap somnambulisme akan sembuh apabila mereka melangkah ke alam dewasa, sekurang-kurangnya 25% daripada mereka masih mempunyai masalah tersebut ketika dewasa.
Walaupun tidak berbahaya, perkara ini telah menarik perhatian pakar tidur memandangkan tidur penting untuk perkembangan otak, memori dan tumbesaran badan yang sihat. Kanak-kanak yang mengalami somnabulisme kronik kebiasaannya mempunyai masalah tidur, masalah tingkah laku atau mempunyai masalah berkaitan dengan kestabilan emosi.
Apa yang lebih membimbangkan lagi adalah kebanyakan ibu bapa tidak membawa anak mereka untuk mendapatkan rawatan doktor. Fenomena ini sering dikaitkan dengan fenomena paranormal yang sering dirawat dengan rawatan tradisional.
Jika perkara ini disebabkan oleh masalah kesihatan seperti apnea tidur atau narkolepsi (masalah neurologikal kronik berkaitan dengan masalah pengawal aturan kitaran tidur jaga), kanak-kanak tersebut memerlukan pemeriksaan kesihatan yang teliti dan rawatan susulan.
Simptom somnambulisme
Mereka yang mempunyai masalah somnambulisme kebiasaannya akan mengalami simptom penyakit tersebut untuk beberapa minit. Antara simptom yang berkait dengan masalah somnambulisme adalah seperti berikut:
- Turun dari katil dan berjalan
- Terduduk di atas katil dengan mata terbuka
- Bercakap berseorangan
- Tidak memberikan sebarang tindak balas atau berkomunikasi dengan individu lain
- Sukar untuk dikejutkan ketika episod somnambulisme
- Keliru atau kelihatan keruan apabila dikejutkan
- Tidak mempunyai memori berkaitan dengan episod somnambulisme
- Mempunyai tanda-tanda kurang tidur seperti lemah, tidak bertenaga dan mempunyai masalah untuk menjalankan tugas harian
- Mengalami mimpi buruk
Bergantung kepada jenis aktiviti yang dijalankan sewaktu episod somnambulisme, pengelasan risiko boleh dibahagikan kepada 3:
- Tidak berbahaya (duduk dengan mata terbuka, bercakap-cakap ketika tidur)
- Berpotensi untuk berbahaya (berjalan-jalan di luar rumah)
- Kelakuan tidak sepatutnya (membuka pintu almari dan kencing di dalamnya)
Pengelasan tersebut penting kerana ia boleh mempengaruhi kualiti hidup individu yang mengalaminya serta mereka yang tinggal bersama dengannya.
Punca somnambulisme (tidur berjalan)
Menurut kriteria yang yang dikeluarkan oleh Panduan Statistik dan Diagnosis Penyakit Mental edisi ke 5 (DSM-5), somnambulisme dikategorikan sebagai salah satu kriteria untuk mendiagnosis penyakit parasomnia.
Parasomnia merupakan masalah berkaitan dengan kitaran tidur jaga yang disifatkan dengan pergerakan atau percakapan tidak normal yang berlaku semasa tidur. Terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang kepada terjadinya fenomena tidur berjalan.
Antaranya adalah:
- Kelesuan atau masalah kurang tidur
- Tabiat tidur yang tidak terurus
- Mengalami keresahan atau kemurungan
- Tidur di persekitaran yang baharu
- Kesan sampingan ubat seperti ubat perangsang, ubat antihistamin dan ubat penenang
- Sejarah keluarga dengan penyakit somnambulisme
Selain daripada punca yang tersenarai di atas, tidur berjalan juga boleh disebabkan oleh:
- Apnea tidur
- Mimpi ngeri
- Migrain
- Sindrom kaki resah
- Trauma pada bahagian kepala
Diagnosis somnambulisme (tidur berjalan)
Walaupun diagnosis somnambulisme boleh dibuat secara klinikal, maklumat daripada ibu bapa atau penjaga boleh membantu dalam diagnosis somnambulisme. Jika tiada punca masalah kesihatan yang dapat didiagnosis, penyakit tersebut tidak memerlukan sebarang rawatan.
Namun, jika pemeriksaan kesihatan menunjukkan terdapatnya penyakit yang berkemungkinan menyumbang kepada somnambulisme, rawatan kepada keadaan tersebut perlu dijalankan. Ujian tidur boleh dijalankan di makmal tidur bagi mengenal pasti jika terdapat permasalahan terhadap fungsi otak anak anda seperti sawan yang boleh menyerupai tidur berjalan.
Beberapa elektrod akan dipasang pada tubuh anak anda bagi memantau kadar degupan nadi, gelombang otak, kadar pernafasan, pergerakan mata, pergerakan kaki dan paras oksigen di dalam darah. Kamera juga akan digunakan bagi merekodkan pergerakan anak anda untuk tujuan perbincangan dan tindakan susulan.
Jika masalah somnambulisme tidak menunjukkan punca yang nyata dan ia memberikan kesan negatif terhadap kualiti hidup individu tersebut, teknik kejut secara berkala boleh digunakan. Ia melibatkan pemerhatian ibu bapa berkenaan dengan masa spesifik terjadinya fenomena tersebut.
Pada malam berikutnya, anak akan dikejutkan 15 minit sebelum waktu anggaran terjadinya masalah tersebut. Teknik ini bukan sahaja dapat mengatur semula kitaran tidur anak anda, malah ia sedikit sebanyak boleh membantu simptom tidur berjalan anak anda.
Bergantung kepada keputusan penilaian klinikal anak anda, rawatan, jika perlu, akan diberikan berdasarkan kepada diagnosis yang mempunyai potensi untuk menyebabkan masalah tidur berjalan tersebut.
Langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko kecederaan
Fenomena tidur berjalan ini membuatkan anak anda terdedah untuk mendapat kecederaan disebabkan oleh keadaan persekitaran. Beberapa langkah boleh diambil bagi membendung permasalahan ini. Antaranya adalah:
- Tutup dan kunci kesemua pintu dan tingkap sebelum tidur
- Mengalihkan barangan tajam yang berisiko untuk dipijak oleh anak anda semasa mengalami episod tersebut
- Elakkan daripada membeli katil dua tingkat bagi mengurangkan risiko jatuh katil
- Pasangkan pagar keselamatan pada pintu untuk mengelakkan anak anda daripada berjalan keluar pada waktu malam
- Jika anda mempunyai pemanas air mandi, turunkan suhunya untuk mengelakkan kecederaan kebakaran
- Elakkan daripada meletakkan kunci rumah di tempat yang mudah dijumpai
Oleh sebab masalah somnabulisme berlaku kerana tabiat tidur yang tidak teratur, berikut merupakan perkara yang boleh anda terapkan pada diri anak anda:
- Tidur awal pada waktu yang sama setiap malam
- Ajarkan rutin sebelum tidur yang menenangkan seperti membaca buku cerita untuk anak anda
- Tidur dalam bilik yang selesa, senyap dan gelap
- Pastikan suhu bilik berada mada 24 darjah selsius maksimum
- Pastikan anak anda membuang air kecil sebelum tidur
- Elakkan daripada mengambil minuman berkafein atau bergula sebelum tidur
Konklusi
Somnambulisme tidak mempunyai rawatan khusus namun anda perlu membawa anak anda untuk berjumpa dengan doktor bagi menjalani pemeriksaan kesihatan. Banyak keadaan kesihatan yang boleh menyebabkan masalah somnambulisme.
Jika anda bertemu dengan anak anda yang sedang berjalan sambil tidur, pimpin tangannya dan tarik secara lembut ke arah katil mereka. Jika tiada masalah kesihatan, tabiat tersebut kebiasaannya hilang apabila usia anak anda semakin meningkat.
[embed-health-tool-bmi]