Bagi penghidap psoriasis, keadaan kulit mereka tentunya mengganggu aktiviti harian. Selain gatal-gatal, ia memberikan kesan psikologi dan mengurangkan keyakinan diri seseorang, lebih-lebih lagi jika ia berlaku di kulit kepala atau muka. Keadaan kulit ini adalah sejenis penyakit autoimun di mana sel-sel kulit berkembang-biak pada kadar yang lebih cepat daripada biasa. Kadar yang cepat ini menyebabkan lebihan sel-sel kulit sehingga membentuk lapisan baru di atas kulit yang sihat. Ia kelihatan seperti sisik berwarna kemerah-merahan. Mujurlah, terdapat beberapa kaedah merawat psoriasis secara semula jadi yang boleh anda praktikan.
Rawatan konvensional vs rawatan semula jadi
Rawatan konvensional bergantung kepada tahap keseriusan keadaan anda, serta jenis dan saiz tompokan. Rawatan mungkin ditukar jika ia didapati tidak efektif atau menunjukkan kesan sampingan yang teruk.
Rawatan konvensional selalunya melibatkan ubat-ubatan, kebiasaannya retinoid atau ubat imunosupresan. Ubat-ubat ini boleh diberikan dalam bentuk krim topikal yang disapu langsung ke atas bahagian yang terbabit untuk mengurangkan keradangannya.
Jika keadaan anda tidak terkawal dengan krim topikal, doktor mungkin beralih kepada rawatan sistemik, iaitu mengambil ubat melalui suntikan. Selain ubat, terapi sinar ultraviolet (UV) yang menggabungkan antara sinar UV dari cahaya matahari dan sinar UV buatan.
Rawatan semula jadi pula mempunyai kelebihannya sendiri. Perkara utama yang membezakan rawatan semula jadi dengan rawatan konvensional adalah kesan sampingan yang banyak dari rawatan konvensional. Walaupun ubat-ubatan seperti steroid adalah efektif dalam mengawal psoriasis, kesan sampingannya mungkin membuatkan seseorang terpaksa berhenti mengambilnya.
Apakah rawatan semula jadi untuk psoriasis?
Pendekatan semula jadi dan holistik bertujuan mengatasi punca kepada masalah tersebut. Pengamalan diet yang sesuai adalah efektif dalam mengawal psoriasis dalam kebanyakan orang.
Kajian juga menunjukkan hubungan antara struktur serta fungsi usus dan psoriasis. Sebahagian pakar mendakwa bahawa psoriasis mungkin berlaku disebabkan kegagalan usus untuk menyerap toksin di dalam badan. Akhirnya, toksin terbabit dibuang melalui kulit.