backup og meta

Boleh Ke Pesakit Psoriasis Nak Bersenam? Ini Cara Betul Kalau Tak Mahu Gatal Masa Senaman

Boleh Ke Pesakit Psoriasis Nak Bersenam? Ini Cara Betul Kalau Tak Mahu Gatal Masa Senaman

Kekal aktif adalah penting dalam menjamin gaya hidup sihat. Bagi sesetengah individu, senaman adalah 1 aktiviti kecergasan fizikal yang menyeronokkan.

Namun situasinya mungkin berbeza buat penderita psoriasis kerana senaman boleh menjadi perkara yang mencabar, baik secara fizikal dan emosi.

Pun begitu, adakah pesakit psoriasis digalakkan bersenam? Jika anda ingin tahu jawapannya, jom ikuti artikel ini!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.

Penyakit kulit psoriasis, apa itu?

Sebelum kita lanjut ke persoalan utama artikel ini, adalah wajar untuk para pembaca sekalian memahami erti di sebalik penyakit psoriasis terlebih dahulu.

Psoriasis adalah sejenis penyakit autoimun yang menyebabkan kulit timbul tompokan gatal dan bersisik kemerahan. Ia kerap muncul di sekitar siku, lutut serta kulit kepala.

Tambahan itu, kondisi ini adalah berjangka panjang (kronik) dan tidak mempunyai penawar.

Selain faktor ubat-ubatan, kecederaan, jangkitan kulit dan tekanan turut boleh mencetuskan kondisi ini.

Pun begitu, rawatan yang tersedia dapat bantu menguruskan gejala dihadapi.

Pesakit juga boleh amalkan gaya hidup dan diet yang lebih sihat untuk membantu mereka hidup lebih baik dengan psoriasis.

Faedah-faedah bersenam

Senaman secara umumnya sangat bagus untuk membakar kalori dan membina otot.

Selain bermanfaat kepada kesihatan diri, aktiviti kecergasan fizikal juga dapat:

aktiviti kecergasan fizikal

  • Kurangkan keradangan di dalam badan
  • Membaik pulih tahap mood dan tenaga
  • Meningkatkan kualiti tidur
  • Bantu menguruskan tekanan dan kegelisahan

Bolehkah penghidap psoriasis bersenam?

Kulit yang dipenuhi plak, berkeruping, dan mengelupas boleh mencetuskan ketidakselesaan dan menjejaskan keyakinan diri.

Apabila anda berasa kecewa, tentu sukar sekali hendak memotivasikan diri untuk melakukan aktiviti kecergasan fizikal.

Hakikatnya, apa yang mungkin penghidap psoriasis tidak tahu, bersenam sepatutnya menjadi 1 keutamaan! Mengapa?

Selain mengawal berat badan, ia juga dapat mengurangkan flares psoriasis dan membantu rawatan agar berfungsi dengan lebih baik!

Apabila berat badan berjaya diturunkan, masalah berkaitan keradangan dan gejala psoriasis juga dapat dikurangkan, menurut Dr. Jerry Bagel, Pengarah di Psoriasis Treatment Center of Central New Jersey.

Tidak kisahlah sama ada anda memanjat gunung atau melakukan pusingan di sekitar rumah, senaman dapat mengurangkan risiko terhadap masalah kesihatan lain yang berkaitan dengan psoriasis.

Ini termasuklah diabetes, penyakit Crohn, masalah hati, ginjal, dan jantung.

Dalam kata yang mudah, anda perlu menganggap aktiviti kecergasan fizikal sebagai rawatan psoriasis yang sama pentingnya dengan ubat.

Anda ingin mula bersenam? Ayuh teruskan pembacaan untuk ketahui tip-tip senaman yang boleh diamalkan!

Tip-tip bersenam untuk penghidap psoriasis!

aktiviti kecergasan fizikal

Seperti yang anda mungkin sudah tahu, menjaga kelembapan kulit adalah elemen utama dalam menguruskan kondisi ini.

Di samping itu, habit meminum air sebelum, semasa, dan selepas bersenam dapat mengurangkan risiko kehilangan kelembapan (moisture loss) yang berlaku melalui peluh.

Bukan itu saja, anda juga boleh melindungi kawasan kulit yang mengalami iritasi dengan pelincir tebal seperti petroleum jelly.

Majoriti pesakit psoriasis turut mendapati bahawa peluh berpotensi merengsakan kulit mereka. Justeru, pakaian senaman kalian perlulah bertekstur lembut dan longgar untuk elak kegatalan.

Usai bersenam pula, anda mungkin perlu segera mandi untuk menghilangkan peluh.

Ingat! Gunakan air suam atau sejuk, bukan air panas ya!

Kemudian, keringkan dan lembapkan kulit beberapa minit selepas mandi, untuk elak risiko pengeringan yang berlebihan.

Selain mengamalkan tip-tip ini, penghidap psoriasis juga boleh:

#1 Mengubah suai aktiviti kecergasan fizikal

Memiliki penyakit psoriasis boleh menjadikan senaman tertentu lebih sukar untuk dilakukan.

Disebabkan itu, kalian boleh mengubah suai rutin fizikal mengikut kesesuaian dan keupayaan diri.

Jika mempunyai bajet lebih pula, anda boleh mengupah pelatih peribadi, yang akan bantu mencipta rutin senaman yang bersesuaian dengan kondisi dialami.

#2 Berlari di bawah sinaran matahari

Cahaya matahari dapat membaik pulih psoriasis atau psoriatic arthritis, menurut Dr. Bruce Bebo, Pengarah Penyelidikan di National Psoriasis Foundation.

Tapi anda perlu berwasapada kerana pendedahan terhadap selaran matahari berupaya memperburukkan simptom dan menyebabkan kulit meradang.

Oleh itu, jika penghidap kondisi ini ingin bersenam di luar rumah, keseimbangan adalah kuncinya! Apa caranya?

Amalkan sunblock dan kenakan pakaian diperbuat daripada kapas yang menyerap atau memantulkan sinar UV berbahaya matahari.

#3 Gimnasium di rumah?

Jika anda segan hendak memakai seluar pendek atau baju tanpa lengan dek kerana kesan luka psoriasis yang teruk, pakar menyarankan kalian untuk bersenam di rumah sahaja.

Anda boleh membina bilik gim di rumah dengan beberapa peralatan asas dan murah seperti resistance bands dan tikar yoga.

Kemudian, cari video senaman yang digemari dan luangkan masa untuk lakukan aktiviti kecergasan fizikal setiap hari!

#4 Berenang adalah opsyen yang bagus!

Berenang boleh menjadi antara aktiviti kecergasan fizikal yang bagus untuk penghidap masalah kulit seperti psoriasis dan psoriatic arthritis. 

Aktiviti renang atau berjalan di air dapat membina kekuatan otot dan meningkatkan fleksibiliti anda!

Klorin di kolam renang, bagaimanapun, berupaya merengsakan kulit yang terjejas oleh psoriasis.

Oleh itu, pastikan untuk mandi dan melembapkan kulit sebaik sahaja anda keluar dari kolam renang, okey?

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/psoriasis/symptoms-causes/syc-20355840
  2. https://www.health.harvard.edu/diseases-and-conditions/preventing-psoriasis-with-exercise
  3. https://www.psoriasis.org/active-and-mindful-lifestyles/#:~:text=Physical%20activity%2C%20defined%20as%20movement,disease%20and%20type%202%20diabetes.
  4. https://www.aad.org/public/diseases/psoriasis/insider/diet
  5. https://www.papaa.org/learn-about-psoriasis-and-psoriatic-arthritis/further-resources/psoriatic-lifestyle-and-nutrition/

Versi Terbaru

02/12/2021

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Nak Tidur Pun Kena Ada Diari? Jangan Pandang Remeh, Ini Boleh Bantu Masalah Tidur Anda!

Nak Lawan Penyakit Kulit Psoriasis, Mudah Sahaja! Kuatkan Sistem Imun Badan Anda


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 02/12/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan