Kerap mengubah, menggaya, mengering, mewarnakan atau mungkin kerap mandi di kolam renang atau bercuti di pantai adalah antara penyebab yang boleh menjadikan rambut rapuh dan rosak.
Pendedahan kepada matahari, klorin, bahan kimia, air laut, haba yang berlebih adalah faktornya.
Jadi bagaimana untuk menjaganya? Ikuti artikel ini dan moga ia dapat membantu anda mengatasi masalah rambut rapuh dan rosak yang dialami!
Apakah punca rambut rapuh dan rosak?
Pelbagai punca yang boleh menyebabkan rambut anda bermasalah. Antaranya:
- Pendedahan secara berlebihan kepada cahaya matahari
- Kekurangan nutrisi dan kelembapan pada rambut
- Membasuh rambut secara berlebihan
- Terdedah kepada air yang mengandungi klorin
- Penggunaan produk rambut yang tidak bersesuaian
- Penggayaan rambut yang berlebihan
- Perubahan hormon
- Terdedah kepada haba dari alat penggayaan rambut secara berlebihan
- Diet pemakanan tidak seimbang
Bagaimana merawat rambut rapuh dan rosak?
Pelbagai cara boleh digunakan untuk merawat masalah rambut yang dihadapi. Antaranya:
-
Minyak
Menggunakan minyak panas boleh membantu untuk memberikan sinar kepada rambut yang kering.
Minyak ini boleh digunakan untuk urutan pada kulit kepala. Antara minyak yang biasa digunakan adalah minyak zaitun, minyak kelapa, minyak badam, minyak jojoba dan minyak jagung.
Kesemua minyak ini kaya dengan kandungan vitamin E, antioksidan dan membantu untuk menghalang lapisan luar rambut dari kekeringan.
-
Produk
Cari, pilih dan gunakan produk bersesuaian dengan jenis rambut anda. Anda boleh memilih produk rambut yang tidak mengandungi bahan seperti silikon dan alkohol.
ebaiknya pilih produk yang mengandungi bahan seperti shea butter, minyak zaitun, minyak argan atau minyak kelapa.
-
Potong
Jika rambut anda terlalu kering, rapuh, bercabang atau dalam erti kata mudah, bermasalah, anda boleh memilih untuk mendapatkan potongan rambut.
Ini dalam membantu dalam penjagaan rambut anda nanti. Jika rambut anda pendek, anda boleh melakukan potongan pda hujung rambut bercabang yang mungkin menjadi penyumbang kepada masalah rambut kering dan kasar.
-
Pemakanan
Menjaga pemakanan dengan pengambilan diet pemakanan yang sihat dan seimbang, termasuk pengambilan makanan yang mengandungi omega-3 dan antioksidan juga boleh membantu menjadikan rambut lebih sihat dan bersinar.
Berikut adalah senarai makanan yang kaya dengan kompoun bermanfaat yang boleh diambil dalam pemakanan seharian anda:
- Ikan berlemak seperti salmon, sardin, tenggiri dan tuna
- Tiram
- Beri biru
- Tomato
- Walnut
- Brokoli
- Kidney bean
-
Membasuh
Elakkan dari membasuh, mencuci atau menyampu rambut setiap hari.
Walaupun membasuh dapat membuang kotoran dan peluh dari rambut, tetapi dalam masa yang sama ia juga menyingkirkan sebum – minyak semula jadi yang menjadikan rambut anda mudah dijaga dan jika ia dalam kuantiti yang betul, ia menjadikan rambut anda bersinar.
Namun sebum yang berlebihan membuatkan rambut anda tampak berminyak.
Di atas adalah antara cara mudah untuk rambut yang mengalami masalah seperti rapuh dan rosak.
Terdapat pelbagai lagi cara yang boleh digunakan untuk membantu anda mengatasi masalah ini.
Jika masalah rambut rapuh dan rosak anda masih berterusan, anda mungkin perlu mendapatkan bantuan pakar penjagaan rambut.