Bila tengok keadaan kulit, jadi keliru, ini masalah selulit atau tanda regangan? Hmmm, macam mana nak bezakan antara kedua-duanya?
Masalah selulit & tanda regangan
Keadaan kulit melibatkan selulit dan tanda regangan atau lebih dikenali dengan panggilan stretch marks ini menjejaskan individu lelaki mahupun wanita di seluruh dunia.
Kewujudan kedua-duanya akan menyebabkan timbulnya isu berkaitan badan dan nilai diri.
Dikatakan lebih 90% wanita mempunyai selulit dan terdapat 80% wanita dengan tanda regangan.
Walaupun kehadiran masalah berkaitan kulit ini menimbulkan isu keyakinan diri individu, namun secara perubatan, kedua-duanya adalah keadaan kulit yang berbeza.
Eh, betul ke? Tapi kenapa nampak macam lebih kurang sama? Ikuti penjelasan lanjut mengenai masalah selulit dan tanda regangan ini.
Memahami perbezaan masalah selulit & tanda regangan
Selulit berkembang pada lapisan lemak yang ada di antara kulit dan otot.
Di bawah kulit terdapat sebuah lapisan tisu penghubung yang bertanggungjawab memautkan kulit kepada otot di bawahnya.
Dalam kalangan individu lelaki, tisu penghubung disusun dalam bentuk bersilang atau pepenjuru, dalam susunan yang berterusan. Tisu penghubung bagi individu wanita pula dalam bentuk menegak (vertikal dengan kulit).
Jaringan penghubung ini (dipanggil septae) menambat kulit kepada tisu di bawah pada tempat-tempat tertentu.
Ia mewujudkan ‘kamar lemak’ yang menolak pada kulit, sementara jaringan tersebut menarik kulit ke bawah.
Keadaan tersebut menghasilkan bahagian kulit yang kelihatan seperti tidak rata atau berlekuk, selalu terjadi pada bahagian paha atas, punggung, pinggang dan perut.
Perbezaan dalam susunan tisu penghubung (ditambah pula dengan fakta bahawa kulit lelaki biasanya lebih tebal berbanding wanita) menjelaskan mengapa sangat sedikit lelaki mempunyai selulit berbanding wanita.
Masalah selulit boleh terjadi disebabkan:
- Kenaikan berat badan
- Gaya hidup tidak seimbang
- Pengambilan ubatan tertentu
- Tekanan berlebihan
Manakala tanda regangan pula berlaku apabila keadaan kulit cuba menyesuaikan diri dengan perubahan badan. Dalam istilah perubahan, ia disebut striae.
Apabila berlaku perubahan badan secara mendadak, kulit anda mungkin tidak dapat berkembang pantas, sekali gus menyebabkan ia meregang.
Ini menyebabkan kolagen hancur dan mendedahkan saluran darah yang rosak, mengakibatkan munculnya parut lekukan.
Punca stretch marks yang biasa adalah disebabkan kenaikan berat badan, kehamilan dan aktiviti bina badan di mana badan berkembang dengan cepat.
Regangan mungkin berlaku kerana pengeluaran hormon badan tertentu secara berlebihan. Selalu muncul pada bahagian paha, ketiak, perut, payudara, punggung atau belakang badan.
Umumnya, warna tanda regangan bermula dengan merah jambu, merah atau keunguan. Kemudian pudar menjadi putih dan tampak seperti parut.
Jadi anda sudah faham kelainan antara masalah selulit dan parut regangan?
Masalah selulit atau tanda regangan mudah dihilangkan?
Sejujurnya, kedua-dua keadaan kulit ini sukar untuk dihilangkan.
Selalunya untuk menghilangkan selulit, penurunan berat badan bersama penggunaan krim dan rawatan vitamin E mungkin dapat mengurangkan kesannya dan menjadikan kulit lebih sekata.
Terdapat juga penggunaan rawatan laser yang menunjukkan hasil memuaskan. Cuma ia memerlukan kos yang lebih tinggi dan mahal.
Begitu juga dengan rawatan untuk menghilangkan stretch marks. Mengamalkan gaya hidup seimbang adalah cara terbaik merangsang keanjalan semula jadi kulit anda dan mengelakkan kesan regangan.
Penggunaan krim dan minyak dengan vitamin E dan asid lemak boleh membantu tetapi bagi mendapatkan hasil terbaik, sudah tentu anda disarankan untuk melakukan rawatan laser atau pembedahan.
Untuk mendapatkan kepastian dengan lebih lanjut mengenai kesesuaian rawatan untuk diri, anda boleh bertanyakan kepada doktor.
Langkah pencegahan
Keadaan kulit seperti selulit atau parut regangan boleh dicegah dengan mengamalkan beberapa petua berikut:
1. Mengawal berat badan
Elakkan kenaikan berat secara mendadak.
Sekiranya tanda regangan berlaku disebabkan pertambahan berat kerana masalah berkaitan kesihatan dan perubatan, ia mungkin di luar kawalan anda.
Namun, dalam kebanyakan kes, mengekalkan berat badan dan nilai BMI seimbang bukanlah 1 perkara yang sukar untuk dilakukan melalui perubahan diet pemakanan harian.
Diet sihat dan seimbang perlu mengandungi lemak tak tepu, minyak sihat, asid lemak omega-3, vitamin dan mineral yang turut dapat membantu mengekalkan keadaan kulit agar sihat.
2. Penggunaan ubat sapu
Sesetengah krim seperti krim kafein boleh digunakan dalam mengurangkan masalah selulit.
Ia membantu mengatasi kulit kering sehingga mengurangkan penampakan selulit pada kulit.
Di samping itu, pengambilan air yang mencukupi dapat membantu menyingkirkan toksin daripada badan.
3. Aktiviti fizikal
Cara paling mudah untuk mencegah masalah selulit atau parut regangan adalah dengan melakukan senaman secara berkala.
Ia dapat membantu memastikan berat anda sentiasa terkawal serta seimbang.
Penjagaan diri
Cara terbaik untuk mengelakkan masalah selulit atau tanda regangan adalah dengan melakukan pencegahan.
Memastikan kulit tetap terhidrat dapat membantu memelihara keanjalan kulit.
Walau apa pun, anda perlu mengetahui bahawa anda tidak sendirian dalam berdepan keadaan kulit seperti itu.