Implan silikon telah digunakan untuk tujuan kosmetik sejak tahun 1950 lagi. Berbeza dengan implan lain, implant silikon tidak akan melarutresap ke dalam badan. Sebab itulah, ramai yang memilih untuk memakai implan silikon bagi tujuan kosmetik.
Ia juga banyak digunakan dalam pelbagai prosedur perubatan seperti pembuatan prosthesis dan penggantian injap jantung.
Silikon merupakan sejenis polimer sintetik yang datang dalam bentuk cecair, gel dan getah.
Bahan ini amat sesuai digunakan untuk tujuan kosmetik kerana ia fleksibel dan tahan lasak. Silikon juga boleh didapati dengan kepejalan yang berbeza.
Di manakah implan silikon selalunya digunakan?
Implan jenis silikon selalunya digunakan untuk menyerlahkan kawasan tisu lembut dan bukannya di kawasan yang mempunyai struktur bertulang.
Implan ini akan dimasukkan di dalam badan dan badan pula akan menerimanya sebagai bahan asing. Lama-kelamaan, tisu parut akan tumbuh di sekeliling implant tersebut.
Selalunya, implan ini digunakan untuk menyerlahkan kawasan pipi, dagu, hidung dan rahang.
Silikon juga menjadi pilihan wanita yang ingin membesarkan payudara kerana ia lebih selamat berbanding implan salin. Selain itu, implan jenis ini juga nampak dan rasa lebih semula jadi.
Untuk pengetahuan anda, implan jenis silikon bersifat kekal. Apabila kita semakin tua dan kulit semakin menipis, implan ini akan mula nampak janggal pada kawasan kulit.
Malah, pengguna implan ini juga boleh terkena jangkitan walaupun selepas bertahun-tahun memakai implan.
Walau bagaimanapun, implan jenis silikon lebih mudah untuk dikeluarkan berbanding implan lain kerana ia dikelilingi dengan lapisan silikon yang tidak melekat pada kulit.
Apakah risiko pemakaian implan silikon?
Setiap prosedur mempunyai risikonya yang tersendiri, termasuklah pemakaian implan jenis silikon.
Walaupun begitu, kesan sampingannya tidak serius seperti muncul sebarang ketidakselesaan berlaku sejurus selepas pemakaian. Malah, rasa sakitnya juga akan hilang dalam masa seminggu dua.
Ada beberapa komplikasi yang mungkin berlaku selepas pemakaian implan jenis silikon:
- Jangkitan pada kawasan implan.
- Sebahagian implan terkeluar dari kulit.
- Implan bergerak atau terlipat.
- Kawasan sekitar implan (tempat yang dibedah) menjadi keras.
- Seroma (cecair berkumpul di bawah kulit).
- Luka yang sukar untuk sembuh.
- Implan pecah atau bocor.
Komplikasi di atas boleh dibetulkan dengan pembedahan tambahan. Jika tidak, pemakai mungkin perlu membuang atau menggantikan implan yang ada dengan implan baharu.
Tambah lagi, pemakai implan payudara mempunyai risiko kecil untuk menghidap sejenis kanser yang dikenali sebagai breast implant-associated anaplastic large cell lymphoma (BIA-ALCL).
Implan jenis silikon dan poliuretana didapati membawa risiko yang terbesar.
Walaupun kanser ini berlaku pada kawasan tisu payudara, namun ia bukanlah kanser payudara. Untuk merawat kanser ini, pesakit mungkin perlukan pembedahan, terapi radiasi atau kemoterapi.
Apa yang akan berlaku jika silikon pecah?
Jika implan jenis silikon pecah, pemakainya mungkin tidak akan sedar serta-merta atau tidak akan sedar langsung kerana silikon yang bocor akan terperangkap di kawasan tisu fibrus.
Kondisi ini turut dikenali sebagai kebocoran senyap.
Silikon yang bocor tidak akan menyebabkan masalah kesihatan seperti kanser payudara, masalah reproduktif atau arthritis.
Walau bagaimanapun, implan pecah boleh membuatkan kawasan pembedahan menjadi sakit.
Jika implan ini dipasang pada payudara, implan pecah mungkin akan menyebabkan payudara berubah saiz atau menjadi lebih besar daripada biasa.
Jika ini yang berlaku, doktor akan mencadangkan pembedahan untuk membuang implan tersebut. Implan yang baharu juga boleh dipasang pada masa yang sama.
Ingin memakai implan? Fikir dulu risikonya
Jika anda ingin memakai implan, ada beberapa risiko yang perlu anda fikirkan. Selain dapat menukar rupa bentuk badan, ingatlah:
1. Implan silikon, terutamanya implan payudara tidak akan kekal selamanya
Implan ini boleh bocor dan ramai yang perlu menukarnya dalam masa 8 hingga 10 tahun.
Malah, bentuk payudara juga akan berubah disebabkan beberapa faktor seperti kenaikan berat badan dan penurunan berat badan.
Sebarang isu pada implan mungkin memerlukan pembedahan tambahan.
2. Mamogram akan menjadi lebih sukar
Jika anda memakai implan payudara, mamogram akan menjadi lebih sukar. Oleh sebab itu, anda perlu berbincang dengan ahli radiologi yang bertugas sebelum melakukan mamogram.
3. Implan mungkin akan mengganggu penyusuan
Ada wanita yang boleh terus menyusukan anak selepas pemakaian implan. Namun, ada wanita yang tidak boleh.
4. Anda mungkin perlukan pembedahan tambahan
Kadangkala, pembedahan plastik memerlukan lebih daripada satu prosedur.
Jika anda ingin membuang implan tersebut, anda juga mungkin memerlukan pembedahan tambahan untuk membetulkan struktur muka atau payudara.
Kesimpulan
Memakai implan mempunyai risikonya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, implan ini disahkan selamat oleh FDA dan boleh digunakan untuk tujuan kosmetik.
Ramai yang mengakui pemakaian implan silikon nampak dan rasa semula jadi. Walau bagaimanapun, proses pemasangan dan pembuangan perlu dilakukan dengan cara pembedahan.
Namun, pilihan berada di tangan anda. Jika anda ingin melakukan pembedahan kosmetik, pastikan anda bertindak mendapatkan informasi yang secukupnya sebelum meneruskan pembedahan.
Selain itu, pilih juga klinik atau hospital yang mempunyai doktor yang bertauliah untuk menjalankan prosedur pembedahan plastik.