Sedang mencari cara menghilangkan gelembung air di kaki kerana ia menyebabkan rasa sakit dan ketidakselesaan? Teruskan membaca artikel ini kerana kami ada caranya untuk membantu anda.
Ketahui juga punca biji air di kaki.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.
Gelembung air di kaki
Gelembung air atau melepuh adalah poket cecair dalam kulit yang terbentuk dan dipenuhi serum, iaitu sebahagian cecair darah yang mengandungi bahan pelindung seperti antibodi.
Terdapat juga kes, di mana saluran darah kecil mengalir ke dalam gelembung menjadikan cecair berwarna merah dan bukannya jernih.
Kadangkala, cecair dalam lepuh juga boleh dijangkiti dan menyebabkan ia berwarna keruh dan kemudiannya mungkin mengandungi nanah.
Kebanyakan pembentukan gelembung air di kaki mahupun bahagian tubuh lain ini adalah strategi pertahanan diri yang bertujuan melindungi kulit di bawah daripada kecederaan selanjutnya, sekali gus menggalakkan penyembuhan pantas.
Kesakitan yang dirasai juga mempunyai kesan perlindungan. Bagaimana?
Lepuh biasanya terjadi apabila berlaku tekanan dan geseran dengan kerap. Jadi apabila timbul kesakitan kerana kulit melepuh, kita mungkin akan kurangkan aktiviti yang boleh mengakibatkan ia jadi semakin menyakitkan.
Gelembung air juga berkembang selepas kulit terbakar, mengalami jangkitan kulat atau bakteria, gigitan serangan atau trauma.
Bergantung kepada lokasinya, kulit yang melepuh boleh mengganggu tugasan harian. Sebagai contoh, lepuh pada kaki akan menyukarkan anda berjalan, bersenam atau berdiri untuk jangka masa yang lama.
Punca gelembung air di kaki atau punca biji air di kaki
Apa punca biji air di kaki atau gelembung?
Sekiranya anda mempunyai lepuh pada kaki, geseran mungkin menjadi puncanya. Berjalan atau berdiri untuk tempoh beberapa jam sehari memberi tekanan pada tumit, tapak dan jari kaki.
Dalam kebanyakan keadaan, ia terjadi kerana pemakaian kasut tidak menyelesakan – sama ada terlalu ketat atau longgar yang mengakibatkan pergeseran pada kulit.
Kelembapan atau peluh yang berlebihan juga boleh mencetuskan gelembung kulit ini. Ia perkara biasa semasa cuaca panas dalam kalangan atlet, terutamanya pelari. Lepuh kecil terbentuk apabila peluh menyumbat pori-pori di kaki.
Lepuh juga boleh berlaku selepas selaran matahari. Penyebab lain yang mengakibatkan gelembung air di kaki adalah:
- Frostbite
- Tindak balas alahan
- Pendedahan kimia – kosmetik atau detergen
- Jangkitan kulat
- Cacar air
- Jangkitan bakteria
- Herpes
- Ekzema dyshidrotik
Cara menghilangkan gelembung air di kaki
Apa cara hilangkan biji air di kaki?
Anda mungkin tergoda untuk memicit atau memecahkan gelembung air tersebut, namun selepas itu lepuh harus dibalut kerana boleh berlaku jangkitan jika dibiarkan terbuka.
Sekiranya anda membiarkannya, ia boleh mengeras dan menghilang dengan sendiri. Tetapi pilihan ini mungkin mengakibatkan ketidakselesaan – bergantung kepada saiznya.
Walaupun anda tidak sepatutnya memecahkan gelembung air ini, tetapi mengeluarkan cecair dengan selamat boleh memberikan keselesaan.
Berikut adalah cara hilangkan biji air di kaki atau gelembung untuk mengeluarkan cecair dalam lepuh di rumah:
- Basuh tangan anda dengan air suam dan sabun antibakteria.
- Menggunakan putik kapas, jarum yang disteril dan alkohol.
- Bersihkan lepuh dengan antiseptik.
- Ambil jarum dan buat tusukan kecil pada lepuh. Biarkan cecair mengalir sepenuhnya.
- Sapukan salap atau krim untuk kaki melecet.
- Tutup lepuh dengan pembalut atau kain kasa.
- Bersihkan dan sapukan semula salap antibakteria setiap hari. Pastikan lepuh ditutup sehingga ia sembuh.
Rawatan tambahan untuk gelembung air pada kaki termasuklah:
- Menekap pek ais yang dibalut tuala tebal pada lepuh dengan lembut tanpa tekanan
- Meninggikan bahagian kaki yang mempunyai lepuh untuk mengurangkan aliran darah ke kawasan tersebut dan mengehadkan keradangan
- Memastikan kawasan itu kering sebaik mungkin untuk membantu penyembuhan
- Menanggalkan kasut atau sarung kaki yang menyebabkan lepuh
- Membersihkan kawasan tersebut serta mengurangkan keradangan dan kesakitan dengan menggunakan ubat yang boleh dibeli di farmasi seperti hidrogen peroksida
Selepas beberapa hari lepuh terbuka, anda disaran menggunakan gunting disteril untuk mengeluarkan kulit mati yang tertinggal. Elakkan daripada menariknya terlalu kuat sehingga mengoyakkan kulit sihat.
Pemeriksaan doktor
Sekiranya lepuh berubah warna, semakin meradang, bertambah teruk atau tidak sembuh selepas beberapa hari mencuba cara menghilangkan gelembung air di kaki, lakukan pemeriksaan doktor.
Lepuh yang berwarna kuning, hijau atau ungu biasanya telah dijangkiti dan memerlukan rawatan perubatan seperti krim untuk kaki melecet. Lepuh yang berwarna tidak normal juga mungkin merupakan simptom masalah kesihatan lebih serius seperti herpes.
Doktor mungkin akan mengeluarkan cecair lepuh yang dijangkiti dan akan mengambil sampel untuk dilakukan ujian.
Selalunya antibiotik topikal atau oral akan diberikan untuk merawat jangkitan sedia ada atau mencegah jangkitan selanjutnya daripada berlaku.
Langkah mencegah gelembung air
Sekiranya lepuh terjadi akibat geseran, pilihlah kasut yang betul. Jika kaki bergesel pada bahagian tertentu kasut, tambahkan insole untuk memberikan lapik ekstra dan mengurangkan geseran.
Bagi atlet, pastikan kaki anda sentiasa kering. Gunakan bedak kaki untuk mengurangkan peluh atau memakai sarung kaki yang menyerap kelembapan.