backup og meta

Deodoran Punca Kulit Ketiak Gelap? Ini 5 Mitos Mengenai Ketiak Hitam!

Deodoran Punca Kulit Ketiak Gelap? Ini 5 Mitos Mengenai Ketiak Hitam!

Pernahkah anda berfikir 2 kali sebelum mengangkat tangan apabila memakai baju tanpa lengan, di khalayak ramai? Segan dengan warna ketiak? Jika ya, pasti anda tertanya-tanya apa cara memutihkan ketiak hitam, kan?

Sebelum itu, ketahui dahulu mitos di sebalik ketiak gelap! Adakah deodoran menjadi punca? Benarkah pemakaian losen menyebabkan ketiak hitam?

Berminat untuk tahu dengan lebih lanjut mengenai cara memutihkan ketiak hitam? Mari ikuti artikel ini!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.

Mitos berkaitan ketiak dan cara memutihkan ketiak hitam

Mitos #1: Deodoran menyebabkan ketiak gelap

Mari kita mulakan dengan mitos yang acap kali didengari sebagai punca ketiak hitam, iaitu penggunaan deodoran.

Ramai orang mendakwa kononnya penggunaan deodoran boleh menjadikan kulit ketiak mereka lebih gelap.

Tetapi realitinya, ketiak gelap boleh disebabkan oleh kaedah pencukuran, geseran dan kondisi kulit yang disebut sebagai acanthosis nigricans.

Dalam beberapa kes, warna bawah lengan yang gelap juga boleh terjadi dek kerana faktor genetik.

Juga, mereka yang mempunyai kulit yang gelap, lebih cenderung mengalami hiperpigmentasi di kawasan ketiak.

Justeru pakailah deodoran tanpa rasa waswas, cari deodoran dengan agen pelembab dan tidak mengandungi alkohol atau paraben untuk menjaga keadaan kulit ketiak anda.

Usah terlalu risaukan warna ketiak hingga abaikan kebersihan diri!

Nanti tak pasal-pasal ‘dipulau’ orang di sekeliling dek kerana tidak tahan dengan bau badan anda, okey?

Mitos #2: Pemakaian losen menyebabkan ketiak gelap

Terdapat pelbagai kemungkinan yang boleh menyumbang kepada ketiak yang gelap.

Pun begitu, pemakaian losen bukan salah satu daripadanya!

Ia mungkin mengakibatkan perubahan tekstur ketiak akibat liang pori yang tersumbat, tetapi tidak menjadikannya gelap.

Ketiak adalah kawasan yang tertutup dan lembap, justeru pemilihan losen badan yang salah kadangkala boleh menyebabkan bintik-bintik kecil.

Itulah sebabnya penting untuk memilih produk yang sesuai atau diformulasi khas untuk kawasan sensitif ini.

Mitos #3: Mencukur ketiak

cara memutihkan ketiak hitam

Berbeza dengan kaedah waxing yang mencabut bulu ketiak dari akar, mencukur hanya akan memotong bulu di permukaan kulit. Oleh itu, folikel rambut masih kekal di bawahnya.

Untuk menjawab sama ada tabiat mencukur boleh menyebabkan ketiak gelap, jawapannya adalah, ya!

Mencukur dengan kerap boleh memicu kerengsaan kulit akibat kesan lecet yang akhirnya menyebabkan kulit ketiak kelihatan lebih gelap.

Apa cara memutihkan ketiak hitam yang boleh dilakukan?

Elakkan penggunaan pisau cukur, dan cuba alternatif penyingkiran bulu yang lain.

Antara opsyen yang boleh dicuba merangkumi waxing atau laser untuk kesan yang lebih kekal.

Mitos #4: Selalu pakai baju ketat 

Mitos ini juga ternyata fakta, bukan auta!

Sekiranya anda sering memakai pakaian ketat, lebih-lebih lagi di sekitar kawasan ketiak, wujudnya kemungkinan untuk berlaku pergeseran di bahagian tersebut tanpa anda sedari.

Hal ini membawa kepada kesan perubahan warna dan kegelapan pada kulit bawah lengan.

Justeru, penyelesaian terbaik adalah untuk memilih pakaian yang lebih longgar, terutama di kawasan ketiak.

Mitos #5: Cara memutihkan ketiak hitam dengan skrub

Pengumpulan sel kulit mati ternyata mampu memberikan penampilan  kulit yang lebih gelap.

Sel-sel kulit mati yang terperangkap di dalam pori-pori dan lipatan kulit anda berupaya menyumbang kepada ketiak gelap.

Mencari cara memutihkan ketiak hitam? Amalkan skrub kawasan ketiak dengan lembut menggunakan produk yang diformulasi khas sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.

Namun, hati-hati ya! Jangan digosok terlalu kuat atau kerap pula kerana ia berisiko merengsakan dan merosakkan kulit anda.

Perlukah anda bimbang dan mencari cara memutihkan ketiak hitam?

Memiliki ketiak gelap biasanya bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan, namun ia boleh mengundang rasa rendah diri.

Kawasan ketiak yang gelap sering kali disebabkan oleh kondisi kulit yang disebut sebagai acanthosis nigricans (AN).

Ia menyebabkan kulit menebal dan menggelap, terutama pada lipatan-lipatan kulit di seluruh badan.

Antara kawasan badan yang berisiko membentuk AN, merangkumi:

  • Ketiak
  • Belakang leher
  • Pangkal paha
  • Siku
  • Lutut

Bukan sekadar gelap, kulit anda juga mungkin alami kegatalan atau berbau busuk!

Apa penyebab kondisi ini, dan siapa yang berisiko?

cara memutihkan ketiak hitam

Untuk makluman, warna kulit kita ditentukan oleh sel pigmen yang disebut melanosit.

Apabila sel-sel ini terhasil secara berlebihan, maka terbentuk warna kulit yang lebih gelap di sesetengah bahagian badan.

Jika mahu diikutkan, sesiapa sahaja boleh menghidap AN, tetapi beberapa golongan mempunyai risiko yang lebih besar.

Mereka yang secara semula jadi mempunyai kulit gelap lebih cenderung untuk mengalami warna ketiak yang gelap berbanding orang berkulit cerah.

Selain itu, keturunan turut menyumbang! AN kadangkala boleh berlaku dalam kalangan keluarga, ia boleh diwarisi melalui gen yang rosak.

Anda juga berkemungkinan besar mempunyai tompok-tompok gelap pada kulit jika mempunyai ibu bapa atau saudara-mara dengan kondisi ini.

Selain faktor keturunan, anda mungkin juga cenderung mengalami AN dek kerana:

Obesiti

Berat badan tambahan menjadikan badan anda mengalami rintangan terhadap kesan insulin.

Hormon ini membantu mengatur gula darah. Tahap insulin yang tinggi dalam darah berupaya menyebabkan peningkatan pengeluaran sel pigmen kulit.

Lebih daripada separuh orang dewasa yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti mengalami masalah ketiak dan lipatan kulit yang gelap.

Diabetes jenis 2

Obesiti juga merupakan faktor risiko diabetes jenis 2, penyakit gula darah tinggi.

Mereka yang menghidap diabetes jenis 2 mempunyai risiko membentuk AN.

Sindrom hormon

Beberapa kondisi yang mengganggu tahap insulin boleh menyebabkan AN.

Ini termasuklah:

  • Sindrom ovari polikistik
  • Sindrom Cushing
  • Acromegaly, gangguan disebabkan oleh hormon pertumbuhan berlebihan (GH) setelah plat pertumbuhan ditutup
  • Hipotiroidisme, kelenjar tiroid yang tidak aktif

Ubat-ubatan

Ubat-ubatan tertentu juga berupaya meningkatkan tahap insulin, yang boleh menyebabkan kegelapan ketiak.

Ini merangkumi:

  • Insulin
  • Kortikosteroid, seperti prednison
  • HGH (Human Growth Hormone
  • Pil pencegah kehamilan
  • Niacin

Kesimpulannya, jika anda kurang yakin dan mencari cara memutihkan ketiak hitam yang efektif, sebaik-baiknya bertemulah dengan pakar untuk hasil yang lebih berkesan.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Acanthosis nigricans. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/acanthosis-nigricans/symptoms-causes/syc-20368983#:~:text Accessed Nov 29, 2021.
  2. Acanthosis nigricans. https://dermnetnz.org/topics/acanthosis-nigricans/. Accessed Nov 29, 2021.
  3. Acanthosis nigricans. https://www.nhs.uk/conditions/acanthosis-nigricans/. Accessed Nov 29, 2021.
  4. An approach to acanthosis nigricans. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4144206/. Accessed Nov 29, 2021.
  5. Underarm Harm? What’s So Bad About Antiperspirants? https://www.womensvoices.org/2016/07/15/underarm-harm-whats-so-bad-about-antiperspirants/. Accessed Nov 29, 2021.

Versi Terbaru

29/11/2023

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Selain Kulit Wajah, Jaga Juga 10 Bahagian Tubuh Ini (Termasuk Celah Ketiak & Ari-ari)!

Hati-Hati, Pakar Mengatakan Ketiak Hitam Merupakan Petanda Penyakit Berbahaya!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 29/11/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan