backup og meta

Ada Ulser Di Kemaluan Yang Tidak Sakit?, AWAS Ia Mungkin Tanda 5 Sifilis Ini!

Ada Ulser Di Kemaluan Yang Tidak Sakit?, AWAS Ia Mungkin Tanda 5 Sifilis Ini!

Antara simptom utama yang menunjuk kepada penyakit sifilis adalah kewujudan ulser kemaluan yang tidak sakit.

Manusia adalah bekalan semula jadi bakteria ini kerana ianya tidak mampu untuk hidup dengan lama di luar badan manusia.

Ini disebabkan oleh ketidakupayaan bakteria ini untuk menghasilkan makronutriennya sendiri, menyebabkan ia perlu bergantung kepada hos.

Jenis Sifilis Dan Simptomnya

ulser kemaluan

Jenis Primer

Sifilis primer adalah jenis sifilis yang kerap ditujukan apabila seseorang itu berbicara tentang sifilis sebagai jangkitan kelamin, mahupun sifilis secara umum.

Hal ini kerana simptomnya membabitkan alat kelamin secara terus dan juga hubungan seks.

Jika anda perasan adanya kewujudan ulser pada kemaluan anda atau pernah perasan kewujudan ulser tersebut satu ketika dahulu, anda mungkin menyangkakan ianya tidak berbahaya kerana ianya tidak menyakitkan dan selepas beberapa minggu, ia hilang dengan sendirinya.

Pemerhatian ini mungkin menyebabkan anda merasakan punca kepada masalah ulser tersebut telah hilang apabila ulser tersebut sembuh.

Itu adalah tanggapan dan reaksi yang biasa namun tanggapan itu sebenarnya sangat berbahaya kerana perincian ulser yang disebut tadi adalah ciri-ciri penyakit Sifilis Primer.

Biarpun anda tidak mendapatkan rawatan pada tempoh kewujudan ulser ini, ulser kemaluan tersebut tetap akan hilang bila-bila masa sahaja bermula daripada minggu ke-2 hingga minggu ke-6 daripada tempoh mula ianya berlaku.

Pembentukan chancre ini menandakan titik masuk bakteria ke dalam tubuh badan penghidap dan ianya mungkin tidak mudah untuk seseorang itu perasan kerana ianya tidak menyakitkan dan bergantung kepada jenis seks yang anda lakukan, ulser di dalam bahagian dalam anus (dubur) atau bahagian dalaman faraj sangat sukar untuk dilihat.

Chancre juga boleh berlaku di bahagian mulut sekiranya anda melakukan seks oral.

Apa yang lebih membahayakan ialah chancre ini sangat mudah berjangkit dan kegagalan untuk menyedari kewujudannya atau tidak mengendahkannya boleh menyebabkan anda berisiko untuk menjangkiti pasangan anda dan/atau dijangkiti oleh mereka dengan penyakit kelamin lain kerana kerosakan dinding kulit akibat ulser tadi.

Atas sebab itu, kemungkinan seseorang itu menghidap jangkitan HIV serentak dengan sifilis adalah lebih tinggi apabila terdapat lebih daripada satu ulser di bahagian kemaluan mereka.

Hanya kerana ulser itu sudah hilang tidak bermakna ianya sudah diuruskan oleh sistem imun badan, sebaliknya, hilangnya ulser tersebut bermaksud bakteria itu telahpun memasuki bahagian badan yang lebih dalam, bergerak dari satu tahap ke tahap seterusnya yang lebih teruk.

Dalam kalangan wanita, pembentukan ulser ini lazimnya (44%) berlaku di bahagian pangkal rahim (serviks).

Dalam kalangan lelaki heteroseksual pula, kewujudan ulser ini hampir boleh diteka kerana terdapat 99% kemungkinan ianya akan berada di sekitar zakar mereka.

Untuk lelaki homoseksual, ulser sifilis ini lazimnya berlaku sekitar, dan juga dalam bahagian dubur (34%).

ulser kemaluan

Selain kewujudan ulser, antara simptom sifilis primer yang turut kerap berlaku adalah pembengkakan noda limfa di sekitar bahagian kangkang (80%) yang berlaku kira-kira 7 hingga 10 hari setelah berlakunya pembentukan chancre.

Jenis Sekunder

Seperti yang dibincangkan sebelum ini, apabila ianya tidak dirawat, sifilis akan bergerak ke tahap seterusnya (apabila ulser kemaluan telah hilang) iaitu ke tahap sifilis sekunder.

Sifilis sekunder berlaku kira-kira 4 hingga 10 minggu selepas jangkitan primer. Sifilis sekunder ini mampu untuk menzahirkan pelbagai simptom dan tanda yang lazimnya membabitkan bahagian kulit, membran mukosa dan juga limfa noda.

Seseorang yang menghidap sifilis sekunder mungkin akan mempunyai ruam simetri (sama rata taburannya pada bahagian kiri dan kanan badan) berwarna merah-merah jambu yang tidak gatal, pada bahagian badan dan tangan termasuk tapak tangan dan kaki.

Ruam-ruam ini boleh wujud dalam pelbagai bentuk; rata, luas, keputihan, mirip ketuat, dan bercecair.

Walaupun tidak seperti ulser dalam sifilis primer, kesemua ruam-ruam ini tetap mengandungi bakteria Treponema pallidum yang sama seperti dalam ulser (sifilis primer) dan sangat mudah untuk berjangkit kepada orang lain.

Simptom-simtpom lain termasuklah:

  1. Demam
  2. Sakit tekak
  3. Letih dan lesu
  4. Susut berat badan
  5. Rambut gugur
  6. Pening kepala

Manifestasi lain yang jarang berlaku untuk sifilis sekunder adalah keradangan hati, penyakit buah pinggang, keradangan sendi, keradangan saraf optik dan juga keradangan uvea.

Simptom-simptom akut sifilis sekunder ini lazimnya akan hilang dan susut selepas 3 hingga 6 minggu.

Sekitar 25% penghidap mungkin akan mendapat semula simptom sifilis sekunder selepas ianya hilang.

Ulser kemaluan – Sifilis Pendam

Ulser kemaluan seperti Sifilis pendam disebut sebagai keadaan di mana seseorang itu tidak mempunyai simptom jangkitan sifilis tetapi melalui ujian serologi, terdapat bukti masih ada lagi jangkitan dalam badan mereka. Ianya boleh dikira sebagai awal (kurang setahun daripada tempoh sifilis sekunder) atau lewat (lebih setahun daripada sifilis sekunder).

Tahap sifilis pendam ini dikatakan sebagai tahap di mana seseorang itu tidak mudah berjangkit.

Jenis Tertier

Sifilis tertier adalah fasa terakhir dalam jangkitan sifilis jika ianya dibiarkan tidak dirawat.

Tanpa menerima sebarang rawatan ulser kemaluan, dianggarkan satu per tiga akan progres kepada sifilis tertier.

Ianya boleh berlaku sekitar 3 hingga 15 tahun selepas seseorang itu mula dijangkiti sifilis ulser kemaluan buat kali pertama.

Sifilis tertier boleh dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu sifilis gummatous (15%), neurosifilis (6.5%) dan juga sifilis kardiovaskular (10%).

Seperti ulser kemaluan jenis sifilis pendam, mereka yang menghidap sifilis tertier adalah tidak berjangkit.

ulser kemaluan

Sifilis gummatous boleh berlaku bila-bila sahaja bermula daripada 1 hingga 46 tahun selepas terdedah kepada jangkitan sifilis namun puratanya adalah sekitar 15 tahun.

Bentuk sifilis ini diperincikan dengan pembentukan gumma yang kronik (sejenis ketumbuhan keradangan yang lembut dan tumbuh dalam pelbagai saiz).

Ia lazimnya terbentuk di bahagian kulit, tulang dan hati namun ianya boleh berlaku di mana-mana sahaja.

Neurosifilis adalah keadaan di mana jangkitan sifilis ini telah membabitkan sistem saraf pusat.

Ianya boleh berlaku melalui beberapa keadaan seperti meningitis sifilis, kelemahan keseluruhan badan ataupun tabes dorsalis.

Terdapat juga satu tanda pada mata yang disebut sebagai Argyll-Robertson pupils, iaitu keadaan di mana pupil kedua-dua belah mata penghidap tidak mengecil apabila terdedah kepada cahaya.

Sifilis kardiovaskular lazimnya akan mengakibatkan komplikasi seperti keradangan aorta (syphyllic aortitis) yang seterusnya berupaya untuk menjadi aortic aneurysm.

Sifilis Kongenital

Seperti yang dibincangkan dalam bab epidemiologi, sifilis kongenital adalah antara punca kematian dan morbiditi dalam kalangan kanak-kanak yang utama di seluruh dunia.

Sifilis ulser kemaluan jenis ini berlaku apabila bakteria Treponema pallidum berpindah kepada kandungan semasa tempoh mengandung atau semasa proses kelahiran.

Semasa tempoh mengandung, jangkitan sifilis juga mampu menyebabkan berlakunya keguguran.

Sungguhpun begitu, dua per tiga daripada keseluruhan bayi yang dijangkiti tidak menzahirkan sebarang simptom.

Bagi yang mempunyai simptom, ia lazimnya berlaku dalam tahun-tahun pertama kehidupan.

Simptom tersebut adalah hati dan limpa menjadi besar (70%), ruam (70%), demam (40%) dan keradangan paru-paru (20%). Apabila tidak dirawat, kanak-kanak tersebut mungkin akan mempunyai keabnormalan struktur hidung mereka.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Sexually transmitted infections. https://www.iamat.org/country/malaysia/risk/sexually-transmitted-infections. Accessed 17 June 2022.
  2. STD fact. https://www.cdc.gov/std/syphilis/stdfact-syphilis-detailed.htm. Accessed 17 June 2022.
  3. Syphilis. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/syphilis/diagnosis-treatment/drc-20351762. Accessed 17 Jun 2022.
  4. Syphilis. https://www.std-gov.org/stds/syphilis.htm. Accessed 17 Jun 2022.
  5. Syphilis. https://www.who.int/health-topics/syphilis. Accessed 17 Jun 2022.

Versi Terbaru

20/06/2023

Ditulis oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Usah Bersedih Cik Abang Jika Zakar Kurang Keras, Buat 9 Ujian Ini Dahulu, Masalah Boleh Selesai!

Tengah 'Syok' Bersama Pasangan, Tiba-tiba Zakar Lembik? Lelaki, Ini Mungkin Tanda Mati Pucuk!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Disemak pada 20/06/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan