Sebahagian besar wanita mungkin pernah mendengar tentang penyakit HPV, namun masih ramai yang tidak begitu faham apa itu HPV dan memandang ringan risikonya.
Human papillomavirus atau HPV ialah sejenis virus yang sangat mudah berjangkit dan merupakan antara punca penyakit kelamin paling biasa di dunia.
Ia mempunyai lebih daripada 100 jenis strain, dan sebahagiannya boleh menyebabkan kutil kelamin HPV.
Manakala strain berisiko tinggi pula boleh mencetuskan perubahan sel yang membawa kepada kanser serviks1,2.
HPV tersebar terutamanya melalui sentuhan kulit ke kulit ketika aktiviti seksual, termasuk hubungan tanpa penetrasi, serta boleh dijangkiti walaupun seseorang tidak menunjukkan sebarang simptom1,2.
Disebabkan penyebarannya yang senyap, ramai individu tidak sedar mereka telah dijangkiti, menjadikannya penting untuk memahami risiko dan langkah pencegahan sejak awal.
Walaupun HPV adalah salah satu punca penyakit kelamin paling biasa di dunia, stigma dan salah faham menyebabkan ramai tidak mendapatkan vaksin atau melakukan ujian saringan.
Hakikatnya, walaupun kebanyakan contoh penyakit kelamin tidak boleh dicegah sepenuhnya, namun HPV boleh dicegah dengan sangat efektif melalui vaksin dan pemeriksaan berkala.
Artikel ini membongkar mitos, risiko sebenar serta langkah-langkah praktikal untuk melindungi diri daripada virus yang sering dipandang ringan oleh ramai orang ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Seksual, anda boleh klik di sini.
Mitos vs fakta yang ramai salah faham tentang penyakit HPV
Sebelum kita memahami risiko sebenar penyakit HPV, adalah penting untuk menerangkan beberapa mitos umum yang sering menyebabkan wanita terlepas peluang untuk melindungi diri mereka.
Antara mitos terkenal berkenaan penyakit HPV ialah3,4,5:
Mitos 1: “HPV hanya jangkiti mereka yang tidak menjaga kebersihan.”
Sebenarnya, HPV disebarkan melalui hubungan seksual termasuk sentuhan kulit ke kulit.
Ia bukan soal kebersihan, tetapi jangkitan melalui aktiviti seksual yang normal.
Mitos 2: “Kalau saya sihat, saya tidak akan dijangkiti.”
Fakta: HPV begitu mudah berjangkit sehingga 80% individu akan dijangkiti sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.
Ramai pula tidak sedar kerana jangkitan HPV kebiasaannya tidak mempunyai simptom awal.
Mitos 3: “HPV cuma sebabkan kutil kelamin HPV.”
Jenis HPV tertentu memang menyebabkan kutil kelamin HPV, tetapi beberapa jenis HPV lain boleh menjadi penyebab kanser serviks, dubur, tekak, faraj dan zakar.
Ini menjadikan HPV jauh lebih serius daripada sekadar jangkitan ringan.
Adakah HPV hanya berlaku kepada wanita?
Untuk pengetahuan semua, jangkitan HPV boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira lelaki atau wanita.
Lelaki juga boleh dijangkiti dan menjadi pembawa virus ini, malah berisiko mendapat kanser seperti kanser zakar, dubur, dan tekak.
Disebabkan lelaki selalunya tidak menunjukkan simptom yang jelas, mereka boleh menyebarkan virus ini kepada pasangan tanpa disedari.
Oleh itu, kesedaran mengenai kepentingan saringan serta mendapatkan nasihat perubatan adalah penting bagi lelaki, bukan hanya wanita.
Ini menjadikan aspek pencegahan dan kesihatan seksual sebagai tanggungjawab bersama yang perlu dipandang serius oleh kedua-dua pasangan.
Walau bagaimanapun, wanita tetap berada pada risiko lebih tinggi untuk mengalami komplikasi serius seperti kanser serviks.
Bagaimana HPV menjejaskan kedua-dua wanita dan lelaki?

Penyakit HPV bukan hanya tentang ketuat atau jangkitan ringan kerana ia adalah jangkitan yang boleh membawa kepada komplikasi jangka panjang.
Ramai wanita tidak menyedari bahawa HPV berisiko tinggi lebih berbahaya daripada kebanyakan contoh penyakit kelamin lain kerana kecenderungannya berubah menjadi kanser jika tidak dipantau.
Berikut adalah risiko sebenar HPV kepada wanita:
#1. HPV adalah punca utama kanser serviks6
Lebih 95% kes kanser serviks dikaitkan dengan HPV berisiko tinggi7.
Ini berlaku apabila jangkitan kronik menyebabkan perubahan sel serviks dari masa ke masa.
#2. HPV boleh menyebabkan banyak jenis kanser lain8
Antaranya:
Jangkitan bermula secara senyap, dan menyumbang kepada beban kesihatan global yang besar. Jangkitan HPV juga boleh menyebabkan munculnya kutil kelamin pada wanita.
Memandangkan kebanyakan jangkitan ini berlaku secara senyap tanpa simptom, ujian saringan berkala melalui Pap smear atau ujian HPV adalah sangat penting bagi mengesan perubahan sel pada peringkat awal.
Ujian ini disarankan bagi wanita yang aktif secara seksual, terutamanya yang berumur antara 20 hingga 65 tahun, untuk dilakukan sekurang-kurangnya setiap tiga tahun bagi memastikan perlindungan optimum daripada risiko kanser berkaitan HPV.
Bagaimana pula HPV boleh jejaskan orang lelaki?
Seperti yang dijelaskan sebelum ini, jangkitan HPV biasanya tidak menunjukkan sebarang simptom jelas 9.
Bagi lelaki, jangkitan ini selalunya bersifat tersembunyi.
Walaupun sesetengah strain HPV boleh menyebabkan kutil kelamin yang muncul sebagai benjolan kecil di kawasan kemaluan, strain berisiko tinggi selalunya tidak menunjukkan sebarang tanda fizikal sehinggalah ia berkembang menjadi masalah serius seperti kanser zakar, dubur, atau tekak.
Ketiadaan simptom awal ini bukan sahaja membahayakan kesihatan lelaki tersebut, malah menjadikan mereka pembawa virus yang boleh memindahkan risiko kanser kepada pasangan mereka tanpa disedari.
Melindungi diri dan pasangan: HPV sebagai tanggungjawab bersama
Kesedaran bersama pasangan penting untuk mengurangkan stigma dan meningkatkan langkah pencegahan secara kolektif.
Hal ini kerana HPV boleh tersebar dengan mudah antara pasangan, malah wujud risiko jangkitan semula yang boleh membentuk satu ‘kitaran’ dalam sesebuah hubungan.
Memandangkan jangkitan HPV boleh berlaku berulang kali, seseorang individu yang telah sembuh masih berisiko dijangkiti semula jika pasangan mereka masih membawa virus tersebut.
Oleh itu, melindungi diri anda bukan sekadar untuk kesihatan peribadi, tetapi ia adalah langkah proaktif untuk melindungi pasangan anda juga.
Kesedaran ini memperkukuh konsep tanggungjawab bersama dalam menjaga kesihatan seksual dalam sesebuah perhubungan.
Langkah perlindungan jangka panjang yang paling efektif tetap melalui pengambilan vaksin bagi kedua-dua pihak.
Bagaimana untuk kurangkan risiko dijangkiti penyakit HPV?
Walaupun HPV sangat mudah merebak, terdapat banyak cara untuk mengurangkan risikonya:
#1. Lakukan ujian saringan secara berkala
Pap smear atau ujian HPV sangat penting untuk wanita berumur 30 tahun ke atas10.
Ini membolehkan perubahan sel dapat dikesan lebih awal sebelum bertukar menjadi kanser.

#2. Amalkan hubungan seksual yang selamat
Kondom membantu mengurangkan risiko tapi tidak memberi perlindungan 100% kerana HPV boleh merebak melalui sentuhan kulit ke kulit.
Kenapa vaksin HPV sangat penting untuk diambil?

Vaksin HPV adalah salah satu vaksin paling berkesan dalam dunia perubatan moden.
Ia bukan sahaja mencegah penyakit HPV, tetapi juga mengurangkan risiko kanser berkaitan HPV secara drastik11,12,13.
Vaksin HPV menghalang virus daripada menjangkiti sel tubuh, sekali gus mengurangkan risiko perubahan sel yang boleh membawa kepada kanser.
Siapa yang patut menerima vaksin?
- Remaja perempuan dan lelaki seawal usia 9-13 tahun
- Wanita dan lelaki sehingga umur 45 tahun
- Wanita dewasa 27-35 tahun yang belum pernah divaksin atau tidak lengkap dos
Kenapa wanita 27-35 tahun masih perlu vaksin?
Kerana jangkitan HPV boleh berlaku berulang kali, dan vaksin masih boleh melindungi individu daripada strain virus berisiko tinggi yang mereka belum terdedah.
Stigma adalah halangan terbesar
Ramai menganggap vaksin HPV hanya untuk mereka yang “berisiko tinggi”, tetapi tanggapan ini salah.
HPV tidak mengenal status, umur atau gaya hidup.
Pengambilan vaksin adalah sebagai langkah pencegahan awal dan perlindungan, bukan hanya soal moral.
Kesimpulan
HPV mungkin kelihatan seperti jangkitan yang “biasa”, tetapi realitinya ia boleh membawa kepada komplikasi serius jika dibiarkan tanpa pencegahan.
Ramai wanita di luar sana masih kurang sedar tentang risiko sebenar penyakit HPV, walaupun ia sebenarnya antara punca penyakit kelamin yang paling mudah dicegah.
Dengan memahami fakta, mengenal pasti risiko, serta mengambil langkah perlindungan seperti saringan berkala dan vaksin, setiap wanita boleh melindungi diri daripada jangkitan dan komplikasi kanser berkaitan HPV.
Pengetahuan dan tindakan awal adalah kunci untuk menjauhkan diri daripada virus senyap yang sering diabaikan ini.
[embed-health-tool-ovulation]













