backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Wanita Usia 30-an, Buat Ujian Kanser Serviks Untuk Saringan Dan Pengesanan Awal

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 6 hari lalu

    Wanita Usia 30-an, Buat Ujian Kanser Serviks Untuk Saringan Dan Pengesanan Awal

    Buat golongan wanita, tahukah anda, kini anda hanya perlu lakukan ujian HPV sebagai ujian kanser serviks yang menggantikan pap smear? Apakah yang dimaksudkan dengan ujian HPV?

    Maksud sebenar HPV

    Nama sebenar bagi HPV ialah human papilloma virus. Ia adalah sejenis virus yang biasa wujud pada tubuh badan manusia.

    Terdapat lebih kurang 100 jenis virus HPV yang boleh menjejaskan beberapa bahagian tubuh anda.

    Lebih kurang 30 jenis daripadanya pula adalah jenis virus yang sering menjejaskan bahagian kemaluan seperti skrotum, zakar, faraj dan juga serviks. 

    Apakah maksud kanser serviks pula?

    Kanser serviks adalah keadaan kanser yang berlaku pada bahagian dinding serviks.

    Serviks adalah saluran sempit yang membentuk hujung bawah rahim. Sel kanser pada bahagian serviks ini akan berkembang dengan pantas dan menyebabkan tumor.

    Kanser serviks boleh berlaku pada semua kumpulan wanita, namun ia lebih berisiko kepada wanita yang berumur 40 tahun ke atas.

    Kanser serviks merupakan kanser ketiga paling kerap berlaku dalam kalangan wanita. Ia juga adalah kanser ketujuh paling tinggi berlaku di Malaysia. 

    Apakah kaitan antara virus HPV dan juga kanser serviks?

    ujian kanser serviks

    Tahukah anda, sesetengah strain virus HPV boleh menyebabkan perubahan pada sel yang berada di serviks. Keadaan ini disebut sebagai displasia serviks.

    Sekiranya keadaan ini tidak dirawat, ia akan berkembang menjadi kanser serviks.

    Boleh dikatakan bahawa virus HPV adalah punca dan penyebab utama kepada pembentukan kanser serviks.

    Menurut kajian, 95% daripada kes kanser serviks yang berlaku berpunca daripada virus HPV.

    Virus HPV ini biasanya mengambil masa yang agak lama iaitu sekitar 10 tahun untuk menukarkan sel normal menjadi sel kanser.

    Namun, tidak semua wanita yang mempunyai virus ini akan mengalami kanser serviks. 

    Ujian HPV sebagai ujian kanser serviks

    Ujian HPV digunakan untuk mengesan kewujudan virus HPV pada serviks.

    Ini kerana, virus HPV berisiko menyebabkan ketuat kelamin, sel serviks yang tidak normal serta kanser serviks.

    Doktor biasanya akan menyarankan penggunaan ujian HPV sebagai ujian kanser serviks jika:

    Buat masa ini, ujian HPV hanya tersedia untuk golongan wanita sahaja. Tiada ujian HPV yang boleh digunakan untuk mengesan virus HPV dalam kalangan lelaki.

    Namun, tidak bermakna orang lelaki tidak dijangkiti virus ini. Orang lelaki masih lagi boleh diijangkiti virus ini dan menjangkiti orang lain. 

    Mengapa perlu guna ujian HPV sebagai ujian kanser serviks?

    Ujian ini adalah ujian saringan bagi mengesan potensi seseorang wanita mendapat kanser serviks. Ia tidak mengesan sekiranya anda mempunyai kanser atau tidak.

    Ia hanya akan mengesan kewujudan virus HPV pada serviks anda. Ini kerana, sesetengah jenis virus HPV boleh menjadi punca kepada pembentukan kanser serviks kelak.

    Sekiranya anda menjalani ujian HPV dan ia adalah positif, maka anda berisiko tinggi untuk mendapat kanser serviks.

    Pemeriksaan awal seperti ini dapat memberikan anda peluang lebih awal untuk mencegah kanser serviks daripada berlaku.

    Bagi wanita yang berumur bawah daripada umur 30 tahun, ujian ini tidak begitu disarankan.

    Selain itu, ujian kanser serviks yang menggunakan ujian HPV ini adalah kaedah terbaharu untuk mengesan risiko kanser serviks.

    Ia memberikan lebih banyak kebaikan kepada golongan wanita kerana ujian ini boleh dibuat sendiri oleh mereka.

    Selain itu, ujian ini tidaklah menyakitkan berbanding pap smear dan ia mudah dan pantas untuk dilakukan.

    Ujian ini juga telah terbukti sangat berkesan dalam mengesan virus HPV penyebab kanser.

    Ujian HPV juga hanya perlu dilakukan lima tahun sekali berbanding ujian pap smear yang perlu dilakukan setiap tahun. 

    Ujian HPV sebagai ujian kanser serviks: Bagaimana pula dengan hasilnya?

    ujian kanser serviks

    Sekiranya anda melakukan ujian kanser serviks ini, anda akan mendapat dua keputusan, sama ada ia akan menunjukkan positif attau negatif. 

    Jika ujian kanser serviks ini menunjukkan HPV positif:

    Ini bermakna anda mempunyai sejenis virus HPV yang berisiko tinggi menyebabkan kanser serviks.

    Ia tidak menunjukkan bahawa anda sudah mempunyai kanser serviks, namun ia bertindak sebagai amaran awal mengenai risiko yang akan anda dapat.

    Dengan itu, langkah berjaga-jaga boleh diambil lebih awal untuk memastikan virus ini tidak boleh berkembang dan menyebabkan kanser. 

    Jika ujian kanser serviks menunjukkan HPV negatif:

    Jika keputusan menunjukkan negatif, ia bermakna anda tidak mempunyai strain virus hpv yang boleh menyebabkan kanser serviks.

    Kesimpulan

    Bagi wanita yang sudah melepasi umur 30 tahun, anda amat disarankan untuk menjalani ujian HPV.

    Ini bagi menilai risiko anda untuk mendapat kanser serviks.

    Jangan bimbang kerana prosedur ujian HPV adalah lebih mudah, pantas dan tidak menyakitkan berbanding pap smear

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 6 hari lalu

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan