backup og meta

Microplastics. Pencemaran Udara yang Diabaikan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 12/05/2022

    Microplastics. Pencemaran Udara yang Diabaikan

    Microplastics adalah plastik dalam bentuk yang sangat kecil sehingga tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ada yang mengatakan ukurannya kurang daripada 5 mm. Ada juga mendakwa tidak melebihi 1 mm, bermaksud lebih kecil daripada kutu rambut (Pulex irritans) atau plankton Sagitta setosa.

    Apabila partikel kecil ini terkumpul, ia mampu memberikan ancaman terhadap kesihatan badan manusia.

    Lebih daripada 300 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun. Separuh daripadanya, menjadi sampah kurang daripada setahun. Daripada jumlah yang dihasilkan, hanya 9% dikitar semula. Baki 91% dibuang di udara, tanah dan air.

    Sebahagian daripadanya masuk ke dalam paru-paru melalui udara yang dihirup dan mengalir di dalam darah kerana badan manusia tidak mampu menguraikannya. Bayi yang merangkak di atas lantai adalah paling berisiko. Begitu juga dengan kanak-kanak di mana saluran pernafasan mereka sedang berkembang.

    Tahap microplastics lebih tinggi dalam udara di dalam rumah

    Microplastics wujud dalam udara di dalam dan di luar rumah. Walau bagaimanapun, menurut kajian pada tahun 2018 yang dibentangkan oleh École Nationales des Ponts et Chaussées, tahap microsplastics lebih tinggi di dalam rumah.

    Ia datang daripada fragmentasi melalui geseran atau kebakaran objek-objek plastik di dalam rumah. Ini termasuk permainan kanak-kanak, perabot rumah, beg plastik, kosmetik, ubat gigi dan sabun scrub. Mandi menggunakan sabun scrub sahaja mungkin membebaskan 100,000 microplastics ke dalam air kumbahan dan udara.

    Walau bagaimanapun, kebanyakan microplastics di dalam rumah datang daripada serat plastik yang dibebaskan oleh pakaian sintetik dan fabrik yang digunakan untuk pembuatan perabot. Bahan sintetik seperti nylon, acrylic dan polyester merangkumi 60% daripada penghasilan fabrik di peringkat dunia.

    Apabila membasuh fabrik ini, microplastik akan dibebaskan dan terkumpul di dalam air kumbahan kerana tiada sistem penapisan yang berkesan. Membasuh jaket fleece menyebabkan pembebasan 250,000 microplastics ke dalam air kumbahan, menurut satu kajian pada 2016 oleh Ben School of Environmental Science & Management di University of California Santa Barbara.

    Malangnya, kebanyakan fasiliti di pusat rawatan air tidak mempunyai penapis untuk membuang microplastics meskipun di dalam air yang dikatakan telah ‘dirawat’.

    Risiko kesihatan

    Kesan kesihatan yang menyeluruh daripada menghirup udara yang mengandungi microplastics masih belum sepenuhnya difahami. Namun, beberapa kajian menunjukkan bahawa risikonya terhadap kesihatan adalah tinggi.

    Apabila partikel kecil ini disedut, ia akan masuk ke dalam saluran pernafasan dan melukakan paru-paru. Partikel yang lebih kecil mungkin masuk ke dalam darah sehingga menjejaskan jantung dan otak, merangsang kanser serta menjejaskan sistem imun dan saraf manusia.

    Ia kekal di dalam badan kerana ia tidak boleh dihapuskan oleh badan. Microplastics di dalam udara juga mungkin membawa bahan-bahan toksik lain yang ditemui di dalam udara.

    Kanak-kanak adalah golongan yang paling berisiko

    Kanak-kanak adalah lebih aktif dan bernafas lebih laju berbanding orang dewasa, menjadikan jumlah udara yang diambil lebih banyak jika dibandingkan dengan berat badan mereka. Ini membuatkan mereka lebih berisiko. Tambahan pula, sistem pernafasan mereka masih sedang berkembang dan belum matang sepenuhnya.

    Bayi pula banyak bermain di atas lantai, di mana banyak microplastics ditemui di dalam habuk. Lebih-lebih lagi, mereka bermain dan mungkin memasukkan permainan plastik di dalam mulut mereka. Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak boleh menelan sehingga 3,200 partikel plastik setahun.

    Lebih banyak kajian diperlukan untuk memahami dengan lebih baik, kesan pencemaran udara oleh microplastics ke atas kesihatan manusia. Dalam masa yang sama, masyarakat perlu sentiasa sedar akan pentingnya mengitar semula serta melupuskan plastik dengan cara yang betul.

    *Artikel ini disusun daripada dan diterbitkan pertama kali di  Forum Ekonomi Dunia – ekonomi dan polisi awam mengenai kesihatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 12/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan