Pernahkah anda dengar tentang penyakit RSV atau jangkitan RSV? Walaupun anda mungkin jarang dengar tentangnya, ia adalah jangkitan virus yang paling kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak! Jom kenalinya dengan lebih lanjut.
Ketahui pelbagai maklumat tentang tips-tips Keibubapaan di sini.
Apa Itu Penyakit RSV?
Penyakit RSV adalah salah satu jangkitan pernafasan yang paling kerap berlaku, kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak di bawah tiga tahun.
RSV adalah singkatan bagi Respiratory Syncytial Virus. Ia adalah jangkitan pernafasan yang sangat mudah merebak. Ia boleh disebarkan melalui sentuhan pada objek atau permukaan yang dicemari virus.
Ia boleh juga disebarkan daripada satu individu kepada individu yang lain atau sentuhan pada cecair selepas batuk atau bersin.
Gejala jangkitan RSV sangat mirip dengan batuk selesema biasa. Kanak-kanak yang dijangkiti boleh mendapat gejala:
- Demam dengan suhu tidak terlalu tinggi (<38 darjah selsius)
- Hidung berair atau tersumbat
- Batuk tanpa kahak
- Sakit tekak
Bagi gejala penyakit RSV yang lebih teruk pula, gejala yang boleh berlaku termasuklah:
- Demam dengan suhu yang tinggi (>39.4 darjah celcius)
- Pesakit kelihatan sangat letih
- Tidak mahu makan dan minum
- Ada gejala pernafasan yang tidak normal seperti nafas laju atau tidak teratur
- Kulit dan bibir biru atau sangat pucat
- Nafas berbunyi
Siapa Berisiko Terhadap Jangkitan Penyakit RSV?
RSV secara umumnya menyebabkan simptom mirip influenza, dan semua bayi berisiko. Ia merupakan penyebab utama kemasukan ke hospital dalam kalangan semua bayi.
Namun, selain kurangnya pengetahuan tentang penyakit RSV ini, ramai dalam kalangan kita juga tidak tahu bahawa jangkitan ini lebih berbahaya kepada bayi yang dilahirkan pramatang!
Berikut adalah kumpulan bayi yang berisiko mendapat jangkitan yang serius akibat RSV:
- Bayi yang dilahirkan kurang dari 37 minggu kandungan
- Mempunyai penyakit bronchopulmonary dysplasia (BPD)
- Menghidap penyakit jantung kongenital atau kecacatan jantung kongenital
- Masalah kecacatan neuromuskular
- Kurang daya tahan imun
- Bayi dengan sindrom down
Kesan Penyakit RSV Kepada Pesakit dan Keluarga & Apa Bantuan Yang Ada?
Menyedari bahawa penyakit ini masih kurang dikenali dalam kalangan masyarakat negara kita walaupun kadar kekerapan kes ini adalah tinggi, satu perbincangan media bertajuk ‘Mengambil Pemahaman Lebih Dekat tentang RSV’ telah diadakan untuk meningkatkan kesedaran tentangnya.
Ia adalah anjuran Pertubuhan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa Dan Bayi Pramatang Malaysia (BPM), dengan kerjasama Galen Centre for Health and Social Policy.
Dalam perbincangan tersebut, Profesor Madya Dr. Adli Ali, Pensyarah Kanan di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ketua Imunologi Klinikal di Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM berkata,
“RSV adalah penyakit yang telah wujud sejak lama, tetapi jumlah kes masih tinggi. Beban sebenar penyakit ini tidak diketahui dari segi impak ekonomi ke atas sistem penjagaan kesihatan yang merangkumi kos penerimaan, penggunaan sokongan pernafasan, serta impak ekonomi dan sosial ke atas keluarga pesakit. Oleh itu, pencegahan adalah sangat penting dalam menangani perkembangan penyakit ini di negara ini.”
Profesor Madya Dr. Choo Yao Mun, Pakar Neonatologi dan Pakar Kanak-Kanak Perunding di Pusat Perubatan Universiti Malaya pula menyatakan,
“Terdapat batasan dalam panduan dan kekangan bajet ketika berurusan dengan RSV. Beberapa hospital mungkin berbeza dalam pendekatan mereka disebabkan oleh perbezaan dalam sumber yang terhad.”
“Namun, adalah penting agar panduan kita mengikuti cadangan global untuk memastikan semua bayi risiko tinggi mempunyai akses kepada pilihan pencegahan dan seterusnya mengurangkan keparahan penyakit ini,” tambahnya.
Juga berbicara dalam perbincangan tersebut adalah Azrul Abdul Khalib, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre for Health and Social Policy yang menjelaskan,
“Dengan panduan yang berbeza dalam pencegahan, kita perlu memberi keutamaan dan bertindak dengan lebih segera terhadap RSV yang boleh mempunyai impak sepanjang hayat. Ibu bapa, penjaga dan masyarakat secara umumnya perlu memahami keparahan penyakit ini, bagaimana ia boleh mempengaruhi masa depan negara kita, dan apa yang boleh dilakukan untuk menangani mereka dengan segera.”
Apa Kata Penjaga Kanak-kanak Yang Pernah Menghidap RSV?
Norazleena Yaha, Pengasas BPM (Persatuan Bayi Pramatang Malaysia) yang juga merupakan ibu kepada bayi pramatang berkongsi bahawa terdapat maklumat yang terhad mengenai penyakit seperti RSV di Malaysia.
“Dengan kadar kes penyakit RSV yang tinggi di Malaysia, realitinya hanya sedikit atau tiada maklumat yang tersedia. Ramai ibu bapa yang saya jumpai melalui BPM seringkali terkejut apabila anak mereka disahkan menghidap penyakit ini dan bergantung kepada kami untuk sokongan dan panduan. Saya percaya adalah penting bagi ibu bapa dan penjaga untuk mendapat sokongan yang betul apabila berurusan dengan penyakit apa pun, lebih-lebih lagi RSV.”
Menurut salah seorang ibu, Nur Suhana yang berkongsi pengalaman tentang anak beliau,
“Ini adalah usaha yang sukar apabila kami mengetahui bahawa anak kami dijangkiti RSV pada awal tahun ini. Kami berjuang untuk memahami penyakit ini dan ini menjengkelkan kerana tiada maklumat yang tersedia mengenai pencegahan dan pembiayaan untuk bayi risiko tinggi. Kami hanya mengetahuinya melalui BPM, yang membantu kami menghantar kepada saluran yang betul.”
Nursyahirah Izzatul yang juga ibu kepada salah seorang penghidap penyakit RSV berkata,
“Anak perempuan kami, pada awalnya disahkan menghidap masalah pernafasan dan kemudian dijangkiti RSV. Dalam menguruskan keadaannya, kami berjuang untuk membuat keputusan tentang mendapatkan rawatan pencegahan, baik dari segi kewangan dan emosi. Disebabkan keadaannya, salah satu daripada kami (ibu bapa) terpaksa berhenti kerja untuk menjaga dia di rumah.Oleh itu, saya menyeru ibu bapa untuk memantau bayi mereka dengan teliti, lebih-lebih lagi jika mereka berisiko terkena penyakit seperti ini, dan mencari pilihan pencegahan.”
RSV Tiada Ubat Tapi Boleh Dicegah
Tidak ada ubat khusus untuk merawat jangkitan penyakit RSV. Walau bagaimanapun, pilihan pencegahan tersedia dan boleh membantu mengurangkan kematian dan menyelamatkan nyawa kanak-kanak.
Pihak ibu bapa dalam perbincangan tersebut turut berkongsi tip penjagaan anak-anak pramatang memandangkan mereka mudah terkena jangkitan.
Ini termasuklah memastikan kebersihan tangan sebelum mengendalikan bayi. Ia bukan sahaja perlu dilakukan oleh ibu bapa, malah ahli keluarga yang lain juga seperti abang atau kakak.
Selain itu, tabiat penjagaan kebersihan juga perlu diterapkan dalam diri kanak-kanak sejak kecik agar mereka boleh melindungi diri apabila perlu berdikari seperti di sekolah kelak.
Profesor Adli juga turut menambah tentang kepentingan pengambilan vaksin bagi jangkitan pernafasan yang lain seperti COVID-19 dan influenza bagi kanak-kanak yang berisiko ini.
Hal ini adalah kerana, sebarang jangkitan pernafasan boleh melemahkan struktur paru-paru dan menyebabkan kanak-kanak ini mudah dijangkiti oleh jangkitan lain kelak.
Sebagai penutup hasil perbincangan tersebut, para pakar dan ibu bapa amat berharap agar kesedaran tentang kewujudan penyakit ini boleh disebarkan dengan lebih meluas kepada masyarakat agar perlindungan dan pencegahan bagi mereka terutamanya kanak-kanak yang berisiko tinggi boleh diberikan.
[embed-health-tool-baby-poop-tool]