backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Jangan Ingat Perokok Saja Yang Kena Masalah Pernafasan COPD, Yang Tak Merokok Juga Berisiko!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 11/10/2023

    Jangan Ingat Perokok Saja Yang Kena Masalah Pernafasan COPD, Yang Tak Merokok Juga Berisiko!

    “Saya tak merokok, tapi saya ada masalah pernafasan kronik.” Itulah keluhan yang sering diungkapkan oleh mereka yang didiagnosis dengan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD). Ini merupakan contoh kes kesan asap rokok kepada perokok pasif.

    Sememangnya kita tahu tabiat merokok merupakan faktor risiko kepada pelbagai jenis masalah pernafasan.

    Antara yang sering didiagnosis dalam kalangan perokok selain daripada kanser peparu adalah masalah COPD.

    COPD adalah satu ungkapan umum yang menerangkan keadaan kesihatan di mana terdapat proses keradangan kekal pada struktur bronkus (saluran pernafasan ke peparu).

    Ia boleh menyebabkan kerosakan pada kantung udara (alveoli) yang boleh mengakibatkan masalah sukar bernafas.

    Namun, apa yang mungkin anda tidak tahu adalah COPD bukanlah satu keadaan kesihatan yang khusus untuk perokok.

    Mereka yang tidak merokok (perokok pasif) juga boleh didiagnosis dengan masalah kesihatan ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Pernafasan, anda boleh klik di sini.

    Kesan asap rokok kepada perokok pasif: tingkatkan risiko masalah pernafasan COPD

    kesan asap rokok kepada perokok pasif

    Terdapat beberapa faktor risiko COPD atau kesan asap rokok kepada perokok pasif:

    1. Terdedah kepada asap rokok: Rokok sememangnya racun yang mampu membunuh manusia secara perlahan. Namun, ia bukan sahaja mempengaruhi tahap kesihatan perokok. Ia juga boleh menyebabkan masalah kesihatan pada mereka yang terhidu asap rokok. Justeru, ada kesan asap rokok kepada perokok pasif (golongan yang menghidu asap rokok). 
    2. Pencemaran udara: Bukan semua orang tahu bahawa pencemaran udara boleh menyebabkan masalah pernafasan seperti COPD. Walaupun keadaan ini agak jarang berlaku, namun bagi mereka yang terdedah kepada udara kotor dalam jangka masa panjang, individu tersebut boleh mengalami masalah kesihatan tersebut.
    3. Masalah genetik: Walaupun COPD sering dianggap sebagai satu masalah kesihatan yang berpunca daripada faktor persekitaran, tapi faktor genetik juga boleh memainkan peranan. Kajian menunjukkan kira-kira 5 peratus pesakit COPD mempunyai masalah genetik yang menyebabkan badan mereka tidak menghasilkan protein alpha-1-antitrypsin yang cukup. Oleh sebab protein tersebut merupakan komponen penting yang melindungi peparu, penghasilannya pada kuantiti sedikit boleh menyebabkan organ tersebut rosak sehingga berlakunya COPD.
    4. Usia: Individu berusia 40 tahun dan ke atas berisiko untuk didiagnosis dengan masalah COPD.
    5. Asma: Kajian pada tahun 2015 oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) menunjukkan mereka yang mempunyai masalah asma berisiko untuk didiagnosis dengan COPD.
    6. Faktor lain seperti tabiat merokok semasa hamil, berat lahir rendah, terdedah kepada produk tembakau dan masalah jangkitan semasa kanak-kanak.

    Kesan asap rokok kepada perokok pasif: Apakah gejala yang bakal dialami oleh bukan perokok dengan masalah COPD?

    kesan asap rokok kepada perokok pasif

    Gejala bagi masalah COPD sama sahaja tidak kiralah anda merokok ataupun perokok pasif.

    Walau bagaimanapun, kajian di Denmark pada tahun 2013 menunjukkan mereka yang tidak merokok kebiasaannya menunjukkan simptom yang lebih ringan berbanding mereka yang merokok.

    Antara simptom yang boleh dialami oleh mereka yang tidak merokok adalah:

    1. Terlalu banyak kahak.
    2. Sukar bernafas walaupun hanya melakukan aktiviti ringan.
    3. Bunyi pernafasan kuat.
    4. Sakit dada.
    5. Batuk kronik.
    6. Kelesuan.
    7. Jangkitan sistem pernafasan.

    Kebiasaannya, diagnosis COPD dibuat apabila individu berisiko mula mengadu masalah susah bernafas.

    Walau bagaimanapun, mereka tidak semestinya menunjukkan simptom lain pada peringkat awal memandangkan gejala tersebut biasanya timbul apabila kerosakan peparu sudah semakin teruk.

    Anda mungkin berminat:

    Diagnosis dan cara hindar COPD 

    kesan asap rokok kepada perokok pasif

    Tiada ujian makmal yang spesifik untuk mendiagnosis masalah COPD.

    Kebiasaannya, doktor akan membuat pemeriksaan secara sistematik melalui pengambilan sejarah pesakit, pemeriksaan fizikal, ujian fungsi peparu dan menggunakan alat imbasan seperti X-ray dan mesin imbas CT.

    Terdapat juga satu alat utama yang digunakan bagi memeriksa fungsi peparu dengan cara mengukur aliran keluar udara.

    Alat tersebut dikenali sebagai spirometer. 

    Meskipun begitu, terdapat doktor yang menggunakan maklumat perihal sejarah merokok dan pemeriksaan simptom badan bagi mendiagnosis masalah COPD.

    Situasi ini boleh menyebabkan masalah terlebih diagnosis dalam kalangan perokok dan kurang diagnosis dalam kalangan bukan perokok.

    Walaupun cara yang paling berkesan untuk hindar COPD tertumpu kepada tabiat merokok, namun ada juga punca lain yang lebih sukar untuk dihindari.

    Sebagai contoh, jika anda tinggal di bandar, anda terdedah kepada pencemaran udara yang turut boleh merosakkan integriti peparu.

    Begitu juga dengan mereka yang bekerja menguruskan bahan kimia. Asap daripadanya turut boleh meningkatkan risiko COPD dalam kalangan pesakit.

    Jika anda seorang perokok, sedarlah bahawa asap rokok yang anda hembus boleh membunuh orang di sekeliling. Ini merupakan antara kesan asap rokok kepada perokok pasif.

    Konklusi

    Bukan sahaja perokok boleh mendapat COPD, mereka yang tidak merokok juga boleh didiagnosis dengan masalah kesihatan ini. Ini merupakan antara kesan asap rokok kepada perokok pasif. 

    Seperti yang anda sedia maklum, masalah pernafasan yang berpunca daripada COPD bukan sahaja boleh disebabkan oleh asap rokok, malah pencemaran udara, pekerjaan yang melibatkan penggunaan bahan kimia, masalah genetik dan usia.

    Jika anda mempunyai gejala COPD seperti yang dinyatakan di atas, rujuk fasiliti kesihatan terdekat untuk nasihat perubatan oleh doktor perubatan bertauliah.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 11/10/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan