Ada 6 Jenis Obesiti Yang Berbeza! Kalau Nak Mudah Rawat Masalah Ini, Kena Tahu Setiap Jenis

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Diterbitkan pada 21/09/2020 . 4 minit bacaan
Share now

Adakah anda mengalami masalah kegemukan atau obesiti dan sukar untuk turun berat badan? Jika ya, mungkin anda tergolong dalam 6 kumpulan yang disenaraikan di bawah. 

Apa itu obesiti (kegemukan) dan berat badan yang berlebihan?

Obesiti dan berat badan berlebihan merujuk kepada keadaan seseorang yang mempunyai banyak lebihan lemak badan hingga membahayakan kesihatan.

Menurut World Health Organization (WHO), obesiti dalam kalangan penduduk dunia telah meningkat 3 kali ganda sejak 1975. Di Malaysia, 1 daripada 2 orang dewasa mengalami masalah berat badan berlebihan.

Obesiti merupakan satu penyakit yang boleh dielakkan. Perubahan dari segi diet, senaman dan tingkah laku boleh membantu untuk menurunkan berat badan.

Penurunan berat badan, walaupun sedikit, mempunyai kesan yang positif terhadap kesihatan tubuh badan.

Obesiti dan berat badan yang berlebihan mempunyai perbezaan dari segi BMI. Untuk orang dewasa, kadar BMI yang telah ditetapkan ialah:

  1. Kadar berat badan berlebihan – BMI lebih besar ataupun sama dengan 25
  2. Obesiti – BMI lebih besar ataupun sama dengan 30

Punca utama obesiti dan berat badan yang berlebihan ialah gaya pemakanan yang tidak sihat.

Ada 6 jenis obesiti yang berlainan

masalah kegemukan

Tahukah anda, para pengkaji telah mengelaskan obesiti kepada 6 kumpulan yang berbeza.

Menurut mereka, rawatan untuk obesiti lebih berkesan jika dilakukan mengikut kumpulan ini. Tambah lagi, rawatan bersasar lebih berkesan daripada rawatan biasa kerana ia dapat memfokuskan rawatan mengikut keperluan pesakit.

Laporan tersebut telah mengkategorikan obesiti kepada 6 kumpulan iaitu:

  1. Wanita muda yang sihat – Wanita obes yang tergolong dalam kumpulan ini tidak mempunyai masalah kesihatan yang teruk.
  2. Lelaki yang kerap minum minuman beralkohol – Lelaki yang tergolong dalam kumpulan ini juga jarang mempunyai masalah kesihatan. Namun, mereka mengambil minuman beralkohol lebih daripada kadar yang normal.
  3. Individu yang tidak gembira dan sering resah – Kumpulan ini didominasi oleh golongan wanita yang mempunyai masalah mental dan kesihatan.
  4. Orang tua yang sihat – Orang tua yang sihat tetapi mempunyai kadar pengambilan alkohol yang tinggi dan mempunyai masalah tekanan darah.
  5. Orang tua yang sakit tetapi gembira – Orang tua yang mempunyai masalah kesihatan yang kronik seperti osteoarthritis, tetapi mempunyai kesihatan mental yang baik.
  6. Individu yang berada dalam kesihatan yang paling teruk – Selalunya, individu yang tergolong dalam kumpulan ini mempunyai masalah kewangan yang teruk dan menderita penyakit kronik di samping mengalami masalah kegemukan.

Penting untuk pakar mengenali perbezaan antara pesakit obesiti. Perbezaan ini merupakan kunci untuk pakar mencari rawatan yang bersesuaian.

Sebagai contoh, pesakit yang mempunyai masalah alkohol perlu merawat ketagihan yang dialami terlebih dahulu sebelum merawat obesiti.

Disebabkan dua faktor ini berkait rapat, pakar percaya rawatan yang diberikan untuk merawat ketagihan alkohol pada masa yang sama dapat membantu pesakit untuk menurunkan berat badan.

Walau bagaimanapun, kajian ini merupakan teori semata-mata. Dapatan kajian ini boleh digunakan untuk kajian yang lebih lanjut, namun ia tidak boleh digunakan untuk mengenal pasti punca obesiti.

Cara mencegah obesiti

masalah kegemukan

Jika anda mempunyai risiko obesiti ataupun sedang berada dalam lingkungan berat badan yang berlebihan, anda perlu lakukan sesuatu untuk menurunkan berat badan anda dalam kadar yang segera.

Antara langkah yang boleh anda ambil ialah:

1. Bersenam dengan kerap

Individu yang mengalami masalah kegemukan memerlukan senaman yang mempunyai intensiti sederhana selama 150 hingga 300 minit seminggu untuk mengelakkan peningkatan berat badan.

Sebagai contoh, anda boleh lakukan senaman seperti berjalan pantas dan juga berenang.

2. Makan dengan sihat

Elakkan mengambil terlalu banyak minuman beralkohol dan berlemak. Pilih makanan yang rendah kalori dan kaya dengan nutrien seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin penuh.

3. Elakkan makanan yang boleh membuatkan anda mengunyah tidak berhenti!

Jika anda suka makan keropok ataupun gula-gula, elakkan terus daripada membeli makanan tersebut supaya anda tidak akan makan secara keterlaluan.

Pastikan anda tidak akan terperangkap dalam situasi yang membuatkan anda makan tidak berhenti!

4. Pantau berat badan anda

Individu yang menimbang berat badan sekurang-kurangnya seminggu sekali lebih berjaya untuk kekal ramping dan sihat.

Aktiviti menimbang berat badan dapat memberikan anda info sama ada pelan diet anda berkesan ataupun tidak.

Pasti anda akan rasa lebih bersemangat jika ada penurunan dalam berat badan anda! Jika tidak, mungkin anda perlu tukar sedikit diet ataupun senaman anda.

5. Jangan sekejap buat, sekejap tidak!

Konsisten itu kunci kepada perubahan! Pastikan anda ikut pelan diet dan senaman anda. Jika anda sering curi tulang, anda tidak akan mengalami apa-apa perubahan dari segi berat badan walaupun anda pernah bersenam. 

Kesimpulan

Jika anda menghidap masalah kegemukan atau obesiti, mungkin anda dapat lihat kaitan antara 6 kumpulan yang diceritakan di atas dengan keadaan diri anda sekarang.

Oleh itu, usah bersedih jika semua perkara yang anda lakukan sebelum ini tidak membuahkan hasil dan tidak membuatkan anda turun berat badan.

Mungkin anda perlukan kaedah yang berbeza untuk merawat obesiti yang anda alami.

Jika anda ingin turun berat badan dengan sihat, anda boleh berjumpa dengan doktor untuk sesi konsultasi. Doktor boleh berikan anda nasihat yang bersesuaian dengan keadaan serta tahap kesihatan anda.

Hidup dengan keadaan diri yang obes merupakan satu keadaan yang sukar. Mujurlah penyakit ini boleh diubati.

Pastikan anda mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan mengamalkan diet yang seimbang, bersenam dengan kerap, elakkan mengambil minuman beralkohol dan berhenti merokok.

Kesemua langkah ini dapat membantu anda untuk mengelakkan obesiti dan mengurangkan berat badan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Artikel lain untuk anda

bahan kimia

Ada Sejenis Bahan Kimia DALAM MAKANAN Punca TIDAK SUBUR? Nak Zuriat, Anda Patut Ambil Tahu!

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Asyikin Md Isa
Diterbitkan pada 14/08/2020 . 3 minit bacaan
kemurungan kanak-kanak

Kanak-kanak Gemuk Lebih Mudah Alami Depresi? Ini 7 Tanda Kemurungan Pada Si Kecil Obes

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
Diterbitkan pada 29/07/2020 . 3 minit bacaan