backup og meta

AWAS Bila Strok Mini Menyerang, Ada Risiko Strok Kekal Dalam Tempoh Setahun!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 01/09/2023

    AWAS Bila Strok Mini Menyerang, Ada Risiko Strok Kekal Dalam Tempoh Setahun!

    Pernahkah anda dengar tentang punca strok mini? Turut dikenali dengan nama transient ischemic attack (TIA), ia merupakan satu kondisi menyebabkan pesakit mengalami beberapa simptom strok. 

    Namun, simptom yang dialami pesakit tidak serius dan tidak akan menyebabkan kerosakan pada sel otak ataupun mengakibatkan sebarang kecacatan kekal.

    Walau bagaimanapun, itu tidak bermaksud kondisi ini boleh dipandang ringan. Untuk pengetahuan anda, TIA merupakan salah satu daripada tanda awal strok. 

    Hampir 1/3 daripada mereka yang pernah mengalami TIA akan menghidapi strok pada masa akan datang. Risiko strok adalah paling tinggi selepas 48 jam setelah pesakit alami serangan strok mini. 

    Manakala, menurut statistik, hampir separuh daripada individu yang pernah mengalami TIA akan diserang strok dalam jangka masa setahun.

    Ia merupakan satu amaran awal yang menandakan strok akan menyerang pada kemudian hari.

    Oleh sebab itu, pesakit yang pernah diserang strok mini perlu melakukan langkah proaktif dengan mendapatkan rawatan dalam kadar yang segera.

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Otak dan Saraf, anda boleh klik di sini.

    Strok mini merupakan satu kecemasan

    punca strok mini

    Walaupun simptom dan gejala TIA akan hilang dalam jangka masa 24 jam, strok mini merupakan satu kecemasan dan tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang rawatan.

    Tindakan pantas adalah kunci utama untuk mencegah strok daripada berlaku pada masa hadapan. Rawatan untuk TIA paling efektif jika diberikan secepat mungkin.

    Menurut Dr. Brett Cucchiara daripada Penn Medicine, ramai orang yang mengabaikan simptom strok mini kerana kebanyakannya akan hilang dalam masa sehari.

    Dianggarkan 1 dalam 10 pesakit yang pernah diserang TIA akan mengalami strok dalam masa setahun.

    Tidak selamat jika pesakit menunda rawatan kerana strok mini merupakan tanda amaran serangan strok yang boleh membahayakan nyawa akan berlaku dalam masa terdekat.

    Jika anda mempunyai risiko tinggi akan punca strok mini, jangan berlengah lagi untuk berjumpa dengan doktor. 

    Mereka yang pakar boleh membantu untuk merangka pelan yang bersesuaian dengan anda supaya risiko strok pada masa hadapan boleh diturunkan.

    Gunakan kaedah F-A-S-T untuk kenal pasti strok

    punca strok mini

    Kaedah ini merupakan cara yang termudah untuk kenal pasti sama ada seseorang itu sedang diserang strok atau strok mini.

  • F- Face drooping: Muka melorot ke bawah
  • A- Arm weakness: Lengan sukar untuk digerakkan
  • S- Speech slurred: Tidak boleh bercakap dengan baik
  • T- Time: Masa untuk menelefon 999!
  • Jika seseorang yang anda sayangi mengalami tanda dan punca strok mini seperti di atas, jangan abaikannya dan bawa mereka ke hospital secepat mungkin.

    Bila anda perlu berjumpa doktor

    Individu yang diserang TIA mungkin rasa keliru ketika mereka merasakan simptomnya buat pertama kali.

    Oleh sebab itu, ramai yang rasa ragu dan tidak pasti sama ada mereka perlu berjumpa dengan doktor ataupun tidak disebabkan serangannya yang pendek dan sekejap.

    Pesakit yang disyaki diserang TIA mungkin akan diberikan aspirin sebagai salah satu langkah untuk mengelakkan strok.

    Walaupun simptom dan tanda strok mini hilang sebelum bantuan kecemasan tiba, pesakit masih perlu diperiksa di hospital.

    Sama jugalah jika anda pernah mengalami TIA sebelum ini namun tidak pernah mendapatkan khidmat nasihat perubatan mengenai kondisi tersebut.

    punca strok mini

    Gaya hidup tidak sihat punca strok mini

    Pesakit yang mengalami TIA atau strok mini berkemungkinan akan mendapat nasihat yang berkisar mengenai perubahan dari segi gaya hidup.

    Berhenti merokok, cuba bersenam dengan kerap, amalkan diet yang kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran, elakkan ambil terlalu banyak garam dan lemak merupakan antara nasihat cara merawat minor stroke.

    Menurut sebuah kajian, jantina juga boleh jadi punca strok mini kerana lelaki lebih berisiko berbanding wanita.

    Selain itu, atas sebab yang tidak diketahui, ramai individu mengalami serangan strok pada hari Isnin.

    Di samping itu, doktor juga mungkin akan mencadangkan kalian mengambil ubatan tertentu untuk merawat punca TIA yang dialami.

    Walau bagaimanapun, ada pesakit yang mungkin memerlukan pembedahan yang dikenali sebagai carotid endarterectomy

    Prosedur ini dilakukan untuk membuang plak yang tersumbat pada kawasan arteri yang membekalkan darah kepada otak sekali gus mengurangkan risiko dan punca strok mini.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 01/09/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan