backup og meta

Pernah Ada Masalah Gusi? JAGA-JAGA! Risiko Untuk Anda Terkena Penyakit Strok TINGGI

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 14/02/2022

    Pernah Ada Masalah Gusi? JAGA-JAGA! Risiko Untuk Anda Terkena Penyakit Strok TINGGI

    Terdahulu, kebanyakan pakar perubatan di seluruh dunia sedar, terdapat kaitan antara penyakit gusi dan masalah strok. 

    Namun, proses patologi yang menghubungkan kedua-duanya masih lagi tidak jelas sehinggalah kajian berkenaan dengannya dibentangkan di Konferens Strok Antarabangsa pada tahun 2020.

    Menurutnya, masalah gusi mempunyai kaitan yang kuat dengan masalah strok berikutan proses patologinya yang boleh menyebabkan salur darah arteri besar di dalam otak mengeras.

    Melalui dapatan kajian tersebut, ia menunjukkan risiko masalah strok boleh diturunkan sekiranya masalah gusi dirawat lebih awal.

    Walau bagaimanapun, anda perlu tahu ada pelbagai jenis faktor risiko yang boleh menyebabkan masalah strok.

    Meskipun kajian tersebut jelas menunjukkan kaitan di antara masalah gusi dengan strok, namun ia tidak memberikan implikasi bahawa masalah gusi boleh menyebabkan arteri otak tersumbat sehingga menyebabkan strok.

    Nak tahu dengan lebih jelas bagaimana mekanisme masalah gusi boleh mengakibatkan strok? Teruskan membaca.

    Penyakit gusi, tingkatkan risiko strok melalui penyebaran bakteria

    penyakit gusi

    Pasti anda pelik, bagaimana penyakit gusi boleh menyebabkan perubahan patologik pada salur darah otak manusia?

    Penyakit kardiovaskular termasuklah strok boleh disebabkan oleh pelbagai jenis faktor.

    Walaupun masalah periodontal sering dikaitkan dengan serangan kardiovaskular yang boleh menyebabkan pelbagai jenis manifestasi penyakit seperti strok, tapi ia bukanlah satu-satunya punca kepada masalah kesihatan tersebut.

    Kajian terdahulu pernah membongkar sumber keradangan pada salur darah yang menyebabkan ia mengeras dan tersumbat seterusnya mengganggu aliran darah ke otak.

    Menurut Profesor Neurologi Klinikal Universiti Carolina, Dr Souvik Sen, punca berlakunya proses patologi tersebut boleh berasal daripada gusi.

    Bakteria yang diberi nama Porphyromonas gingivalis (P. gingivalis) sering ditemui pada salur darah karotid. 

    Spesies bakteria lain seperti Streptococcus yang sering menyebabkan masalah jangkitan gusi juga boleh dijumpai pada salur darah otak. 

    Penemuan ini menguatkan syak wasangka para pengkaji terhadap masalah gusi sebagai punca kepada proses patologi sehingga berlakunya strok.

    Rawatan awal bagi masalah tersebut boleh membantu mengurangkan risiko penyakit itu.

    Anda mungkin berminat:

    Mengenal pasti kaitan di antara strok dan penyakit gusi

    penyakit gusi

    Berdasarkan kajian yang dibentangkan di Konferens Strok Antarabangsa tersebut, beberapa dapatan telah diperolehi oleh para pengkaji.

    Antara tahun 2015 hingga 2017, seramai 265 pesakit telah terlibat di dalam kajian bagi mengenal pasti faktor berlakunya strok.

    Apa yang mereka dapati adalah, pesakit yang mempunyai masalah gusi berisiko dua kali ganda untuk mendapat masalah aterosklerosis di dalam salur darah (arteri besar) kepala sehingga boleh menyebabkan berlakunya strok.

    Bukan itu sahaja, mereka yang ada penyakit gusi juga mempunyai risiko setinggi 3 kali ganda untuk mendapat masalah strok melibatkan salur darah di bahagian belakang otak.

    Perkara ini boleh mempengaruhi fungsi penglihatan, keseimbangan dan fungsi kritikal badan yang lain.

    Apabila diselidiki, pengkaji mendapati bahawa masalah gusi lebih lazim didiagnosis pada pesakit yang mengalami strok melibatkan salur darah besar di dalam otak.

    Strok yang melibatkan salur darah di luar kepala jarang mengalami masalah yang sama.

    Kajian ini disokong oleh satu kajian lain yang turut dibentangkan di konferens yang sama.

    Dalam kajian tersebut, seramai 1,145 subjek yang belum mengalami strok telah diperiksa menggunakan mesin pengimejan resonans magnet (MRI).

    Subjek juga telah melalui pemeriksaan oral bagi mengenal pasti diagnosis dan tahap keterukan masalah gusi yang dialami.

    Melalui kajian tersebut, 10 peratus subjek mengalami masalah arteri tersumbat teruk (lebih daripada 50 peratus bukaan arteri terhalang).

    Selepas faktor risiko tersebut dianalisis, kesimpulan yang boleh dibuat adalah mereka yang mengalami masalah keradangan gusi mempunyai risiko 2.4 kali ganda untuk dapat masalah arteri otak tersumbat.

    Radang arteri dan aterosklerosis punca berlaku masalah strok 

    penyakit gusi

    Melalui dua kajian tersebut, jelas menunjukkan terdapat kaitan yang kuat antara masalah gusi dan strok.

    Mereka yang didiagnosis dengan penyakit gusi berisiko untuk mendapat masalah aterosklerosis pada salur darah otak (ICAS) sehingga boleh menyebabkan strok.

    Berbanding dengan jenis strok yang lain, ICAS sering dikaitkan dengan risiko kematian yang lebih tinggi.

    Gusi merupakan lokasi yang lazim mengalami masalah radang kronik dan penghidap kebiasaannya tidak mengalami kesakitan pada peringkat awal.

    Ini akan menyukarkan lagi proses diagnosis bagi membuat rawatan awal untuk menurunkan risiko strok dalam kalangan penghidap.

    Rawatan bagi masalah gusi boleh memberikan kawalan yang lebih baik terhadap masalah hipertensi, diabetes dan kolesterol yang mana, kesemuanya merupakan faktor risiko bagi strok.

    Konklusi

    Kaitan yang kuat di antara penyakit gusi dengan strok perlu diberi perhatian memandangkan komplikasi tersebut boleh mempengaruhi kualiti hidup individu.

    Sekiranya seseorang itu mengalami masalah radang gusi dan sebagainya, langkah terbaik adalah untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan.

    Jika ia tidak diendahkan, anda akan berisiko tinggi untuk mendapat masalah kardiovaskular terutamanya strok.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 14/02/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan