
Jika anda sebagai orang dewasa sudah biasa berpuasa, ia adalah berbeza bagi kanak-kanak. Bagi mereka puasa adalah satu cabaran yang besar. Maklumlah, menahan rasa lapar dan haus apatah lagi jika melihat makanan kegemaran, membuatkan mereka tidak tahan berpuasa. Jadi, bagaimana ingin membuatkan mereka tetap bersemangat untuk berpuasa? Ini dia tip agar anak anda mampu berpuasa di bulan Ramadan.
Bagaimana ingin membuatkan anak anda mampu berpuasa di bulan Ramadan?
Puasa mengajar anak agar mempunyai pola hidup yang disiplin, sabar, ingin berkongsi, serta mengawal diri. Ibu bapa boleh mula mengenalkan puasa kepada anaknya pada usia empat atau lima tahun.
Pengenalan puasa bagi si kecil sebaiknya dilakukan secara beransur-ansur. Sesuaikan dengan daya tahan tubuh dan kemampuan anak masing-masing. Latih anak untuk bersahur bersama dan berpuasa selama beberapa jam, contohnya 2 jam selama beberapa hari.
Semakin dewasa usia anak, tambah tempoh masa berpuasanya, contohnya ditambah 2 jam lagi, begitulah seterusnya sampai puasa penuh hingga waktu berbuka. Berikut adalah beberapa tip mudah yang anda boleh cuba membuatkan anak anda tetap bersemangat untuk berpuasa.
1. Beritahu anak anda tentang tujuan puasa
Puasa adalah aktiviti yang baik, namun anda harus benar-benar beritahu anak anda tujuan puasa yang sebenarnya. Selain mengukuhkan keimanan dan mendapat pahala, puasa juga boleh menyihatkan badan dan belajar berkongsi.
Jadi, ketika anda menunjukkan manfaat dan tujuan puasa kepada anak, mereka akan lebih bermotivasi. Selain itu, mereka pun belajar menghargai apa pun yang dimiliki. Agar puasa anak tetap semangat, jangan pernah membebankan mereka dengan puasa. Jadikan puasa satu perkara yang menyenangkan.
2. Lakukan secara berperingkat
Mengajar dan mengajak anak untuk berpuasa pertama kali bukanlah perkara yang mudah. Kesabaran sangat diperlukan dalam mengajar anak berpuasa. Selain itu, lakukan secara beransur-ansur lebih-lebih lagi jika anak anda masih sangat kecil. Anda boleh mula membiasakan mereka berpuasa setengah hari terlebih dahulu, kemudian naik ke tahap seterusnya sehingga boleh berpuasa sehari penuh.
3. Isi dengan kegiatan yang menyeronokkan
Jadikan puasa sesuatu yang istimewa. Jadi, mereka akan merasa bahawa puasa adalah perkara yang menyeronokkan dan istimewa. Namun, jangan terlalu berlebihan. Hal ini bertujuan agar anak anak terus bersemangat dalam berpuasa. Contohnya, mengisi masa dengan menemani anak membaca beberapa buku cerita atau mengajaknya membeli juadah berbuka sambil bersembang. Ini adalah teknik agar puasa anak anda tetap lancar sehingga waktu berbuka.
4. Buatkan menu dan suasana sahur yang menyenangkan
Agar anak anda semangat berpuasa, sediakan menu dan suasana sahur yang menyenangkan. Ajarkan mereka makan sahur secara beransur-ansur kerana mereka belum terbiasa dengan pola makan sahur yang mengganggu waktu tidur dan makan di tengah malam dalam keadaan belum lapar.
Agar anak lebih mudah makan sahur, masaklah menu sahur kesukaan si kecil dan hidangkan dalam keadaan yang paling menarik perhatian. Tidak ada salahnya anda menanyakan langsung kepada mereka, menu apa yang ingin dimakan agar dapat menambah semangat sahurnya.
Untuk menu sahur, sebaiknya pilihlah yang mengandungi semua zat nutrisi seimbang mengikut keperluan anak anda. Pilih sumber karbohidrat indeks glisemik yang rendah, seperti nasi merah, kentang, atau spageti sehingga boleh memanjangkan rasa kenyang. Jangan lupa sertakan buah dan sayur yang juga tinggi serat.
5. Sediakan menu buka puasa yang menarik
Untuk berbuka puasa, sebaiknya hidangkan makanan atau minuman yang manis agar tenaga anak lebih cepat kembali. Elakkan langsung mengambil makanan berat seperti nasi, jangan juga mengambil makanan yang berempah berlebihan seperti terlalu masam atau pedas.
Berikan makanan dengan suhu yang sesuai (tidak terlalu panas dan sejuk). Makanan berbuka puasa pun wajib mengandungi zat nutrisi seimbang yang diperlukan oleh badan mengikut umur dan jantina anak.
6. Beri pujian
Jangan marah anak anda jika mereka belum mampu berpuasa sehari penuh. Sebaliknya, beri sokongan dan pujian supaya mereka rasa termotivasi untuk berpuasa di esok hari. Ini adalah kerana, puasa merupakan cabaran baru bagi mereka. Oh ya, asalkan tidak berlebihan, anda boleh memberikan hadiah jika mereka berjaya puasa penuh selama sebulan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.