Sembelit merupakan satu masalah kesihatan yang sangat lazim di negara kita. Dianggarkan 1 daripada 5 orang mengalami sembelit yang kronik sehingga sukar untuk membuang air besar. Ada banyak cara moden dan juga cara tradisional hilangkan sembelit. Selain mengambil ubat sembelit tradisional, anda juga boleh cuba kaedah yang kami sarankan.
Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan mengenai cara tradisional hilangkan sembelit dan bagaimana untuk elakkannya daripada berlaku lagi pada masa hadapan.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Sistem Penghadaman, anda boleh klik di sini.
Apakah maksud sembelit?
Anda membuang air besar kurang 3 kali seminggu? Jika ya, ini mungkin bermaksud anda mengalami sembelit!
Walau bagaimanapun, sembelit sebenarnya lebih kompleks daripada itu. Ada orang yang masih mengalami sembelit walaupun mereka membuang air besar setiap hari.
Apa yang penting, perhatikan simptom dan pola pembuangan air besar anda. Adakah anda perlu membuang air setiap hari atau 2 hari sekali sudah cukup?
Sekiranya pola ini mula menjadi tidak teratur dan anda rasa sakit ketika membuang air besar, mungkin sudah tiba masanya untuk anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Antara simptom sembelit ialah:
- Tinja keras dan kering.
- Rasa sakit semasa membuang air besar.
- Tinja tidak lawas sepenuhnya.
Semakin lama anda ‘tahan’ buang air besar, semakin sukarlah tinja untuk keluar secara normal.
Masalah sembelit boleh mendatangkan pelbagai komplikasi lain, antaranya ialah sakit perut dan juga masalah gas.
Individu yang meneran terlalu kuat semasa membuang air besar juga berisiko untuk mengalami:
- Buasir.
- Koyakan pada kawasan dubur.
- Prolaps rektum.
Kenapa jadi sembelit?
- Pengambilan ubat-ubatan tertentu.
- Kurang bersenam.
- Perubahan usia.
- Kurang minum air.
- Sering tahan buang air besar.
- Menghidap sindrom rengsa usus (IBS).
5 cara tradisional hilangkan sembelit
Sekiranya anda sering alami sembelit, ada beberapa makanan, minuman atau aktiviti yang boleh menjadi cara atasi sembelit. Antaranya:
1. Minum air dengan mencukupi
Individu yang kurang minum air lebih berisiko mengalami sembelit. Oleh sebab itu, petua orang tua sembelit ialah pastikan anda minum 8-10 gelas air setiap hari untuk kekal hidrat.
Tetapi, tahukah anda, air sparkling mungkin dapat memudahkan pembuangan air besar? Selepas ini, cuba minum air sparkling untuk mengurangkan sembelit.
Namun, elakkan pengambilan air berkarbonat kerana ia mungkin akan membuatkan sembelit menjadi semakin teruk.
Tip: Pastikan anda minum air yang mencukupi. Selain air masak, air sparkling mungkin dapat membantu meredakan sembelit.
2. Minum kopi
Untuk sesetengah orang, kopi dapat memudahkan pembuangan air besar. Tetapi mengapa ia juga boleh menjadi petua untuk mudah buang air besar? Kopi didapati dapat memberikan stimulasi pada otot sistem pencernaan.
Sebab itulah ada orang yang terus rasa ingin ‘membuang’ selepas menghidu bau kopi!
Menurut kajian yang dimuatkan di dalam European Journal of Gastroenterology & Hepatology, kesan kopi terhadap sistem pencernaan sangat kuat.
Kesannya juga 60% lebih kuat berbanding minum air kosong dan 23% lebih kuat daripada kopi tanpa kafein!
Tip: Kopi juga mengandungi serat larut air yang baik untuk perut. Namun, cara ini mungkin tidak sesuai untuk semua orang.
3. Cara tradisional hilangkan sembelit dengan probiotik
Makanan yang mengandungi probiotik dapat membantu individu yang menghidap sembelit kronik.
Contoh strain bakteria baik yang bermanfaat untuk perut ialah Bifidobacteria dan Lactobacillus, kedua-duanya boleh didapati dalam banyak produk yang dijual di pasaran.
Antara makanan yang kaya dengan probiotik dan termasuk cara atasi sembelit ialah:
- Yogurt.
- Tempe.
- Kimchi.
- Tapai.
- Tempoyak.
4. Banyakkan bersenam
Individu yang jarang bersenam mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap sembelit.
Sebab itulah, ada pakar yang mencadangkan agar pesakit lebih banyak bergerak untuk memudahkan pergerakan tinja.
Banyak kajian yang telah membuktikan senaman dapat mengurangkan simptom sembelit.
Bagi mereka yang menghidap sindrom rengsa usus (IBS), senaman dapat mengurangkan simptom dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Walau bagaimanapun, senaman boleh buatkan simptom jadi semakin teruk.
5. Ambil herba sebagai cara tradisional hilangkan sembelit
Senna merupakan herba yang sangat popular sebagai cara atasi sembelit.
Anda boleh beli teh senna di farmasi atau secara atas talian.
Herba ini mengandungi kompaun yang dikenali sebagai glikosida. Glikosida dapat merangsang sistem saraf dalam perut dan mempercepatkan pergerakan tinja.
Walau bagaimanapun, senna mungkin tidak sesuai untuk wanita mengandung dan sedang menyusukan anak.
Sebelum mencuba apa-apa cara tradisional hilangkan sembelit, pastikan anda dapatkan konsultasi doktor terlebih dahulu ya!
[embed-health-tool-bmr]