Setiap kali datang rasa sakit perut, ramai yang akan mengaitkannya dengan keracunan makanan atau minuman namun tidak sentuh langsung tentang selsema perut.
Ia mungkin disebabkan oleh kedua-duanya akan mendatangkan gejala yang hampir serupa selain masih kurang ramai yang tahu tentang penyakit berkaitan perut ini.
Persoalannya, apakah sebenarnya penyakit flu perut dan adakah ia boleh berjangkit? Jom teruskan membaca artikel ini untuk tahu dengan lebih mendalam lagi!
Apa itu selsema perut?
Untuk pengetahuan anda, selesema perut, flu perut atau nama saintifiknya gastroenteritis adalah sejenis jangkitan mikroorganisme yang boleh berlaku pada perut.
Antara jenis organisme yang mungkin boleh membawa kepada jangkitan flu perut termasuklah:
- Virus: Norovirus, Rotavirus, Adenovirus, Astrovirus
- Bakteria: E.coli, Salmonella, Shigella
- Parasit: Giardia lambia, Cryptosporidium
Meskipun ia dinamakan sebagai selesema perut, namun ia tidak sama seperti jangkitan influenza kerana hanya akan melibatkan sistem penghadaman dan bukan sistem pernafasan.
Ia mungkin akan membawa masalah yang lebih serius kepada golongan bayi, warga emas dan orang yang sistem imunisasinya berkompromi serta boleh membawa maut.
Oleh itu, jangan pandang ringan dan menyangka bahawa ia adalah sejenis kondisi biasa sahaja ya!
Apa simptom selsema perut?
Sekiranya anda dijangkiti flu perut, ia dikatakan lebih kurang sama sahaja dengan simptom keracunan makanan sehingga ramai yang tidak mampu membezakannya.
Ini kerana anda mungkin akan mengalami rasa tidak selesa pada bahagian perut dan ada banyak kondisi yang juga turut melibatkan simptom ini sebagai gejalanya.
Selain mengalami ketidakselesaan pada bahagian perut, berikut adalah simptom selsema perut:
- Sakit perut
- Kejang perut
- Cirit-birit
- Mual-mual
- Muntah-muntah
- Pening kepala
- Lenguh otot
- Demam gred rendah
Simptom biasanya bertahan selama beberapa jam atau hari dan anda perlu berjumpa doktor segera jika demam masih lagi belum kebah walaupun setelah 10 hari berlalu.
Mungkin terdapat beberapa simptom lagi yang tidak disenaraikan di atas. Oleh itu, sila dapatkan diagnosis daripada doktor jika anda sendiri tidak pasti akan kondisi anda.
Adakah ia boleh berjangkit?
Seperti mana yang telah kami nyatakan di atas tadi, kondisi selsema perut adalah disebabkan oleh jangkitan mikroorganisme. Jadi, memang benar ia boleh berjangkit.
Berdasarkan 3 jenis mikroorganisme tersebut, jangkitan akibat virus dipercayai adalah yang paling mudah dan bahaya jika ia tersebar dari individu ke individu lain.
Ia boleh tersebar melalui sentuhan, titisan, udara, air atau kontak rapat di antara individu dengan virus sama ada ia wujud pada individu atau tempat di sekeliling anda.
Disebabkan itu, adalah sangat penting untuk mereka yang telah berjangkit dengan penyakit ini, menjalani kuarantin selama beberapa tempoh tertentu untuk elak ia membiak dan merebak.
Persoalannya, berapa lama perlu kuarantin? Adakah melibatkan beberapa hari atau minggu?
Berapa lama perlu kuarantin?
Secara umumnya, tempoh untuk kalian menjalani kuarantin jika dijangkiti adalah sekitar beberapa hari ke beberapa minggu bergantung kepada jenis jangkitan tersebut.
Ini kerana setiap jenis jangkitan terutamanya yang berpunca daripada virus adalah berbeza dan tempoh untuk ia berinkubasi di dalam tubuh badan juga sudah pasti berlainan.
- Norovirus – Punca utama selsema perut dalam kalangan orang dewasa ini akan kekal berada dalam tubuh badan beberapa hari selepas simptom hilang. Oleh itu, anda disarankan untuk kekal kuarantin 48 jam selepas sembuh daripada kondisi ini
- Rotavirus – Punca utama selsema perut dalam kalangan bayi dan kanak-kanak ini pula telah wujud dalam tubuh badan walaupun sebelum muncul sebarang simptom. Oleh itu, pesakit disarankan untuk cepat menjalani kuarantin bagi elak ia tersebar
Bagi virus, bakteria atau parasit lain pula, dipercayai bahawa tidak banyak beza di antara tempoh waktu yang anda perlukan untuk kuarantin jika dijangkiti flu perut.
Paling penting, sila terus berjumpa pakar jika ada sebarang simptom selsema perut pada diri dan patuh kepada tempoh kuarantin yang telah ditetapkan oleh doktor.
Jangan pandang ringan flu perut!
Konklusinya, kondisi selesema perut ini adalah hampir serupa dengan keracunan makanan namun bezanya adalah ia disebabkan oleh jangkitan dan boleh berjangkit.
Anda perlu tahu bahawa kuarantin adalah usaha yang sangat penting bagi mengelakkan penderita menyebarkan jangkitan tersebut kepada orang lain pula nanti.
Jadi jangan pandang ringan kondisi ini, sila berjumpa doktor dengan segera jika ada simptom!
[embed-health-tool-bmr]