Sakit tengkuk dan bahu sejurus bangun tidur merupakan satu masalah yang sering menghantui kita. Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak tahu apakah punca sakit leher yang mereka alami. Jika anda mempunyai masalah ini, besar kemungkinan ia disebabkan oleh pemilihan bantal yang tidak betul.
Bantal anda mungkin terlalu rendah atau terlalu keras sehingga membuatkan otot pada kawasan leher menjadi kejang.
Pemilihan bantal yang betul dapat memberikan kesan yang besar terhadap kualiti tidur kita.
Malah, menurut Cleaveland Clinic, individu yang memakai bantal yang betul dan selesa akan rasa lebih segar ketika bangun pagi.
Apa punca sakit leher pada waktu pagi?
Mungkin ramai antara kita yang tidak mengambil berat mengenai posisi serta jenis bantal yang digunakan ketika tidur.
Walau bagaimanapun, cara tidur yang salah dan penggunaan bantal yang tidak betul boleh menyebabkan leher menjadi sakit dan lenguh.
Malah, masalah ini juga boleh menyebabkan sakit belakang dan juga sakit pinggang jika dibiarkan berlarutan.
Namun, punca sakit leher ini boleh diatasi dengan cara mengubah posisi tidur atau memilih jenis bantal yang betul.
Menurut Dr. Andrew Bang, pergerakan serta posisi ketika tidur juga memainkan peranan yang penting.
Beliau juga mencadangkan agar kita memilih bantal yang baik dan tidur dengan posisi yang betul supaya kita boleh mendapatkan tidur yang berkualiti pada waktu malam.
Menurut beliau lagi, tidur dengan bantal yang terlalu keras hanya akan membuatkan masalah sakit leher menjadi semakin teruk. Menggunakan bantal yang terlalu rendah juga akan menyebabkan masalah yang sama.
Namun, posisi tidur yang paling teruk adalah dalam keadaan meniarap dengan kepala yang tertoleh ke sisi atau tidak terletak dengan betul.
Bagaimana memilih bantal yang betul untuk elak punca sakit leher?
Pemilihan bantal yang betul merupakan faktor utama keselesaan tidur pada waktu malam.
Tip utama untuk memilih bantal yang betul adalah dengan memastikan leher berada dalam keadaan lurus dan selari dengan tilam.
Elakkan membeli bantal yang terlalu rendah atau terlalu tinggi.
Selalunya, kita akan membeli bantal yang terlalu tinggi sehingga kepala berada dalam keadaan yang tidak selesa.
Malah, orang yang selalu tidur dengan kepala yang mengiring ke sisi juga akan kerap mengalami sakit leher.
Sebenarnya, masalah sakit leher merupakan sesuatu yang lazim. Walau bagaimanapun, jika dibiarkan berlarutan dalam satu jangka masa panjang, badan kita mungkin akan mengalami kecederaan kekal, lebih-lebih lagi pada kawasan belakang badan.
Sebagai panduan, ikuti tip di bawah untuk memilih bantal yang terbaik untuk kegunaan harian:
Cara hilangkan sakit leher #1. Beli bantal yang boleh mengikut posisi kepala
Bantal yang mempunyai kontur dan boleh mengikut bentuk kepala adalah pilihan yang terbaik untuk kebanyakan orang.
Bantal ini membolehkan kepala terletak elok di kawasan tengah dan tidak akan bergerak ke sisi, atas, atau bawah. Malah, ia juga dapat memberikan keselesaan lebih kepada pemakainya.
Cara hilangkan sakit bahu dan leher #2. Bantal berbusa getah adalah yang terbaik
Bantal berbusa getah boleh memberikan sokongan yang baik pada kawasan leher.
Malah, bantal jenis ini juga selalunya lebih sejuk dan boleh memberikan keselesaan lebih pada waktu malam.
Walau bagaimanapun, individu yang mempunyai alahan terhadap getah tidak boleh menggunakan bantal jenis ini. Jadi, periksa dahulu material bantal sebelum beli.
#3. Bantal berisi bulu punca sakit leher
Bantal yang berisi bulu memang nampak selesa dan empuk. Namun, ia tidak dapat memberikan sokongan yang betul pada kawasan leher.
Disebabkan harganya yang murah, bantal jenis ini sering menjadi pilihan ramai. Namun, bantal bulu akan menjadi leper dan hilang keempukannya selepas beberapa ketika.
Akibatnya, ia tidak dapat lagi menyokong leher dan akan menyebabkan anda sakit dan kerap rasa lenguh.
#4. Tidak mengapa jika anda perlukan lebih daripada 1 bantal
Jika anda seorang yang suka tidur dengan banyak bantal, penggunaan bantal peluk dapat membantu postur tidur anda, lebih-lebih lagi jika anda suka bergolek ketika tidur atau suka tidur terlentang.
Bantal ini dapat mengekalkan postur badan ketika tidur dan mengelakkan sakit belakang.
Malah, penggunaan bantal yang banyak amat sesuai untuk ibu mengandung dalam menyokong perut yang membesar.
#5. Ambil kira keanjalan tilam untuk elak punca sakit leher
Jika anda mempunyai tilam yang lembut, anda mungkin perlukan bantal yang lebih nipis kerana bahu anda akan tenggelam ketika tidur.
Sama jugalah jika anda mempunyai tilam yang keras. Pilih bantal yang lebih keras supaya ia dapat memberikan keselesaan pada bahu dan juga belakang badan anda.
Kesimpulan
Setiap jenis bantal mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Malah, tidak ada satu bantal yang sesuai digunakan oleh semua orang.
Berjumpalah dengan doktor untuk mengetahui punca sebenar sakit leher yang anda alami. Ia mungkin berlaku disebabkan penyakit lain yang tidak diketahui.