backup og meta

Berita Buruk Punca Serangan Jantung?

Berita Buruk Punca Serangan Jantung?

Ganggang telefon diletakkan. Berita buruk yang baru sahaja menjengah telinganya memberikan tamparan hebat kepada Dr. Ghaz. Tiba-tiba dia memegang dadanya, rasa sesak nafas kian menghimpit. Dalam masa beberapa saat dia jatuh tidak sedarkan diri.

Barangkali kita semua pernah menyaksikan adegan klise ini dalam drama atau filem, bilamana watak lelaki berusia dalam lingkungan 60-an memegang dada sambil menahan sakit dan hampir pitam setelah mendengar berita buruk. Tanpa perlu menunggu babak seorang doktor menerangkan keadaan tersebut, para penonton sudah boleh memberikan diagnosis sendiri; ‘serangan jantung!’.

Serangan jantung: antara realiti dan dramatisasi

Ramai orang membayangkan serangan jantung sebagai adegan dramatik memegang dada disebabkan gambaran yang selalu dipertontonkan. Istilah ‘Hollywood heart attack’ bahkan digunapakai untuk menggambarkan stereotaip dramatisasi serangan jantung dalam layar filem dan drama.

Tetapi, serangan jantung sebenar tidak semestinya sedramatik yang anda tonton di kaca televisyen. Banyak serangan sakit jantung bermula dengan ketidakselesaan ringan di tengah dada, atau simptom lain yang sederhana.

Simptom serangan jantung bukan terhad kepada sakit dada sahaja. Sukar bernafas, rasa sakit pada tangan dan belakang serta mual dan pening kepala juga mungkin menjadi tanda serangan sakit jantung. Orang yang pernah mengalami serangan sakit jantung sendiri mungkin tidak menyedari serangan jantung kedua kerana simptom yang sama sekali berbeza.

Malah simptom serangan jantung bagi wanita kebiasaannya agak berbeza. Wanita juga mungkin mengalami simptom yang ringan sehingga terlepas pandang bahawa mereka sedang menghadapi serangan jantung.

Salah faham tentang simptom serangan jantung menyebabkan mereka yang mengalaminya tidak segera mendapatkan bantuan perubatan. Sedangkan pertolongan cemas dan rawatan pakar diperlukan segera bagi pesakit serangan jantung untuk mengelakkan komplikasi yang lebih buruk. 

Benarkah berita buruk mencetuskan serangan jantung?

Menurut dapatan yang dikongsi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, penyakit jantung koronari (yang boleh menyebabkan serangan jantung) adalah jenis penyakit jantung utama dan paling kerap dihidapi rakyat Malaysia.  Bahkan purata umur pesakit jantung koronari di negara ini adalah pada usia 59 tahun, iaitu 5 hingga 6 tahun lebih muda dari lingkungan umur pesakit di negara-negara maju.

Serangan jantung lebih berisiko berlaku dalam kalangan mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi, obesiti, diabetes, kolesterol tinggi dan perokok. Faktor risiko ini meningkatkan kebarangkalian seseorang mengalami serangan sakit jantung. Pencetus (trigger) serangan jantung pula merupakan perkara yang mungkin mencetuskan serangan jantung bagi mereka yang memang berisiko. Berikut merupakan beberapa pencetus yang dikaitkan dengan kejadian serangan jantung:

Emosi

emosi

Faktor psikologikal didapati mempengaruhi risiko serangan jantung. Tekanan di tempat kerja contohnya, dikaitkan dengan risiko 2 kali ganda mencetuskan serangan jantung. Contoh faktor psikologi lain yang dilaporkan pesakit termasuklah pergaduhan di tempat kerja atau rumah, melakukan kerja berat dan tekanan emosi. Bencana alam, perang dan acara sukan juga dilaporkan meningkatkan risiko berlakunya serangan jantung.

Oleh itu, berita buruk yang boleh menjejaskan emosi boleh menjadi salah satu punca berlakunya serangan jantung bagi pesakit.

Aktiviti fizikal

lari

Antara aktiviti yang dikaitkan dengan serangan jantung termasuklah berlari atau jogging (40%), angkat berat (19%) atau gabungan keduanya. Pun begitu, risiko ini berkait rapat dengan tahap kebiasaan individu. Bagi mereka yang jarang bersenam, risiko mengalami serangan jantung selepas senaman berat lebih tinggi berbanding mereka yang biasa bersenam.

Aktiviti seksual

seks

2-3% pesakit yang mengalami serangan jantung didapati melakukan hubungan seksual sebelumnya. Ini mungkin menunjukkan kaitan aktiviti seksual sebagai pencetus serangan jantung.

Dadah

pengambilan dadah

Pengambilan dadah kokain atau ganja meningkatkan risiko berlakunya serangan jantung. Dilaporkan terdapat 4.8 kali ganda risiko serangan jantung dalam masa sejam selepas pengambilan ganja.

Makanan, kopi dan alkohol

kopi

Pengambilan makanan berat, kopi dan alkohol boleh menjadi pencetus serangan sakit jantung. Individu yang jarang meminum kopi didapati mempunyai risiko mengalami serangan jantung yang lebih tinggi sejam selepas mengambilnya berbanding mereka yang kerap meminum kopi.

Pencemaran udara

pencemaran udara

Pendedahan kepada pencemaran udara mungkin meningkatkan risiko serangan jantung. Kajian mendapati terdapat peningkatan risiko serangan jantung dengan peningkatan bendasing di udara. Contohnya, kajian di Rome mendapati bahawa peningkatan bendasing sebanyak 10mg/m3 di udara selama 2 hari menyebabkan peningkatkan kecil risiko berlakunya serangan jantung.

Jangkitan

influenza

Serangan jantung didapati boleh dicetuskan oleh jangkitan pernafasan dalam beberapa hari sebelumnya. Dalam satu kajian di UK melibatkan 20 486 pesakit yang didiagnosis dengan serangan jantung, kadar serangan jantung meningkat 1-3 hari selepas pesakit mengalami pneumonia, bronkitis dan influenza.

Baca Juga:

[embed-health-tool-heart-rate]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

‘Hollywood’ Heart Attack vs. Real Life [Internet]. [cited 2018 Dec 20]. Available from: https://www.webmd.com/men/news/20060123/hollywood-heart-attack-vs-real-life#1

Colombo, Alessandro, Riccardo Proietti, Viktor Culić, Nestor Lipovetzky, Maurizio Viecca, and Paolo Danna. ‘Triggers of Acute Myocardial Infarction: A Neglected Piece of the Puzzle’. Journal of Cardiovascular Medicine (Hagerstown, Md.) 15, no. 1 (January 2014): 1–7. https://doi.org/10.2459/JCM.0b013e3283641351.

Versi Terbaru

13/07/2020

Ditulis oleh Helma Hassan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Ini 13 Tanda Awal Kalau Jantung Ada Masalah, Semak Jika Anda Pernah Alaminya…

Jika Alami Sakit Dada Tengah Yang Tak Serius, Boleh Cuba 8 Cara Ini Untuk Legakannya!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Amy Kor

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 13/07/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan