Tahukah anda, ada satu cara yang mudah dan pantas untuk uji kesihatan jantung? Malah, aktiviti ini tidak mengambil masa yang lama, sekadar akan ambil masa satu minit setengah sahaja.
Menariknya, aktiviti menaiki tangga ini juga boleh dilakukan di rumah atau di tempat kerja anda. Benarkah?
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Penyakit Jantung, anda boleh klik di sini.
Kesihatan organ jantung itu hal penting!
Menurut Dr. Jesús Peteiro, Ahli Kardiologi dari University Hospital A Coruña, Sepanyol, jika anda perlukan masa lebih dari seminit setengah untuk memanjat tangga setinggi 4 tingkat, jantung anda mungkin tidak sihat.
Ini bermakna, anda perlu berjumpa doktor dengan kadar yang secepat mungkin ya?
Menurut beliau lagi, ujian ini tidak terhad untuk pesakit jantung sahaja. Senaman ini juga sesuai dilakukan oleh orang awam untuk menguji kemampuan jantung mereka.
Jika anda boleh memanjat tangga di bawah masa yang dinyatakan, tahniah! Itu bermaksud kesihatan jantung anda berada dalam keadaan yang baik.
Jika tidak, anda mungkin perlukan lebih banyak menjaga senaman dan makanan untuk uji kesihatan jantung.
Naik tangga untuk uji kesihatan jantung?
Kajian yang dilakukan oleh Dr. Peteiro ini dijalankan ke atas 165 subjek dan kesemuanya disyaki mempunyai penyakit arteri koronari.
Kebanyakannya mengalami simptom seperti sesak nafas dan sakit dada semasa bersenam.
Semasa ujian dijalankan, subjek diminta berlari di atas tredmil sehingga penat. Kapasiti senaman pesakit kemudiannya dicatatkan sebagai METs atau metabolic equivalents.
Jika anda seorang yang gemar bersenam, pasti anda pernah melihat perkataan METs pada peralatan senaman yang digunakan.
Secara mudahnya, METs berfungsi untuk mengira jumlah tenaga yang digunakan semasa melakukan aktiviti fizikal.
Selepas berehat selama 15 hingga 20 minit, pesakit diminta menaiki tangga setinggi 4 tingkat secepat mungkin tanpa berhenti.
Walau bagaimanapun, subjek tidak dibenarkan berlari. Masa yang digunakan untuk menaiki tangga kemudiannya dicatatkan.
Kajian mendapati, pesakit yang berjaya uji kesihatan jantung mereka denan menaiki tangga kurang daripada 40-45 saat mempunyai 9-10 METs.
Sebagai perbandingan, kajian terdahulu mendapati mereka yang mempunyai METs dalam kadar 9-10 mempunyai kadar kematian yang sedikit rendah iaitu 1% setahun, atau 10% dalam masa 10 tahun.
Manakala, pesakit yang mengambil masa 1.5 minit atau lebih mencatatkan bacaan sebanyak 8 METs. Mereka mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi, iaitu sekitar 2-4% setahun, atau 30% dalam masa 10 tahun.
Pada masa yang sama, para pengkaji turut membandingkan keputusan ujian naik tangga dengan imej jantung yang diambil ketika pesakit melakukan larian di atas tredmil.
Kurang 1/3 pesakit yang boleh memanjat tangga kurang dari seminit menunjukkan sebarang abnormaliti pada jantung mereka ketika melakukan ujian tredmil.
Namun, hampir 58% pesakit yang memerlukan masa lebih 90 saat untuk menghabiskan ujuan menaiki tangga dicatatkan mempunyai fungsi jantung yang abnormal.
Ini bermaksud, hampir separuh daripada subjek yang mengambil masa lebih daripada 1.5 minit dalam ujian ini mempunyai jantung yang tidak sihat!
Patutkah saya mencuba ujian menaiki tangga?
Pertama sekali, anda perlu tahu bahawa ujian ini bukanlah pengganti sebarang ujian fizikal yang dilakukan oleh doktor di hospital di mana pemeriksaan jantung percuma mungkin ada.
Kajian yang Dr. Peteiro jalankan ini bertujuan untuk mencari cara yang mudah, pantas dan murah untuk menguji jantung dan bukannya pula untuk menggantikan ujian yang sedia ada.
Selain itu, teknik untuk uji kesihatan jantung ini boleh dilakukan untuk membantu membuat keputusan sama ada anda perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut ataupun tidak.
Malah, ujian ini juga dapat membantu orang awam untuk memantau kesihatan sendiri di rumah. Ia amat berguna untuk membantu anda mengenal pasti tanda-tanda awal penyakit kardiovaskular supaya boleh dicegah lebih awal.
Tetapi, jika anda boleh menaiki tangga lebih pantas dari 1.5 minit, itu bukan bermaksud anda bebas daripada sebarang penyakit jantung ya!
Selain itu, senaman ini mungkin berbahaya kepada mereka yang mempunyai masalah untuk mengimbang badan atau lemah lutut, bahu, tapak kaki atau buku lali.
Mereka yang mempunyai penyakit paru-paru juga tidak digalakkan untuk uji kesihatan jantung dengan cara ini.
[embed-health-tool-heart-rate]