Ramai yang tercari-cari mengenai cara menjaga kesihatan jantung yang terbaik. Ada yang gemar membaca artikel di media sosial dan ada juga yang gemar berkongsi tulisan doktor-doktor di internet.
Walau bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak tahu tentang bahaya berkongsi info yang tidak benar mengenai kesihatan jantung.
Sebagai contoh, banyak info yang salah berkenaan serangan jantung yang berlegar-legar di media massa. Contohnya, ramai yang menyangka serangan jantung ini umpama apa yang kita nampak di kaca televisyen.
Lelaki atau wanita yang sakit jantung akan menggenggam dada masing-masing sebelum jatuh dan pengsan. Hakikat yang sebenarnya tidak begitu!
Sebenarnya, serangan jantung boleh berlaku secara senyap tanpa sebarang simptom yang jelas.
Kadangkala, pesakit ingat mereka sakit perut, demam atau sakit dada. Tapi, sebenarnya mereka terkena serangan jantung!
Jantung manusia merupakan organ yang penting. Sebab itulah, kita harus menjaganya supaya ia boleh digunakan hingga ke akhir hayat.
Oleh sebab itu, mari ikuti 5 mitos mengenai sakit jantung dan realiti di sebaliknya.
Mitos 1: Saya sepatutnya tahu kalau saya menghidap tekanan darah tinggi
Salah ini! Tekanan darah tinggi atau hipertensi hanya dapat dikenal pasti jika anda melakukan ujian darah atau ujian kolesterol.
Jika anda tidak pernah melakukannya, mungkin anda tidak akan pernah tahu anda menghidap darah tinggi atau mempunyai kadar kolesterol yang tidak sihat.
Menurut FDA, 1 daripada 3 orang dewasa di Amerika Syarikat menghidap hipertensi.
Walau bagaimanapun, separuh daripadanya tidak mengetahui mereka menghidap penyakit ini disebabkan faktor risikonya yang bersifat senyap.
Lebih teruk lagi, ramai yang mengetahui tentang hipertensi yang dialami setelah didiagnosis dengan penyakit seperti strok, sakit jantung, kegagalan buah pinggang dan lain-lain.
Sama jugalah dengan tahap kolesterol dalam badan. Walaupun anda langsing dan sihat, itu tidak bermaksud anda bebas daripada masalah kolesterol tinggi!
Mitos 2: Sakit jantung lelaki atau perempuan, sama sahaja!
Sebenarnya, simptom serangan jantung juga berbeza mengikut jantina!
Malah, kaum Hawa juga lebih kerap mengalami simptom yang di luar kebiasaan seperti sesak nafas, tekanan pada kawasan belakang badan dan juga sakit kepala.
Menurut kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Circulation, sebulan sebelum mengalami serangan jantung, wanita akan rasa letih yang luar biasa.
Malah, 50% daripada mereka rasa letih badan, sukar untuk tidur dan sesak nafas. Tambah lagi, 43% daripada wanita yang mengalami serangan jantung tidak mengalami sakit dada!
Sebab itulah, ramai wanita yang tidak sempat mendapatkan rawatan untuk serangan jantung kerana mereka anggap simptom yang mereka alami cumalah sakit dada biasa ataupun pedih ulu hati.
Mitos 3: Orang muda tidak berisiko sakit jantung
Dulu, sakit jantung selalunya menyerang lelaki yang berusia 50 tahun ke atas. Tetapi kini, orang yang berumur 20, 30 dan 40 tahun juga boleh mengalami sakit jantung!
Menurut Dr. Luke Laffin dari Cleaveland Clinic, ada beberapa faktor yang menyebabkan peningkatan penyakit jantung dalam kalangan orang dewasa.
Salah satunya ialah penyakit diabetes jenis 2 yang didapati lebih lazim dalam kalangan orang dewasa pada zaman sekarang.
Menurut beliau lagi, terlalu banyak makan namun kurang bersenam merupakan punca utama peningkatan penyakit jantung dalam kalangan orang dewasa.
Tambah lagi, lebih ramai dalam kalangan kita yang lebih suka berbaring sambil melayan drama di televisyen atau scrolling di telefon pintar masing-masing berbanding melakukan aktiviti fizikal.
Malah, kerja zaman sekarang juga bersifat lebih sedentari (banyak duduk) jika dibandingkan dengan dahulu. Semua faktor ini membuatkan lebih ramai orang muda yang menghidap sakit jantung berbanding sedekad lalu.
Mitos 4: Jangan bersenam kalau sakit jantung!
Jangan tertipu, walaupun selepas mengalami serangan jantung, pesakit digalakkan untuk melakukan senaman ringan dalam tempoh rehabilitasi bagi mengelakkan serangan jantung kali kedua.
Walau bagaimanapun, sebarang senaman perlulah dilakukan di bawah pemantauan doktor.
Pesakit jantung boleh cuba melakukan 10 minit senaman setiap hari dan cuba meningkatkan masa senaman sedikit demi sedikit.
Mitos 5: Sekali kena sakit jantung, sudah tidak ada peluang sembuh!
Kenyataan ini tidak benar sama sekali. Belum terlambat jika anda ingin melakukan perubahan dari segi gaya hidup untuk mengelakkan serangan jantung dan mengawal faktor risiko.
Amalan seperti bersenam, makan makanan yang sihat, elakkan makanan yang diproses, jangan merokok dan sebagainya dapat membantu anda mengelakkan serangan jantung pada masa hadapan.
Malah, ramai pesakit yang dapat kembali menjalani kehidupan yang normal selepas mengalami sakit jantung.
Walau bagaimanapun, semua ini bergantung kepada kesanggupan pesakit untuk melakukan perubahan dalam kehidupan masing-masing.
Kesimpulan
Dalam banyak-banyak mitos di atas, yang mana satu yang anda percaya?
Jadi, selepas ini, kami harap semua salah faham ini boleh diperbetulkan. Ia bukan sahaja salah, malah tanggapan ini juga boleh mengundang bahaya kepada jantung anda.
Jika anda mencari cara untuk menjaga kesihatan jantung, jawapannya mudah sahaja.
Elakkan penggunaan produk tembakau, diet yang tidak sihat, pengambilan alkohol yang keterlaluan dan juga kadar kolesterol yang tinggi.
Pastikan juga anda bersenam sekurang-kurangya 20 minit setiap hari untuk mengelakkan sebarang bahaya kepada jantung anda.
[embed-health-tool-heart-rate]