Kulit yang gatal pastinya menimbulkan ketidakselesaan. Tetapi mengapakah masalah kegatalan kulit ini lebih cenderung dialami warga emas?
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Sihat Pada Usia Emas, anda boleh klik di sini.
Masalah kegatalan kulit
Kegatalan adalah rasa tidak menyenangkan yang mencetuskan keinginan untuk menggaru.
Ia boleh berlaku pada kulit berpenyakit atau kulit yang tidak berpenyakit.
Kulit gatal boleh berpunca daripada masalah kulit, penyakit organ dalaman, penyakit neurologi dan lain-lain.
Ia adalah masalah paling biasa dihadapi pesakit tua semasa mendapatkan rundingan dermatologi.
Kulit gatal atau pruritis pada orang tua ditakrifkan sebagai rasa kegatalan kronik pada orang yang berusia lebih daripada 65 tahun.
Baca juga:
Kulit, seperti organ-organ lain, mengalami kemerosotan dengan peredaran masa.
Hampir setiap aspek biologi kulit dipengaruhi penuaan. Keupayaan epidermis mempembaharui diri, yang penting untuk fungsi menghadang, berkurang dengan usia.
Kandungan ekstrasellular kolagen pada kulit, yang menyumbang kepada kekuatan dan daya tahan, mengalami perpecahan secara beransur-ansur, yang memudaratkan sifat-sifat kulit dan fungsi sel kulit.
Perubahan kulit mengakibatkan kerapuhan kulit dan penyakit berkaitan dengan usia.
Kulit gatal seiring peningkatan usia
Penuaan mempengaruhi tiga komponen penting yang menyebabkan kulit gatal dan kering. Ini termasuk fungsi penghadang epidermis,sistem imun dan sistem saraf.
Dengan penuaan, terdapat perubahan yang penting yang menyebabkan penurunan pengeluaran lipid yang mengekalkan epidermis.
Bermula kira-kira umur 55 tahun, pH permukaan epidermis menjadi kurang berasid.
Sedangkan enzim yang diperlukan untuk memproses lipid tersebut memerlukan pH asid. Pada usia 70 tahun, kadar pengeluaran lipid berkurangan, menyebabkan penghadang tidak cukup terbentuk.
Kekurangan pembentukan penghadang epidermis mungkin meningkatan risiko berlakunya dermatitis.
Ini menjelaskan mengapa orang tua sering mengadu kerengsaan dan kegatalan kulit dari produk pencuci yang sebelum ini berfungsi dengan baik sewaktu mereka masih muda.
Kehilangan kelenjar peluh dan minyak pada kulit juga menyebabkan kegatalan akibat kulit kering, gangguan kulit yang paling biasa dalam kalangan orang tua.
Perubahan yang berlaku dalam sistem imun dengan usia disebut “immunosenescence“.
Sistem imun yang berumur bersifat pro-radang dengan sel-sel imun yang kurang berfungsi.
Dalam sesetengah pesakit, ini boleh mengakibatkan tindak balas alahan dan ketidakupayaan badan untuk bertindak balas dengan berkesan kepada punca jangkitan.
Masalah neurologi seperti penyakit degeneratif tulang belakang boleh menjejaskan pesakit tua.
Dalam sesetengah kes, saraf deria mungkin terjejas dan menyebabkan kegatalan. Polineuropati dalam pesakit diabetes juga boleh menyebabkan kegatalan batang tubuh.
Dalam kalangan orang tua, kegatalan kronik juga boleh dicetuskan oleh tekanan ringan, seperti sentuhan serat daripada pakaian.
Menguruskan kegatalan kulit
Kulit gatal, walaupun mungkin kelihatan remeh kepada kebanyakan orang, sebenarnya boleh menjejaskan kualiti hidup individu terutama pada orang tua.
Menggaru sering dianggap sebagai tanda kurang bersih dan boleh mempengaruhi tanggapan orang lain terhadap orang tua. Mereka mungkin dianggap sebagai sumber jangkitan.
Persepsi ini boleh menyebabkan masyarakat mengelakkan warga tua dan menyebabkan pengasingan yang mempengaruhi kualiti hidup mereka.
Langkah untuk mengelakkan masalah ini termasuklah penghidratan dengan mencukupi, perlindungan dari kerengsaan dan perlindungan daripada matahari setiap hari.
[embed-health-tool-bmi]