backup og meta

Ketersediaan Kemudahan Untuk Warga Tua: Adakah Malaysia Cukup Bersedia

Ketersediaan Kemudahan Untuk Warga Tua: Adakah Malaysia Cukup Bersedia

Menjelang tahun 2030, populasi generasi warga tua di Malaysia akan meningkat sebanyak 15 peratus iaitu sebanyak 5.6 juta orang dan kadar peningkatan ini adalah disebabkan faktor perubahan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan yang semakin maju berbanding 50 tahun yang lepas.

Perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan bertambah baik telah meningkatkan jangka hayat individu untuk hidup lebih lama; jangka hayat wanita meningkat kepada 67 tahun manakala bagi golongan lelaki meningkat kepada 72 tahun.

Persoalannya, adakah negara kita bersedia ke arah pertambahan populasi warga tua dengan perancangan polisi yang lebih inklusif dan terarah, kemudahan dan fasiliti yang mesra warga tua serta tenaga mahir dalam pengurusan kebajikan kelompok ini? Teruskan pembacaan untuk mengetahui lebih lanjut.

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Sihat Pada Usia Emas, anda boleh klik di sini.

Definisi generasi warga tua

Secara umumnya, warga tua adalah kelompok individu yang berumur 60 tahun dan ke atas berpandukan takrifan yang dibuat di ‘World Assembly on Ageing 1982’ di Vienna, Austria.

Kerajaan Malaysia turut menggunakan takrifan ini dalam merangka segala dasar dan perancangan bagi kesejahteraan warga tua di negara ini.

Terdapat beberapa dasar khusus yang telah dirangka untuk kesejahteraan warga tua antaranya Dasar Warga Tua Kebangsaan dan Dasar Kesihatan Warga Emas Negara.

Dasar generasi warga tua kebangsaan

Antara objektif utama pelaksanaan dasar ini adalah untuk meningkatkan kehormatan dan martabat diri generasi warga emas, memajukan potensi warga tua agar terus aktif dan produktif serta menggalakkan pewujudan kemudahan tertentu untuk menjamin penjagaan dan perlindungan mereka.

Berpandukan pelan tindakan yang dirancang dalam dasar ini, terdapat beberapa penumpuan khusus untuk menjamin kesejahteraan, kebajikan dan kelangsungan mereka untuk terus dihargai sebagai anggota kelompok masyarakat.

Berikut adalah pelan tindakan mengikut penumpuan khusus terhadap isu-isu tertentu:

#1. Pendidikan

Kemudahan pendidikan dan latihan untuk generasi warga tua mengembangkan potensi mereka ke tahap yang optimum; penyediaan kurikulum pendidikan kekeluargaan untuk generasi tua.

#2. Pekerjaan

warga emas

Sumbangan generasi warga tua kepada pembangunan negara berdasarkan pengalaman dan kemahiran setiap individu selain dapat menjana pendapatan dan mensejahterakan kehidupan.

#3. Penyertaan

Penglibatan dan peranan generasi warga tua bersama-sama kelompok komuniti melalui aktiviti kekeluargaan dan pertubuhan kemasyarakatan.

#4. Riadah

Kemudahan riadah yang bersesuaian disediakan untuk warga tua di kawasan perumahan, taman rekreasi dan pusat sukan.

#5. Pengangkutan

Sistem pengangkutan awam yang mesra warga tua dengan penyediaan kemudahan yang memudahkan pergerakan mereka.

#6. Perumahan

Rumah kediaman sedia ada atau yang akan dibina perlu mengambil kira kemudahan yang dapat memudahkan kehidupan generasi warga tua tanpa berhadapan dengan situasi yang sukar.

#7. Sistem sokongan bagi keluarga

Kewujudan sistem sokongan bagi keluarga menjadi keutamaan agar mereka terus dapat hidup bersama dengan ahli keluarga. Ini termasuklah insentif bagi ahli keluarga yang terlibat dalam menjaga generasi warga tua.

#8. Kesihatan

Kemudahan perubatan dan kesihatan disediakan untuk warga tua untuk menjamin penjagaan kesihatan yang menyeluruh.

#9. Keselamatan sosial

Skim keselamatan sosial yang komprehensif perlu disediakan untuk menjamin masa hadapan mereka.

#10. Media

bantuan warga emas

Media memainkan peranan yang penting dalam memberikan kesedaran berkaitan warga emas kepada setiap lapisan masyarakat.

#11. Penyelidikan dan pembangunan

Kajian perlu dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat agar perancangan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan tertumpu untuk kesejahteraan warga tua.

Dasar kesihatan generasi warga tua negara

Sehingga kini, terdapat beberapa usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan mahupun badan bukan kerajaan dan swasta bagi mengelakkan sebarang kejadian pengabaian warga tua daripada berlaku.

Ini termasuklah penyediaan pusat jagaan, pusat jagaan harian, bantuan kewangan untuk tujuan sara hidup, kemudahan perubatan, khidmat penjagaan dan bantuan di rumah dan khidmat bimbingan dan kaunseling.

#1. Pusat Jagaan

Di pihak kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menubuhkan dua jenis pusat jagaan untuk warga tua yang terabai iaitu Rumah Seri Kenangan dan Rumah Ehsan. 

Ini merupakan salah satu cara membantu warga emas gelandangan di seluruh negara ini.

Rumah Seri Kenangan adalah untuk penjagaan warga tua yang terbiar manakala Rumah Ehsan pula khusus untuk penjagaan warga tua terbiar yang sakit terlantar.

Kemudahan yang tersedia di pusat jagaan ini termasuklah perlindungan, kemudahan perubatan, bimbingan dan kaunseling, cara pulih kerja, selain kemudahan riadah dan beribadat.

#2. Pusat Jagaan Harian

Bagi waris yang bekerja, pusat jagaan harian berperanan menjaga warga tua agar aspek kebajikan sentiasa terjaga dan mereka tidak rasa seperti diabaikan.

Pusat jagaan akan mengisi masa warga tua dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat seperti senaman dan riadah, pemeriksaan kesihatan, kaunseling dan aktiviti kumpulan sokongan.

Mereka juga dapat berinteraksi dengan warga yang lain disamping meningkatkan kemahiran mereka melalui aktiviti harian yang dijalankan.

generasi warga tua

#3. Bantuan Alat Tiruan

Bantuan alat tiruan atau alat sokongan turut disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi warga tua atau OKU yang tidak berkemampuan seperti kaki palsu, callipers, tongkat tangan, kerusi roda, tangan palsu, alat pendengaran, cermin mata khas atau peralatan-peralatan sokongan yang disarankan oleh doktor.

#4. Bantuan kewangan

Bantuan bulanan untuk tujuan sara hidup generasi warga tua turut disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mereka yang layak berpandukan penilaian pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat mengikut kriteria-kriteria tertentu.

Bagi warga tua yang terlantar dan dijaga oleh warisnya, bantuan bulanan sebanyak RM300 turut diberikan kepada mereka bagi mengurangkan beban tanggungan menjaga warga tua yang terbabit berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.

#5. Kemudahan penjagaan kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memainkan peranan membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui sektor perubatan dan penjagaan kesihatan warga tua.

Inisiatif yang dijalankan oleh KKM antaranya pengecualian caj pendaftaran pesakit luar sebanyak RM1 di semua klinik dan hospital milik kerajaan, pengecualian caj pendaftaran rawatan pakar dan pengurangan caj pesakit kelas 3 sebanyak 50 peratus dengan bayaran maksimum sebanyak RM250 bagi setiap kemasukan.

Jabatan Kerja Sosial Perubatan di hospital-hospital kerajaan turut membiayai kos rawatan yang tidak dibekalkan oleh hospital kerajaan bagi warga tua yang tidak berkemampuan.

Agensi bantuan lain yang turut membantu caj perubatan bagi mereka yang tidak berkemampuan termasuklah Tabung Bantuan Perubatan KKM, Yayasan Kebajikan Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Baitulmal, Lembaga Zakat Negeri, MAKNA dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia.

#6. Khidmat bantuan dan penjagaan di rumah

Inisiatif ini telah mula diperkenalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui khidmat sukarelawan bagi membantu keluarga warga emas yang memerlukan sokongan sosial dalam aspek penjagaan.

Sukarelawan terlatih akan membantu menjalankan urusan harian seperti pembersihan kawasan kediaman, penjagaan kesihatan dan menemani mereka setiap hari.

Pihak swasta turut memainkan peranan dalam sektor penjagaan warga tua di rumah. Baru-baru ini, satu aplikasi perkhidmatan penjagaan warga emas telah dilancarkan di Malaysia pada 14 Februari 2019 yang dikenali sebagai Homage.

Perkhidmatan berbayar ini menyediakan khidmat penjagaan diri, penyediaan makanan, pemakanan, pergerakan, senaman, peringatan berkaitan ubat-ubatan dan servis peribadi yang lain untuk kemudahan keluarga dan kesejahteraan warga tua.

#7. Khidmat bimbingan dan kaunseling

Bagi warga emas yang mempunyai masalah psikososial, mereka boleh mendapatkan khidmat bantuan bimbingan dan nasihat daripada kaunselor bertauliah daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan seperti hospital dan klinik kerajaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta badan-badan bukan kerajaan yang lain.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Warga Emas. https://www.jkm.gov.my/jkm/index.php?r=portal/left&id=VEpUUXV3THFURkZETmxWNjZpQ1BXdz09 Diakses pada November 7, 2023.

Panduan Penjagaan Kesihatan Warga Emas. https://www.malaysia.gov.my/portal/content/27753?language=my. Diakses pada November 7, 2023.

Dasar Warga Tua Kebangsaan. https://www.pmo.gov.my/dokumenattached/Dasar/Dasar_Warga_Tua_Kebangsaan.pdf. Diakses pada November 7, 2023.

Dasar Kesihatan Warga Emas Negara. https://www.kpwkm.gov.my/kpwkm/uploads/files/Dokumen/Dasar/Dasar%20Kesihatan%20Warga%20Emas%20Negara.pdf. Diakses pada November 7, 2023.

Warga Emas Terabai. http://www.myhealth.gov.my/warga-emas-terabai/. Diakses pada November 7, 2023.

Versi Terbaru

07/11/2023

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Terlebih Kafein: Simptom, Punca & Faktor Risiko

Loratadine Ubat Alergi: Kegunaan, Cara Pengambilan & Kesan Sampingan


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/11/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan