home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Anda Sanggup Puasa 20 Jam Sehari Sepanjang Ramadan? Ini Cabaran Bagi Umat Islam Di Luar Negara

Anda Sanggup Puasa 20 Jam Sehari Sepanjang Ramadan? Ini Cabaran Bagi Umat Islam Di Luar Negara

Walaupun umat Islam sudah biasa berpuasa pada bulan Ramadan, namun bagi sesetengah individu, ia masih sesuatu yang mencabar terutamanya jika perlu puasa 20 jam sehari.

Di Malaysia, kita berpuasa sekurang-kurangnya 13.5 jam sehari. Itu pun ada yang sudah menggelupur mencari air ketika berbuka.

Walaupun ia biasa bagi majoriti umat Islam, namun bagi mereka yang perlu berpuasa 20 jam sehari, ia agak mencabar.

Sambut cabaran puasa 20 jam untuk laksana kewajipan sebagai umat Islam

Setiap negara mempunyai durasi siang dan malam yang berbeza.

Perkara ini terutamanya bagi negara yang terletak jauh di utara atau selatan bumi.

Di Greenland, Norway dan Finland, umat Islam berpuasa untuk tempoh 20 jam.

Bagi negara seperti New Zealand, Argentina dan Chile pula, tempoh berpuasa bagi mereka adalah 11.5 jam.

Apa yang lebih mencabar adalah pada tahun ini, kita menyambut bulan Ramadhan semasa perintah kawalan pergerakan sedang dilaksanakan.

Bayangkan di negara yang puasa 20 jam, mereka terpaksa menyediakan makanan sendiri setelah mengharungi aktiviti rutin yang jauh lebih lama sebelum berbuka.

Mesti penat, kan?

Anda mungkin berminat:

Walau bagaimanapun, apa yang anda perlu tahu adalah bukan sahaja umat Islam yang faham peritnya berpuasa.

Mereka yang bukan beragama Islam turut mengamalkan konsep yang lebih kurang sama meskipun perlaksanaannya agak berlainan dan ia tidak khusus pada bulan Ramadan sahaja.

Sebagai contoh, diet pahlawan (warrior diet). Mereka yang mengamalkan jenis diet ini perlu puasa 20 jam.

Namun, apa yang dipuasakan adalah kalori. Ini bermakna anda masih boleh minum air kosong atau kopi tanpa gula semasa berpuasa.

Perkara ini berbeza dengan orang Islam yang tidak boleh menyentuh sebarang makanan atau minuman untuk tempoh 11.5 hingga 20 jam.

Apa jadi pada badan anda ketika sedang berpuasa?

bulan Ramadhan

Walaupun individu yang berpuasa tidak mengambil sebarang kalori, badan masih memerlukan sumber tenaga untuk beroperasi.

Kebiasaannya, ia akan menggunakan glukosa sebagai sumber tenaga utama.

Oleh sebab kita tidak mengambil makanan, organ hati dan otot akan menggunakan glukosa simpanan bagi mengekalkan metabolisme badan.

Walau bagaimanapun, apa yang pembaca perlu tahu adalah, setelah 8 jam berpuasa, secara purata, badan akan kehabisan glukosa.

Pun begitu, proses metabolisme akan tetap digerakkan menggunakan tenaga hasil daripada penggunaan lemak badan dengan bantuan enzim yang dikenali sebagai lipase.

Oleh sebab enzim tersebut sensitif terhadap hormon insulin, ia tidak akan bekerja jika masih terdapat sumber glukosa di dalam badan.

Melalui proses fisiologi ini, individu yang berpuasa boleh mengalami penurunan berat badan.

Jika anda khuatir akan mengalami kebuluran, keadaan di mana metabolisme badan menjadi sangat perlahan dan mula menggunakan otot sebagai sumber tenaga, jangan risau.

Kebuluran hanya akan berlaku sekiranya anda tidak makan beberapa hari atau beberapa minggu, bergantung kepada jumlah lemak badan.

Bagi umat Islam yang berpuasa untuk 20 jam (maksimum), ia tidak mendatangkan sebarang bahaya melainkan anda mempunyai masalah kesihatan tertentu.

Oleh sebab itu, anda perlu merujuk kepada doktor masing-masing sebelum memulakan ibadah berpuasa.

Kadar minum air penting bagi mereka yang puasa 20 jam

puasa 20 jam

Tuntutan untuk tidak makan mudah untuk dilaksanakan. Walau bagaimanapun, apa yang mencabar adalah bagi mereka yang tidak boleh minum.

Bagi rakyat Malaysia, kita mempunyai secara puratanya, 10.5 jam untuk mengatur rutin minum air.

Bagaimana pula mereka yang hanya mempunyai masa makan 4 jam?

Kebanyakan pakar menyarankan setiap individu untuk minum sekurang-kurangnya 2 liter air sehari.

Bagi tabiat berpuasa mereka yang bukan Islam, jika boleh minum air, ia tidak mendatangkan masalah.

Mereka masih boleh berasa kenyang setelah minum air beberapa gelas.

Bagi yang tidak boleh, terutamanya yang puasa 20 jam, tempoh masa 4 jam itu perlu digunakan untuk minum air secukupnya.

Namun, jangan pula diteguk air sekali gus dalam satu masa yang singkat.

Mungkin boleh diselang-selikan mengikut aturan masa yang bersesuaian mengikut keperluan peribadi.

Konklusi

Amalan berpuasa pada bulan Ramadhan pada tahun ini agak mencabar buat umat Islam di luar negara.

Mereka bukan sahaja tidak boleh makan dan minum, mereka juga perlu mematuhi tuntutan perintah kawalan pergerakan untuk membendung virus pandemik.

Walaupun sambutan Ramadan pada tahun ini tidak semeriah tahun sebelumnya, ia masih merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua umat Islam.

health-tool-icon

Kalkulator BMR

Guna kalkulator pengambilan kalori ini untuk menentukan keperluan kalori seharian yang anda perlu, berdasarkan tinggi, berat, umur dan tahap aktiviti anda.

Lelaki

Wanita

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Cabaran puasa 20 jam. (https://www.hmetro.com.my/utama/2020/05/575901/cabaran-puasa-20-jam). Diakses pada 8 Mei 2020.
  2. What happens if you fast for a day? (https://www.medicalnewstoday.com/articles/322065). Diakses pada 8 Mei 2020.
  3. I Fasted 20 Hours a Day For 2 Weeks, and This Was My Experience. (https://www.popsugar.com/fitness/Warrior-Diet-1-Week-43966339). Diakses pada 8 Mei 2020.
  4. Ramadan 2020: Fasting hours around the world. (https://www.aljazeera.com/indepth/interactive/2017/05/ramadan-2017-fasting-hours-world-170511102015757.html). Diakses pada 8 Mei 2020.

 

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli Disemak pada 10/06/2020
Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman