Sebut sahaja nasi kandar, akan terbayang nasi kandar Penang dengan kuah campur banjir. Ini belum lagi soal pilihan lauk yang bermacam-macam, bermula daripada ikan sehinggalah kepada kambing. Tidak kiralah yang mana satu pilihan restoran nasi kandar popular di Penang kegemaran anda, yang penting anda perlu berhati-hati sewaktu memesan lauknya.
Ini kerana nasinya sendiri sudah tinggi kalori. Oleh itu, ikuti 5 tip yang kami kongsikan di bawah ini jika anda gemar makan nasi ‘kandaq’.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Tip makan nasi kandar popular di Penang lebih sihat
Jika berpeluang berkunjung ke Pulau Pinang atau sekadar ke kedai mamak, biasanya ramai orang akan mencari nasi yang satu ini.
Ia merupakan hidangan wajib yang biasa dimakan sewaktu tengah hari atau kadangkala malam, disebabkan rasanya yang kaya dengan rempah ratus dan semestinya enak.
Pun begitu, ramai yang mungkin kurang sedar bahawa hidangan ini boleh dikategorikan sebagai antara makanan yang tinggi kalori.
Walaupun sekadar kuah campur, ia sebenarnya agak kurang menyihatkan.
Ikuti 5 tip makan hidangan nasi ini dengan lebih sihat.
#1. Pilih protein dengan bijak
Apabila anda ingin memilih protein untuk dimakan dengan nasi, pilihan kurang lemak seperti ikan (ikan goreng atau kari ikan) merupakan lauk yang lebih sihat berbanding dengan hidangan lain.
Ikan adalah sumber protein berkualiti tinggi yang sangat baik. Ia kurang lemak dan mengandungi lebih sedikit kalori berbanding ayam atau daging.
Namun, ini tidak bermakna anda tidak boleh menikmati hidangan ayam atau daging lembu kegemaran.
Anda masih boleh makan lauk ayam bawang atau kari daging, tetapi ia mestilah dimakan dengan saiz yang sederhana sahaja.
#2. Ambil lebih banyak sayur-sayuran
Ramai di antara kita membuat kesilapan dengan mengambil lebih banyak sumber protein dan kurang sayur-sayuran.
Anda perlu tahu bahawa lauk sayur-sayuran seperti bendi celur, pajeri terung, dan kubis goreng kaya dengan nutrien penting dan serat.
Ini boleh membuatkan anda kenyang lebih lama selain membantu penghadaman.
Oleh itu, ketika anda memesan lauk, pastikan anda meminta lebih banyak sayuran dalam pinggan anda.
Selain itu, perhatikan juga jumlah minyak yang digunakan dalam penyediaan sayur-sayuran tersebut.
#3. Kawal kuah campur nasi kandar anda
Kuah campur boleh dikatakan sebagai jantung dan jiwa hidangan ini.
Walau bagaimanapun, kuah campur sebenarnya mengandungi kandungan gula, garam dan lemak yang tinggi.
Ia boleh menyumbang kepada tekanan darah tinggi dan peningkatan paras kolesterol apabila diambil secara berlebihan.
Jadi, walaupun anda mungkin tergoda dengan campuran kuah ayam, ikan, dan kuah daging, cuba minta untuk kurangkan kuah pada nasi anda.
Anda juga boleh minta kuah yang berasingan dalam mangkuk kecil.
Dengan cara ini, anda boleh meletakkan kuah secukupnya untuk menyedapkan hidangan anda tanpa berlebihan.
Selain itu, dengan meletakkan kuah secara berasingan, anda juga dapat mencicip rasa berbeza setiap lauk yang diambil.
#4. Pilih beras perang jika ada
Nasi ini secara tradisinya didatangkan dengan nasi putih yang harum.
Tetapi jika ada pilihan, pertimbangkan untuk menggantikan nasi putih dengan nasi perang.
Nasi perang bukan sahaja lebih banyak serat, tetapi ia juga tinggi dengan nutrien penting seperti magnesium, mangan dan selenium.
Tidak seperti beras putih, beras perang mempunyai indeks glisemik yang lebih rendah dan tidak akan menyebabkan gula darah anda meningkat serta-merta.
Ini boleh membuatkan anda berasa kenyang dan bertenaga lebih lama.
#5. Perhatikan saiz nasi kandar anda
Kawalan saiz hidangan adalah kunci dalam mana-mana pengambilan makanan.
Tidak mengapa untuk anda menikmati lauk kegemaran ketika makan nasi.
Namun perlu diingat, bahawa saiz hidangan di kedai mamak selalunya lebih besar daripada porsi yang sepatutnya.
Oleh itu, jika anda mahu memesan nasi ini, pastikan minta saiz hidangan yang kecil sahaja.
Dengan cara ini, anda masih boleh menikmati pelbagai hidangan, tetapi dalam kuantiti yang lebih kecil dan lebih mudah diurus.
Ingat, kaedah ini bukan hanya mengenai had pengambilan makanan, tetapi juga untuk memastikan anda mendapat hidangan yang seimbang meliputi semua kumpulan makanan yang diperlukan.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, menikmati hidangan ini dengan cara yang lebih sihat tidak bermakna anda perlu melupakan hidangan kegemaran anda.
Anda hanya perlu membuat pilihan dengan lebih berhati-hati dan sedikit kawalan nafsu.
Perubahan kecil ini boleh memberikan perbezaan yang besar dalam penjagaan kesihatan anda.
[embed-health-tool-bmr]