Biasanya, bacaan gula selepas makan akan meningkat tidak kira anda makan dengan jumlah yang sedikit atau banyak. Peningkatan tahap gula juga akan menjadi lebih tinggi jika anda mengambil sumber karbohidrat atau gula lebih banyak. Namun, bacaan gula dalam darah selepas makan ini boleh dikawal melalui beberapa teknik dan tip tertentu.
Ini cara nak kawal bacaan kencing manis normal di rumah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.
Pesakit diabetes sukar kawal bacaan gula selepas makan
Jika anda menghidap diabetes, anda mungkin berasa lebih sukar untuk menguruskan tahap gula darah semasa dan selepas waktu makan.
Apabila anda selesai makan, gula darah selepas makan akan menjadi tinggi dan mungkin kekal lebih tinggi walaupun hanya beberapa jam selepas anda makan.
Anda mungkin akan berasa pening, sukar berfikir atau fokus, berasa sangat letih, sakit kepala dan juga dahaga pada ketika itu.
Perlu diketahui bahawa gula darah yang sangat tinggi boleh menyebabkan anda pengsan.
Gula darah yang kekal tinggi untuk masa yang lama juga boleh menyebabkan anda berisiko untuk mengalami masalah seperti penyakit jantung, penyakit buah pinggang, dan kerosakan saraf.
Tidak dinafikan bahawa ubat dan diet yang betul boleh membantu memastikan gula darah anda kekal terkawal.
Tetapi ia bukanlah satu-satunya perkara yang boleh anda lakukan. Ada beberapa cara atau tip yang boleh anda amalkan selepas waktu makan bagi mengawal bacaan gula darah.
Cara kawal bacaan gula selepas makan
Jangan risau, ada beberapa rutin atau amalan yang boleh dilakukan bagi mengawal bacaan gula dalam darah selepas makan. Lihat di bawah ini:
#1. Jangan duduk atau berbaring selepas makan
Duduk di atas sofa atau berbaring selepas makan berkemungkinan akan memburukkan tahap gula darah kerana tubuh anda tidak aktif dan otot tidak membakar glukosa tambahan dalam aliran darah anda.
Selain itu, ia adalah pencetus GERD yang biasa berlaku.
Jadi, berhati-hati jika anda mudah mengalami masalah ketidakhadaman selepas makan terutamanya makanan yang mengandungi bahan pencetus GERD seperti sos tomato.
#2. Pastikan cukup tidur setiap hari
Mendapatkan jumlah tidur yang mencukupi setiap hari sangatlah penting untuk kesihatan dan kesejahteraan hidup.
Apatah lagi jika anda menghidap diabetes, tidur yang mencukupi boleh membantu mengawal bacaan gula selepas makan.
Jumlah waktu tidur yang disarankan adalah antara 7 hingga 8 jam sehari bagi individu dewasa.
Jika anda tidak mempunyai waktu tidur yang berkualiti, ia boleh mencetuskan hormon stres yang kemudiannya meningkatkan tahap gula darah.
#3. Ambil jumlah kalori terbesar pada awal hari
Biasanya, kita akan makan jenis makanan berat pada waktu tengah hari dan juga waktu malam.
Namun, jika anda menghidap diabetes, tabiat ini perlu ditukar untuk membantu mengawal diabetes anda.
Pengambilan makanan yang berat pada waktu siang atau awal hari sebenarnya boleh membantu mengawal tahap gula darah.
Ini kerana, tubuh badan kita mengikut irama sirkadian di mana ia memproses makan dengan lebih baik pada waktu siang.
Mereka yang mengambil sarapan dan makan tengah hari berat diikuti dengan makan malam yang ringan telah menunjukkan perubahan bacaan darah yang lebih baik berbanding individu yang makan berat pada waktu petang atau malam.
#4. Jangan skip waktu sarapan untuk kawal bacaan gula selepas makan
Jika anda skip makanan pada waktu sarapan, ia boleh menjejaskan tahap gula darah pada hari tersebut.
Kajian telah menunjukkan bahawa individu yang melangkau waktu sarapan mempunyai tahap gula yang lebih tinggi pada waktu makan tengah hari dan makan malam.
Namun, anda juga mesti menyeimbangkan pemakanan anda waktu sarapan dengan mengambil lebih banyak protein, pilihan karbohidrat kompleks yang terkawal serta jenis lemak sihat.
#5. Berjalan kaki selepas waktu makan
Pakai kasut anda dan cuba berjalan-jalan selepas makan bagi membantu menyeimbangkan tahap gula.
Dengan cara ini, ia bukan sahaja mengawal bacaan gula selepas makan, tetapi juga membantu membakar kalori yang telah bertambah.
Cuba berjalan sekitar 10 hingga 20 minit setiap hari bagi membantu anda mengawal gula darah.
Kesimpulan
Lima tabiat di atas ini boleh diamalkan bermula hari ini jika anda mahu mengawal tahap gula darah setiap hari selepas makan.
Selamat mencuba!
[embed-health-tool-bmi]