World Health Organization (WHO) menganggarkan bahawa hampir setiap 1 daripada 10 orang di dunia jatuh sakit selepas memakan makanan yang tercemar. Pada tahun 2015, anggaran pertama bebanan global bagi wabak bawaan makanan yang dilaporkan oleh WHO menunjukkan bahawa 31 jenis risiko bahaya telah dikenalpasti menyebabkan 600 juta kes wabak bawaan makanan pada tahun 2010.
Faktor-faktor seperti perdagangan global, perubahan trend pemakanan, amalan pertanian dan perubahan iklim dijangkakan akan meningkatkan bebanan global terhadap wabak bawaan makanan pada masa hadapan. Selain menjejaskan kesihatan global, wabak bawaan makanan turut memberi tamparan yang signifikan terhadap perkembangan ekonomi samada di peringkat individu atau nasional.
Satu kajian oleh Bank Dunia menyatakan bahawa makanan yang tidak selamat atau tercemar memberi kesan terhadap ekonomi negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana dengan kehilangan produktiviti sebanyak 95.2 bilion Dolar Amerika Syarikat dan perbelanjaan perubatan sebanyak 15 bilion Dolar Amerika Syarikat. Sebenarnya, sebahagian besar daripada kos ini dapat dikurangkan dengan menggunapakai langkah-langkah pencegahan yang memperbaiki bagaimana sumber makanan diuruskan, bermula dari ladang sehinggalah ke meja makan. Kos ekonomi akibat daripada makanan tercemar bergantung kepada tahap pembangunan ekonomi sesebuah negara dan variasi yang membezakannya terdiri daripada faktor-faktor demografi, ekonomi, pemakanan dan keadaan alam semulajadi.
Di peringkat nasional sesebuah negara, adalah amat penting bagi kerajaan mengenalpasti keperluan terhadap pelaburan yang berkesan, pemahaman yang lebih baik terhadap kos yang perlu dikorbankan terhadap masalah keselamatan makanan dan kesan yang boleh digapai dan realistik berkenaan keselamatan makanan di sesebuah negara tersebut.
Usaha Malaysia dalam keselamatan makanan di peringkat nasional dan antarabangsa
Food and Agriculture Organizations of the United Nations (FAO) berperanan membantu Malaysia dalam segala usahanya untuk mempertingkatkan nilai nutrisi makanan dan produk agrikultur, mengurangkan kesusutan sumber makanan pasca tuaian dan membangunkan program kerjasama untuk pengaplikasian kerjasama teknikal di peringkat nasional dan antarabangsa.
Salah satu contoh adalah kerjasama awam dan swasta untuk kaedah pertanian yang lestari diantara syarikat antarabangsa yang berpengkalan di Malaysia, OLAM International Ltd dan Kerajaan Gabon. FAO memberi sokongan terhadap kerjasama ini yang bermatlamat untuk meningkatkan tahap keselamatan makanan, mengurangkan kemiskinan, dan membangunkan generasi baharu komuniti pertanian yang produktif dan lestari dibawah South-South Cooperation (SSC) Framework. Selain itu, melalui South-South Cooperation (SSC) Framework juga, terdapat kerjasama diantara Kementerian Agrikultur dan Perikanan Maldives dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi tujuan peningkatan latihan teknikal kakitangan di kementerian tersebut selain membantu Maldives National University melalui pertukaran sumber akademik dan kurikulum.
Selain daripada itu, kerajaan Malaysia turut berusaha untuk memperkasakan biosekuriti akuakultur dengan memberikan prioriti terhadap sektor akuakultur melalui Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 dan diiktiraf sebagai negara pertama yang menubuhkan Bahagian Biosekuriti yang memberi perhatian terhadap pengurusan kesihatan akuatik, biosekuriti dan isu-isu berkaitan.
Pada tahun 2015, FAO menyediakan bantuan kepada Malaysia bagi pemerkasaan biosekuriti akuakultur Jabatan Perikanan dibawah Technical Cooperation Programme (TCP). Kerjasama FOA dengan Kerajaan Malaysia melalui Malaysian Agricultural Research and Development Institute atau MARDI turut melibatkan pembangunan rangka kerja (framework) institusi untuk memperkuatkan kapasiti untuk melindungi perkhidmatan ekosistem dan menguruskan pemuliharaan biodiversiti global, pelepasan gas rumah hijau, sumber air dan tanah, menggalakkan ekosistem bersepadu dan perancangan pengunaan tanah.
Langkah pencegahan wabak penyakit melalui makanan
Melalui laporan FAO/WHO Expert Meeting on Foodborne Antimicrobial Resistance: Role of Environment, Crops and Biocides yang diadakan pada 11 hingga 15 Jun 2018 di Rome, Itali, terdapat bukti saintifik yang jelas bahawa makanan yang berasal daripada tumbuhan menjadi perantara penularan bakteria yang rintang terhadap antimikrob. Oleh itu, langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan bermula daripada pengeluaran sehingga ke peringkat penggunaan untuk mengawal penyebarannya:
- Amalan pengurusan yang baik perlu diaplikasikan bagi penggunaan sisa kumbahan atau biosolid manusia dan tinja haiwan yang dijadikan baja dalam persekitaran pengeluaran makanan di tahap pertama seperti proses penaman dan pembesaran tanaman.
- Penggunaan kaedah yang telah diperbaharui untuk pencegahan dan pengawalan jangkitan seperti penternakan, biosekuriti, pemvaksinan, diagnosis serta alternatif lain sebagai ganti penggunaan antimikrob yang digunakan dalam sektor akuakultur.
- Penggunaan biocides perlu digunakan berpandukan nasihat pengeluar.
Keselamatan makanan adalah salah satu isu yang masih boleh dikawal dengan baik melalui kerjasama semua pihak samada sebagai pembuat dasar di peringkat kerajaan mahupun pelaksana di peringkat swasta atau individu. Setiap faktor yang menyumbang kepada pencemaran makanan dapat diatasi melalui peranan setiap agensi dalam memastikan keselamatan makanan menjadi salah satu isu yang menyumbang kepada kesejahteraan manusia selain bertujuan mencapai matlamat-matlamat yang telah dirangka melalui Sustainable Development Goals.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen